BAB 9

78 4 0
                                    

MAHU tak mahu, Puan Ilah mengadakan juga majlis untuk Fadi dan Irfana keesokan harinya. Demi nak tutup mulut orang kampung yang mungkin akan bersembang sampai bila-bila.

Tak pasal-pasal keluarganya mendapat malu. Kalau Fazra yang ada di tempat Irfana, dia sanggup menahan malu.

Puan Ilah memaksa Iswadi membawa Fadi mencari cincin. Buat serupa majlis akad nikah.

"Untunglah kau, Ilah, Fana dapat suami orang bandar. Gaya tu macam orang kaya." Suara kawannya berbunyi.

"Hmm..." Puan Ilah hanya menggumam saja.

Kalau Fazra yang kena, sah-sah dia sudah kembang punggung.

"Boleh juga rasa kesenangannya kan," sampuk yang seorang lagi.

"Kau memang tak patut layan Fana macam orang gaji. Tengok sekarang ni, dia dah jadi isteri orang kaya. Kau juga yang untung."

Mereka ketawa. Mana tidaknya, semua orang tahu bagaimana layanan Puan Ilah terhadap Irfana.

"Yalah, yalah." Puan Ilah mencebik.

Irfana keluar dari biliknya. Dia hanya memakai baju kurung moden berwarna biru laut.

"Ha, pengantin baru dah keluar bilik."

Semua mata yang berada di dapur menoleh. Masing-masing memandang Irfana.

"Alah, Fana, kenapa tak pakai baju cantik sikit? Nanti ada sesi sarung cincin." Seorang wanita bersuara.

"Baju ni pun cantik dah. Janji cincin tu nanti mahal."

Ketawa besar pula mereka.

Kata-kata mereka itu bagaikan ada pisau yang menyiat kulit Puan Ilah. Sakit hatinya!

Kalau tak buat majlis ini, nanti dia yang sakit hati mendengar umpatan dari mulut-mulut puaka. Sudahnya, dia menahan diri saja, sebabnya nanti takkan ada lagi mulut-mulut puaka yang berbunyi.

Irfana duduk bersimpuh di dinding. Walaupun tidak seramai mana, tapi ramai yang mahu melihat sesi menyarung cincin.

Dari jauh dia nampak muka dingin Fadi. Lelaki itu macam tak ada perasaan langsung. Nak marah dia pun tak boleh. Masing-masing menyimpan rasa sakit hati.

"Lambat pula Fadi nak sarung cincin," bisik Husma.

Irfana menoleh dan hanya tersenyum kelat.

"Fadi, pergilah sarung cincin tu," desak Iswadi.

Kasihan melihat Irfana duduk di situ.

"Kau ingat aku suka." Fadi mengetap gigi.

"Aku tahu kau tak suka, tapi tolonglah. Kita dah beli pun cincin." Iswadi memujuk.

Dia lebih kasihankan Irfana. Kalaulah dia yang berada di tempat Fadi, dia akan buat majlis besar-besaran untuk Irfana.

Fadi mendengus. Dia melangkah ke arah Irfana. Melabuhkan duduk di tepi Irfana dan mengeluarkan sekotak cincin. Cincin yang dipilih oleh Iswadi dan dia hanya membayarnya saja.

Dia hanya pandang sekilas saja. Walaupun pilihan Iswadi, tetapi dia suka juga bentuknya.

Cincin dikeluarkan dari bekasnya. Tangannya dihulurkan kepada Irfana, tetapi Irfana langsung kaku.

"Fana, hulurlah tangan tu." Husma bersuara perlahan di telinga Irfana.

Irfana teragak-agak. Macam-macam yang bermain dalam kepalanya. Macam mana nanti hubungan mereka? Akan bertahan selama mana?

Fadi terus tarik tangan Irfana. Nak sarung cincin pun kena paksa. Dia mendengus.

Cincin emas berbatu putih itu disarungkan ke jari manis Irfana. Fadi menjegil ketika itu. Demi mahu memuaskan hati mereka yang sedang memandang, dia dekatkan bibirnya ke dahi Irfana.

BIASA ITU CINTAWhere stories live. Discover now