Prolog

961 20 1
                                    

Hujan renyai-renyai mengiringi malam sunyi Shah Alam. Sapaan lembut dan rahmat dari langit ini membasahi baju Pak Rashid yang sedang bermotosikal. Anak muda bernama Faisal yang membonceng hanya mendiamkan diri. 

Namun senyumannya lebar sehingga ke telinga. Anak muda itu sudah dijamu sehingga kenyang dan dilayan mesra. Semuanya untuk membalas ihsan memayungkan anak daranya yang bernama Anis ke rumah walaupun terpaksa berjalan di dalam hujan.

Waktu sudah melepasi pukul 10 malam. Masih terdapat beberapa orang di sekitar bangunan stesen komuter itu. Motosikal Pak Rashid berhenti betul-betul di hadapan tangga kecil di depan bangunan.

"Hati-hati kamu balik nanti. Padang Jawa banyak penyamun," pesannya sebaik sahaja terasa Faisal turun dari tempat duduk. Pemuda yang hampir sebaya dengan anak daranya itu menanggalkan topi keledar. Wajahnya biasa, bentuk muka orang Melayu. Rambut dan keningnya hitam dan tebal seperti langit malam. Kulitnya tidaklah seputih mana, tapi tidaklah boleh dikatakan gelap. Janggutnya kemas tanpa misai. Tidak ubah seperti Sein Ruffedge suatu ketika dahulu.

"Penyamun macam tu boleh karate, pakcik. Penyamun lesen besar sekadar dapat karate televisyen je," balas pemuda bersahaja sambil menyerahkan topi keledar kepunyaan Pak Rashid. Pak Rashid ketawa menampakkan barisan gigi yang rompong di depan. 

Faisal tersengih dalam sipu. Dia rasakan yang dia telah berjaya serasi dengan Pak Rashid. Jika tiada aral melintang, dia perlu memberitahu akan hal yang terbuku.

"Motor kamu mana?" tanya Pak Rashid sambil menoleh-noleh ke sekeliling.

"Tu hah," sahut Faisal sambil menuding ke arah tempat letak motosikal yang gelap. Sengaja dia meninggalkannya di situ setiap hari dan naik komuter bersama Anis ke Kuala Lumpur. Dan hari ni untung-untung hari hujan, dapat dia memayungkan Anis pulang, dipelawa masuk ke rumah dan disambut baik pula. Betul kata orang, lelaki yang angau sanggup melakukan pelbagai kerja bodoh.

Faisal menghulurkan tangan untuk bersalam. Pak Rashid menyambut. Dua tangan berbeza usia terjabat. Faisal mengukir senyuman. Begitu juga Pak Rashid.

"Datang la lagi rumah pakcik. Dapat la kamu makan sedap-sedap."

"Susahkan makcik je nak masak-masak nanti." Menolak dengan penuh kepura-puraan. Siapa yang tidak mahu makan percuma.

"Ala, bukan selalu dapat macam tu."

"Maksud pakcik?"

Pak Rashid yang masih di atas motor merapatkan sedikit badannya kepada Faisal, memberi isyarat akan sebuah rahsia.

"Jangan kamu bagitau makcik kamu. Bila ada tetamu je dia masak sedap!"

Giliran Faisal pula yang ketawa. Tangan yang terjabat dari tadi belum dilepaskan. Hampir sahaja dia membongkok hendak mencium tangan kanan Pak Rashid di akhir tawa namun mindanya pantas menegah. Orang tua di depannya belum rasmi menjadi bapa mertua. Tangan terjabat dilepaskan. Tapi Faisal masih tidak mahu bergerak lalu. Begitu juga dengan Pak Rashid. Seperti ada sesuatu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Nanti bila kamu dah berbini besok, sedap tak sedap bini kamu masak, puji aje tau?" Bebelan Pak Rashid disulam nasihat. Dia orang tua yang sudah lama makan garam. Faisal terangguk-angguk. Senyuman yang terkuntum belum lagi pudar. Pak Rashid sudah duduk tegak semula. Kaki kirinya kini sudah berehat pada pedal gear, tanda dia bersedia untuk pulang

"Anis masak sedap tak, pakcik?" Soalan itu terlepas dari mulutnya secara sub-sedar. Mungkin akibat daripada rempah-ratus kari ikan tadi yang menyebabkan darah dalam badan berlari lancar lain macam. Membawa keyakinan penuh ke hatinya yang muda. Lebih keyakinan daripada mana-mana penyembur deodoran penghapus bau ketiak.

PARCELWhere stories live. Discover now