*4*

112 3 0
                                    

"Assalamualaikum."

Pintu rumah dibuka. Gelap suasana di dalam kerana cuaca yang sedang hujan menjelang senja. Waktu sudah pun hampir Maghrib. Anis selamat sampai di rumahnya di Pangsapuri Menara Desa. Kedudukan rumahnya di bahagian paling hujung menambahkan lagi keadaan sunyi.

Anis tertoleh-toleh ke belakang melihat jika ada sesiapa yang mencurigakan. Kemudian cepat melangkah masuk dan mengunci pintu. Hati siapa yang tenang tinggal berseorangan di rumah? 

Lagi-lagi apabila suaminya sedang keluar bekerja. Perasaan kembali tenang selepas pintu hadapan ditutup. Rasa selamat di dalam lingkungan rumah 1098 kaki persegi yang hanya ada satu pintu keluar itu.

Sori, baru sampai rumah. Nak gi mandi sat. Anis membalas mesej WhatsApp suaminya yang diterima sejam yang lalu. Ketika memandu, dia jarang menggunakan telefonnya. Faisal juga sudah tahu tabiat Anis itu. 

Tanpa menunggu balasan untuk mesej yang dihantarnya kepada Faisal, Anis terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Baju kurungnya agak lencun. Hujan membasahi tubuhnya saat dia berjalan dari pejabat ke KL Sentral. Teringat akan Faisal. Kadang-kala cintanya itu hendak mandi bersama. Permintaan kebudak-budakan tapi dia rasakan romantis, manis seperti gula tumpah.

Selesai membersihkan diri dan berwangi-wangian, Anis berjalan menuju ke arah meja tulis suaminya. Rindu pada tuannya. Bila tiada jasadnya, barang kepunyaannya sudah cukup buat pelepas rindu. 

Bibir Anis tersimpul kelat melihat keadaan meja itu. Sentiasa berselerak dengan kertas A4 yang penuh dengan contengan dan nota-nota pendek tiada hujung pangkal. Akhirnya dia mengemas kertas-kertas itu dan menyusun kembali buku-buku yang ada.

Setelah selesai, Anis bercekak pinggang dan menghela nafas puas. Tapi entah macam mana hatinya menyuruh tangan untuk mengambil sebuah buku yang berwarna ungu yang disusunnya tadi. Warna yang agak menyerlah berbanding buku yang lain. 

Diambilnya lalu diselak rawak. Pelbagai nota dan coretan pendek di dalam. Faisal pernah memberitahu yang buku itu merupakan buku catatannya ketika dia masih belajar di Perancis. Tidak hairanlah seandainya dia terjumpa nota-nota kuliah berbahasa Perancis.

Selakannya terhenti di sehelai mukasurat. Hanya sebuah perkataan M'ADSL yang ditulis besar dan dilorek penuh dengan pen. Terdetik rasa curiga apakah maksudnya. Anis menyelak lagi. Muka seterusnya tercatat tulisan panjang dalam bahasa Perancis. Urutan dan susunannya Anis rasakan sebuah puisi atau lirik lagu. Tapi apa yang menggusarkan hatinya adalah coretan pendek di bawah muka surat itu:

Dedicated to the one I love but could never be with.

Kringg! Kriing!

Terkejut Anis mendengar telefon bimbitnya berbunyi di ruang tamu. Buku diari itu ditinggalkan lantas dia bergegas untuk mengangkat panggilan. Mungkin dari suaminya.

"Hello? Assalamualaikum."

Anis terpana seketika. Bukan suara suaminya yang memberi salam. Dijauhkan semula Samsung Galaxy Note 5 dari telinga untuk melihat. Jelas bukan nombor yang pernah dilihatnya.

"Hello? Ini Anis ke? Khairunnisa binti Abdul Rashid?" Suara itu kedengaran lagi. Hati Anis menjadi kurang senang. Jarang sekali orang yang tidak dia kenali menelefon. Lagi-lagi seorang lelaki.

"Wa'alaikumsalam. Ini siapa ye?"

"Ini Faiz. Tengku Faiz Fadhzin. Ini Anis ke? Ni Fad laa... kenal lagi tak?"

Ini kejutan kedua Anis untuk hari ini. Nama Fad tidak asing lagi buat Anis. Nama itu sudah lama dia kuburkan. Ditanam dalam-dalam agar ia menjadi barang tinggalan yang pupus dimakan zaman, supaya tiada lagi memori dan ingatan di antara mereka bersama. Fad, bekas kekasihnya saat dia di kolej dulu. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia mematikan panggilan, namun jiwa matangnya menasihatinya agar berfikir rasional.

PARCELWhere stories live. Discover now