" Cukuplah Allah sebagai penolong kami. Tidak ada daya upaya kita sesama mahkluk untuk mendatangkan syafaat dan mudarat tanya keizinan-Nya"

Melihat wajah Marid yang murka,Fahri mengeraskan alunan zikir dalam hatinya. Jika tidak ada sesiapa yang mahu dan sanggup melakukannya, dia akan mengambil risiko tersebut. Cukuplah selama ini mereka terbeban disebabkan kesilapan pertimbangan serta tamak haloba yang tidak berakhir begitu.

Kekayaan dan kemahsyuran tidak ada nilainya di hadapan Allah ketika setiap jiwa mendapatkan ganjaran sesuai dengan amalan semasa hidup di dunia. Apalah ertinya harta,pangkat dan darjat jika ia hanya akan memberatkan hisab kejahatan. Tidak ada!  Kerana pada akhirnya, hanya ketaqwaan kepada-Nya sahaja yang dapat menyelamatkan manusia daripada azab Allah yang amat dahsyat.

Apakah ia akan dapat menolong manusia ketika berada di hadapan Allah SWT pada saat dan waktu huru-haranya sekelian makhluk di Padang Mahsyar kelak? Tidak sama sekali.

Ya. Memutuskan untuk mengakhiri segala-galanya akan membuatkan semuanya berubah tetapi apa lagi yang dimahukannya sebagai manusia yang lemah? Dipilih untuk lahir ke dunia sahaja sudah merupakan nikmat yang tidak terhitung besarnya.

Dilahirkan ke dalam sebuah keluarga yang lengkap, disayangi,dikurniakan kesihatan dan pemikiran,menghirup udara dan menikmati segala kelebihan sebagai manusia yang diciptakan untuk mensejahterakan alam dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi.

Apa lagi?  Nikmat apa lagi yang didustakan oleh makhluk bernama manusia?

Mengenangkan hal begitu, kadangkala Fahri sebak sendiri namun apalah dayanya untuk menghalang kejadian tersebut daripada berlaku. Apa yang boleh dilakukannya hanyalah memohon keampunan bagi mereka yang telah lama pergi dan dalam masa yang sama cuba mengutip ibrah agar hal yang sama tidak akan berulang kembali.

Susuk tanpa wajah yang jelas itu mencak-mencak tidak keruan.Semakin lama, semakin sukar untuknya mendekati anak muda itu malahan segala sihirnya langsung tidak menjejaskan Fahri. Bahkan, setiap kali dia cuba melancarkan serangan -dia sendiri tercampak jauh dan terpaksa bersusah-payah hanya untuk kembali bangkit. Bukan sahaja serangannya tidak mempan tetapi kesakitan yang sepatutnya dirasakan pemuda itu berbalik kepadanya sendiri sedangkan pemuda itu teguh berdiri, tidak terjejas sedikit pun.

Dan pada akhirnya, Marid yang kewalahan sendiri. Terbatuk-batuk mencengkam dadanya yang terasa diikat kejap. Langkah kakinya berat dan ketika dia berusaha untuk menghampiri Fahri, setiap kali itu jugalah sendi-sendi tubunya seakan-akan terlepas semua. Sakit.

Kerjanya untuk menyesatkan Indah, Naufal dan juga Nik tidak sesukar dia menghadapi susuk yang satu ini. Penyamarannya dengan menjelmakan diri sebagai Penghulu Paduka Haji dan mempersiapkan segalanya bagi menyamai segala sesuatu untuk mengelabui mata Fahri entah bagaimana tidak berjaya sama sekali dan bahkan kini dia sendiri yang berdiri tidak keruan.

Suasana sekeliling yang dihijabkan agar menyerupai makmurnya Desa Kuning Gading berubah menjadi keadaan asal.Taram-temaram dengan kabus tipis melitupi pandangan. Bahkan semilir angin yang berhembus perlahan berubah kencang sehingga mengakibatkan puncak-puncak pohon meliang-liuk tidak tentu arah.

Menggantungkan segala-galanya kepada Allah SWT, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran semakin laju meniti lidah dan dia langsung tidak memperdulikan tempikan Marid yang berusahan untuk melancarkan serangan balas kepadanya ketika itu.

Sekoyong-koyong, bagaikan bulan penuh yang bersembunyi di sebalik awan itu pecah berserakan,ratusan jalur cahaya seperti luapan ekor meteor menghujani kawasan tersebut dan segala-galanya mendadak terang benderang.Permukaan di bawah tapak kaki Fahri bergoncang hebat dan di mana-mana kedengaran tempik pekik kesakitan yang membingitkan telinga.

Serpihan cahaya yang menghujani tempat tersebut hinggap lalu menghangusi apa sahaja.Pohon,batu-batuan dan tidak terkecuali susuk hitam yang bergentayangan cuba menghampiri Fahri sejak dari tadi mengakibatkan mereka lari bertempiaran. Tidak tentu hala dan kucar-kacir.

" Kami diciptakan lebih mulia daripada kalian! " Penuh kesumat Marid bertempik keras ketika serpihan cahaya menyinggahi tubuhnya lalu membakar selubung yang dipakainya. " Kalian akan terus kami sesatkan !! Manusia tidak mengenang jasa!! "

Tanpa memperdulikan sumpah seranah susuk berselubung tersebut, zikir dan bacaan ayat-ayat suci tidak kunjung putus dari lidahnya.Dan dalam masa yang sama, jelas dilihatnya beberapa bingkai wajah yang menjelma silih berganti seakan-akan cuba untuk meminta simpati daripadanya mencuar di belakang susuk tubuh Marid yang semakin tenggelam dalam kobaran api itu.

Dalam pekikan yang memekakkan telinga begitu, serta-merta Fahri merasakan rempuhan angin kasar membuatkan tubuhnya terhumban ke belakang. Jalur-jalur cahaya yang sangat silau memenuhi pandangannya. Tubuhnya berputar dalam pusaran angin entah dari mana sehingga memaksa dia menutup matanya kejap.

+               +             +

" Fahri !!" Si ibu menepuk pipi berpeluh-peluh anaknya dengan gusar ketika melihat kerut pada dahi pemuda itu.
" Bangun, nak.. "

Fahri bingkas bangun seperti orang yang disimbah sebaldi air sejuk. Wajah ibunya memenuhi penglihatan. Sambil mengucap panjang, matanya dilayangkan ke arah jam di dinding. Pukul 5 pagi. Peluh di wajahnya diseka sambil menghela nafas yang panjang.

" Fahri kenapa? "

" Mimpi." Sepatah. Tanpa ulasan yang panjang dia bangkit dari sejadah yang dijadikan alas baringnya itu.

" Dahlah.Bersiap cepat. Subuh dah nak masuk ni. "

Tanpa mengatakan apa-apa, dia hanya menganggukkan kepala dan mengekori langkah ibunya keluar dari bilik tersebut dengan helaan nafas.

Ketika mencapai tombol pintu bilik mandi, sekilas-hanya sekerdipan mata-dia melihat ada sepasang mata kemerahan seperti bji saga yang ranum sedang memerhatikannya dengan tatapan amarah.

" Aku berlindung dengan zat Allah daripada kejahatan yang nyata ataupun kejahatan yang tersembunyi.. "

+              +              +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now