Maka,tidak mempunyai pilihan lain-Indah melangkah penuh berhati-hati sambil dalam masa yang sama cuba mengelakkan daripada terpijak timbunan tulang ataupun tengkorak manusia yang tergeletak sebarangan arah.

+             +             +

NAUFAL

Dia bangkit sambil meludahkan butiran pasir yang sempat memasuki mulutnya lalu menyapu wajah dan sekujur tubuh,Naufal menoleh ke kiri dan ke kanan.Cerah.Di mana-mana kelihatan warna keperangan yang menyilaukan pandangan.

Ada pula angin yang menerbangkan butiran pasir ke dalam matanya sehingga memaksa dia menghadang matanya dengan menggunakan tangannya sendiri. Lalu ada pula bukit pasir tampak tinggi menggunung.

Hal pertama yang melintasi fikiran Naufal adalah pertanyaan bagaimana dia boleh berada di tempat tersebut sedangkan hanya beberapa detik yang lalu dia berada di hujung permukiman yang sudah hampir ranap dan sedang berdiri sebelah menyebelah dengan Nik yang mendakap erat bungkusan Tembikar Muftah.

Mendongakkan kepala,matahari tampak berbalam-balam dalam penglihatannya.Tegak nun jauh di tengah ubun-ubun dengan langit bersih tidak berawan.Hanya putih kebiruan mengisi pandangannya hingga ke hujung ufuk.

Menelan air liur yang pekat ,sambil menghembus nafas Naufal mengorak langkahnya.Butiran pasir menenggelamkan kakinya sehingga ke paras buku lali setiap kali dia mengambil langkah.Mendaki bukit pasir yang paling tinggi di hadapannya dengan andaian bahawa dia akan mampu melihat keseluruhan kawasan tersebut sekiranya dia berdiri di tempat tersebut,namun apa yang dilihatnya hanyalah lautan pasir keperangan tanpa ada sepohon pun tumbuhan hijau.

" Apa sebenarnya yang sedang berlaku?"

Dialog Naufal hanya kedengaran kepada telinganya sendiri kerana jelas tidak ada sesiapa pun di situ.

" Indah!"

Desau angin yang membawa butiran pasir menenggelamkan suara kuat Naufal untuk memanggil gadis tersebut.Lalu senyap tidak bersahut. Timbunan pasir di mana-mana.Selain daripada angin,tidak ada kelihatan satu pun tanda bahawa tempat tersebut didiami oleh manusia.

Jika memincing matanya lama-lama,selain daripada butiran pasir yang dibawa angin –hamparan keperangan di hadapannya tampak berolak-olak.Pasti disebabkan oleh haba panas yang memeritkan kulit tanpa dipayungi gumpalan awan.

Naufal tahu dan hal tersebut bukan satu hal yang menghairankan baginya.Disebabkan air sangat sukar didapati di tempat tersebut maka sangat mustahil untuk awan terbentuk berbanding dengan kawasan yang sentiasa lembap.

Sambil menapak perlahan,Naufal kembali mengingat-ingat bagaimana dia boleh berada di tempat sebegitu.Sepertinya perjalanan mereka untuk melengkapkan Sapta Adhyasta semakin menghampiri penghujung dengan ketibaan Nik ke permukiman tersebut.

Dan kemudiannya,pagi belum cerah seisi permukiman sudah dikejutkan dengan khabar yang mengatakan bahawa kampung tersebut diserang oleh segerombolan musuh yang diketuai oleh Marid.dan tujuan mereka tidak lain tidak bukan selain daripada ingin mendapatkan Tembikar Muftah.

Dan jika melibatkan pertarungan tenaga,dia jauh dibawah susuk-susuk suruhan Marid.Dia tidak hebat dalam ilmu persilatan seperti Indah ataupun para pemuda berwajah rupawan dari kaum Nasibain tersebut tetapi tekadnya hanya satu.

Melindungi Tembikar Muftah dan menyelesaikan misi tersebut secepat mungkin bagi membolehkan mereka bertiga kembali semula ke alam sebelah.

Dia ingat bagaimana dia mengacu potongan dahan seperti menghunus pedang dengan lagak seperti susuk samurai tentera elit kebanggaan para shogun di zaman Edo kuno.Walaupun langkahnya sumbang melintang,sempat juga dia membuatkan seorang dua daripada susuk berselubung hitam itu tertunduk-tunduk mengusap ubun-ubun yang disinggahi kayu.

Lalu...???

Ada sekelibat bayangan hitam seperti menyerkupi seluruh tubuhnya ketika susuk tanpa bingkai wajah yang jelas dikenali sebagai Marid itu mencengkam kepalanya dari belakang.Gelap.Senyap.Dan tahu-tahu sahaja dia sudah berada di tempat tersebut!

Terik matahari di atas kepala sementara hangat di bawah tapak kaki membuatkan langkahan Naufal semakin lama semakin perlahan.Dengan tekak yang kesat,tatapannya mulai berkunang-kunang setiap kali kakinya terbenam ke dalam pasir.

+               +                +

NIK

Kecipak bunyi air dan tamparan sejuk pada wajanya membuatkan Nik pantas membuka matanya.Gulungan ombak merempuh wajahnya dan membawa bersama butiran pasir ke dalam mulut.Sambil bangkit pemuda itu menyapu wajahnya yang basah lalu meludahkan air masin yang memasuki mulutnya.Dengan sekujur tubuh yang basah kuyup,Nik terkebil-kebil hairan.

Entah sejak bila dia terdampar di gigi pantai begitu dia sendiri tidak tahu.Sedar-sedar sahaja dia sudah terbaring dengan separuh daripada tubuhnya terendam di dalam air.Di belakangnya laut membiru sehingga ke garisan horizon sejauh mata memandang sementara di hadapannya pula pasir memutih berkilauan ditampan sinar matahari –juga terbentang memenuhi penglihatannya.

Warna kebiruan bertembung dengan warna keputihan pasir membuatkan Nik mengerjapkan matanya berkali-kali.Selain daripada bunyi deburan ombak yang menghempas garis pantai juga bunyi desiran angin,tidak ada sesiapa yang berada di situ.langit juga bersih dengan terlalu sedikit juraian awan putih yang menggayuti langit di sebelah utara.

Dengan sekujur tubuh yang kuyup,Nik menapak perlahan-lahan .kasut yang menyarung mata kakinya berdecak-decak basah setiap kali dia melangkah.Angin mertiup membuatkan tubuh kuyup Nik sedikit dingin tetapi sinar matahari yang sedikit panas menggigit kulit wajahnya.

Bagaimana mungkin...

Nik mendadak mengorak lariannya menaiki tebing berpasir yan terbentang dari kiri ke kanan.Meletakkan tangannya ke kening bagi membentengi penglihatan yang sedikit silau oleh pancaran matahari,nafas Nik tersengal di pangkal leher.

Kosong.Di mana-mana hanya hamparan pasir memutih bergemerlapan di bawah sinaran matahari.Tidak ada deretan pohon kelapa atau pohon Rhu yang sinonim dengan pinggir pantai.Rumah-rumah penduduk jauh sekali. Putih.Putih di segenap arah.Menoleh ke belakang,laut membiru pula mengisi pandangannya.

Sama seperti hamparan pepasir di hadapannya ketika itu,menatap dada laut juga tidak jauh bezanya.Ada gulungan ombak yang silih berganti menghempas pantai lalu pecah menjadi gumpalan buih.Ketika gulungan ombak datang lagi,gumpalan buih kembali dibawa ke tengah laut.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku???

+            +             +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now