Bab 1

99 1 0
                                    

DUDA KLANG VALLEY? terangkat kening Delaila selepas mendengar cerita terbaharu Wardina mengenai Fard Arjuna.

Wardina mengangguk pantas.

“Abang kau tu sihat tak sihat?”

Wardina angguk sekali lagi.

Sudahnya, masing-masing jeda.

Fard Arjuna, lelaki paling hot di taman perumahan mereka sejak dia berstatus duda. Punyalah berderet anak-anak gadis badan meleting dan janda bergetah hatta berhias yang mahu mencuba nasib tetapi pantas diingatkan oleh lelaki tersebut supaya berhenti berangan tinggi nak jadi isterinya. Kejamkan? Tahu tak apa. Sekurang-kurangnya, baguslah juga daripada bagi harapan palsu.

Melihat Delaila pasif dan tak teruja, Wardina mula berasa resah. Diketapnya bibir, ditekannya keypad Iphone, klik aplikasi Instagram, lalu dihalakan skrin ke arah sahabatnya itu, “...kau tak percayakan?”

Delaila menjuihkan bibir lalu menggeleng dalam gerakan perlahan. Sebetulnya, dia tak berminat langsung untuk ambil tahu tentang Fard Arjuna. Sepotong mangga epal yang baru dicicah ke dalam mangkuk kuah rojak homemade tersedapnya disua ke mulut lalu ditayang kunyah sikit punya rangup sebagai tanda protes tak mahu ambil tahu dengan bergaya.

“Tengok dia tulis apa,” Wardina mendengus kasar. Sakit pula hatinya.

“Malaslah. Abang kau tu kayu. Hastag Pembaris.”

“Pembaris? Tak pedulilah. Aku tetap nak cerita kat kau juga. Kalau aku mati esok lusa, rasa terkilan tu sampai bawa ke liang lahad siapa nak tanggung? Ke kau memang sengaja pilih nak meraung kat kubur aku minta maaf?” Wardina pura-pura tarik nafas panjang sebaik sahaja berjaya menangkap mata buntang Delaila yang langsung tak berkedip memandang ke arahnya.

“Aku bukan gebang benda fitnah tau. Ini betul-betul kejadian.” Sambung Wardina lagi. Sikit punya panjang bebelannya petang itu demi sebuah rahsia.

Delaila tundukkan kepala. Dipejamkan mata sesaat dua demi memujuk hati agar kekal bertenang dengan ugutan sahabatnya itu.

Si ‘bertuah’ ni bila dah mula ugut dengan segala kubur bagai memang sahlah bikin hatinya libang libu, “...phuiii! Sabar ajelah aku dengan kau ni,” sudahnya Delaila pilih untuk beralah. Wardina yang dia kenali akan pastikan telinganya mendengar biarpun terpaksa.

“Mana?” soal Delaila. Sebaik sahaja skrin Iphone Wardina tepat mengadap wajah, sipi-sipi aje matanya perhatikan interface akaun @dudaklangvalley yang dikhabarkan milik Fard Arjuna, duda tunggul kayu muka ketat tu.

Curhat dia... kau,” jelas Wardina menyeringaikan giginya yang putih bersih.

Terangkat kening Delaila seketika, “...curhat tu menatang apa?” soalnya sedikit melopong. Sungguh dia tak tahu dan tak terfikir langsung nak mencarinya di Google. Buang masa. Tetapi petang ini dek kerana sahabatnya bangkitkan perkataan tersebut, dia tak ada pilihan lain selain daripada mengambil tahu.

“Asalnya curahan hati. Tapi dipendekkan, jadilah curhat.” Jelas Wardina.

Delaila tepuk dahi. “Astaga. Cu, ra, han?” satu persatu suku kata dibunyikannya. Itu ke perkataan sebetulnya? Aduh. Ditariknya nafas panjang.

“Itu pun tak tahu, buat malu ajelah kau ni. Dah berzaman netizen guna,” menggeleng Wardina bagaikan tidak percaya, “...sabar ajelah.”

“Okey, sambung cerita.” Laju jari Delaila mencapai sepotong lagi kepingan mangga epal.

“Sambung apanya. Cerita dah habis. Abang aku secara rasminya dah ada Instagram setelah 35 tahun hidup serupa katak di bawah tempurung. Titik.” Wardina urut dada, “...fuh! Lega betul rasa hati aku, rahsia dah pecah.” Sepotong mangga epal dicoleknya separuh dan terus masuk ke mulut.

Duda Klang ValleyWhere stories live. Discover now