Anak-anak tersebut akhirnya terlempar ke alam sebelah dan terus menerus berkelana di dalam dunia sihir Marid. Berkelana dalam lapisan mimpi demi mimpi yang sukar diterima akal. Merasakan mereka sudah terjaga tanpa mengetahui bahawa sebenarnya mereka masih berada di alam tersebut. Berulang-ulang kali tidak akan pernah habis sementara jasad kasar mereka di alam sebelah sana semakin lama semakin tenat.

Indah Nasuhah misalnya.Tidak ada sesiapa dalam kalangan mereka di permukiman alam sebelah ini tidak mengenalinya.Antara susuk penegak syiar agama walaupun dengan caranya sendiri.Mendatangi tempat-tempat yang separuh musnah akibat kerakusan manusia.Menjadi duta kecil agama yang membawa rahmat ke segenap pelusuk alam.

Syiria, Uighur, Palestin dan wilayah-wilayah tertentu yang memerlukan bantuan kemanusiaan. Ke situlah dia menjejakkan kaki dengan tekad menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

Namun, tanpa ampun!  Disebabkan kemalangan ketika dalam perjalanan ke kampung keluarganya-dia terlempar ke alam di sebalik hijab kasar dan terus menerus terperangkap di situ.

Naufal tidak kurang sementara Nik juga tidak lebih. Para anak muda yang menjalani hidup mereka sendiri tanpa mengenali antara satu sama lain akhirnya  terikat dalam satu pertalian takdir yang sangat aneh lagi membingungkan.

Ia tidak lain merupakan tipu muslihat Mumbala agar mereka tidak akan pernah dapat melengkapkan Sapta Adhyasta !

Di alam sebalik hijab ini, kisah Sapta Adhyasta sudah terlalu melang-buana yang tidak lapuk walau berada dalam lipatan masa yang sudah sangat lama.

Kisah tentang para pemuda yang sanggup melakukan apa sahaja demi menghalang kejahatan daripada terus dilakukan oleh manusia separuh siluman yang bernama Mumbala.

Dan ketika mereka beranggapan bahawa segala-galanya akan selesai dengan penangkapan Marid,ia membawa kepada satu lagi musibah yang sama sekali tidak dijangka. Ketiga-tiga anak muda yang menjadi pemegang amanah dan penerus kepada kisah Sapta Adhyasta tersebut berjaya dijebak oleh sang penyembah Thogut ke dalam dunia sihir yang tidak berkesudahan.

Di sanalah mereka. Bertarung dengan diri sendiri untuk keluar dari dunia tersebut !

Itu antara inti pati perbualan antara mereka sedangkan Fahri hanya mendengarkan dengan saksama sambil sesekali mengerutkan dahi.Gulir biji-biji tasbih dalam genggamannya rapat berdetak antara satu sama lain sementara pada ketika tertentu dia melayangkan pandangan kepada susuk lain yang turut berada di anjung rumah limas tersebut.

Dalam diam susuk anak muda bernama Fahri itu juga bukan susuk yang asing bagi mereka.Pemuda yang menghabiskan separuh daripada usia gemilangnya dengan menuntut ilmu dan berguru di semenanjung tanah Hijaz nun di benua sebelah. Seorang anak muda yang memiliki nasab bersambung terus kepada Kasturi yang menjadi punca kepada semua kekalutan.Dan ketika Fahri muncul dari sebalik gerbang perbatasan desa,hampir dengan segera mereka mengenalinya.

" Kita ke mari tidak lain untuk menghentikan segala-galanya, tuan. Membawa semula mereka kembali ke tempat sepatutnya mereka berada."

Sambil mengatakan sedemikian, matanya menatap tepat ke arah wajah Penghulu Paduka Haji.

" Tapi,  sebelum itu katakan di mana kau sembunyikan mereka! "

Selajur itu, Fahri bingkas berdiri lalu melibaskan tangannya seakan-akan menepis sesuatu dan ketika itu jugalah bilah-bilah anak panah berhujungkan pelepah burung berjatuhan ke atas lantai rumah.

Susuk para penduduk permukiman yang saling berhimpit di halaman hilang seperti asap hitam ditiup angin dan begitu juga dengan susuk berwajah teduh Penghulu Paduka Haji. Wajah menyenangkan lelaki tersebut digantikan oleh satu bingkai rupa yang tidak jelas. Samar-samar disembunyikan dalam serkupan kain yang dijahitkan ke leher jubah labuh yang menyarung tubuhnya.

" Marid! " desis Fahri dengan mata penuh siaga. " Aku berlindung dari segala kejahatan sama ada yang nyata ataupun yang tersembunyi "

" Selamat datang wahai anak muda. Bukankah terlalu kasar perlakuanmu terhadap sahabat moyangmu ini? "

" Hanya kepada Dia tempat kami bergantung harap dan memohon pertolongan. Bukan kepada sesama makhluk!"

" Silakan jika itu kehendakmu. Mahu kau  keturunan Kasturi atau bukan aku tidak akan perduli kerana kau menghalangi niat kami! "

Makhluk itu melayang seperti anak panah yang dilepaskan dari busurnya sementara Fahri semakin mengejapkan genggaman jari-jemarinya kepada biji tasbih yang melingkar di tangannya. Takbir bergema di hujung lidah sambil bukaan kaki dilebarkan seluas bahu.

"Hanya kepada-Mu aku berserah dan bergantung harap Ya Jabbar! "

+              +             +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now