*9*

84 1 0
                                    

Stella Fortuna, Laut China Selatan. Hari 3 di laut. 02:00.

Setengah jam kemudian, Faisal keluar dari dapur. Dua pinggan ditatang kemas. Wap beraroma lazat menari-menari di atas spaghetti. Bau aroma Szechuan hinggap di hidung Syaza bila sebuah pinggan dihidangkan di hadapannya. Warna merah yang sedikit berminyak menyebabkan perut Syaza kembali lapar.

"Spaghetti olio ayam? With an Asian touch?" teka Syaza. Nadanya ternyata kagum. Lelaki di hadapannya benar-benar berbakat.

"Kind of," jawab Faisal ringkas. Jujurnya dia main campak sahaja apa yang ada di dapur. Tukang masak di dapur sebenarnya tidak setuju ada orang yang menceroboh kawasan sucinya. Memandangkan permintaan menggunakan dapur datang dari Syaza, dia terpaksa mengalah. Jadi sepanjang Faisal memasak, tukang masak itu berdiri di belakangnya sambil bercekak pinggang. Janggal diperhati sebegitu, akhirnya Faisal menggunakan bahan masakan seminima mungkin.

Telefon bimbit Syaza dikeluarkan dari kocek sweater lalu diangkat tinggi. Gambar selfie bersama Faisal dan spaghetti yang kelihatan begitu menggiurkan. Pelbagai aksi dan mimik diambil. Faisal terpaksa mengikut sama. Fikirannya malas berfikir panjang. Perihal Anis dilupakan sementara. Asid perut sudah menanti tugas mencerna makanan.

"Jom makan!" Syaza pula yang mempelawa.

Faisal tidak segera menyuap. Dia mahu pastikan hasil tangannya itu bukan syok sendiri. Wajah Syaza yang sedang menikmati suapan sulungnya ditatap, mahu melihat reaksinya.

"Oh, my god! You should change your job! If I'm opening a restaurant, I'll definitely hire you!" puji Syaza. Segulung spaghetti disuap lagi.

Faisal tersenyum puas. Resepi campak-campaknya menjadi. Melihat Syaza sudah khusyuk menjamu selera, barulah dia mula makan.

Selesai makan, barulah Faisal dan Syaza keluar dari Galley. Waktu sudah menunjukkan pukul 2:40 pagi. Dengan perut yang kekenyangan, mereka menuju ke tingkat 3. Bilik mereka pada tingkat yang sama. Cuma berlainan bahagian.

"Well... good night," ucap Syaza di depan bilik Faisal. Faisal hanya memberi senyuman. Tangannya tidak terus membuka pintu biliknya. Jantungnya entah kenapa berdegup kencang. "Sedap you masak tadi. Untung la isteri you, kan?" tambah Syaza lagi seolah-olah mengingatkan garis sempadan.

"Ermm... good night," balas Faisal akhirnya. Nafas dihela lega. Minda baru sebentar tadi diracuni imaginasi mengarut bersama gadis di hadapannya.

Faisal masuk ke biliknya dan terus duduk di kerusi yang tersedia. Kotak syarikat jelas kelihatan. Sehingga kini masih belum ada arahan dari syarikatnya. Penerima kotak ini masih lagi misteri. Tapi kandungannya sudah Faisal ketahui. 

Nuraninya menggetus suatu kerisauan dan perasaan tidak senang. Ia hadir setiap kali Faisal melihat kotak itu. Isinya hanya sejenis alat elektronik yang berselirat dengan wayar pelbagai warna dan sebuah pemacu USB warna putih. Dia membuka sekali lagi kotak itu dan mengeluarkan isinya.

"Entah-entah, ada kaitan kotak ni dengan sebab aku tak boleh balik," getusnya pada diri sendiri. Pemacu USB putih itu dilambung-lambung rendah sambil berfikir. Matanya kini beralih pada komputer ribanya di sebelah. Lalu dia mengulangi apa yang terhenti di hotel sebelum kedatangannya ke sini dahulu. 

Bila dilihat hanya tinggal beberapa jam lagi untuk masuk waktu Subuh, dia rasakan dia patut mencari jawapan kepada kecurigaan yang melanda.

Faisal menyambungkan alat itu pada komputer ribanya. Sejurus komputer riba mengesan kehadiran alat baru, dia mencucuk pemacu USB pula. Satu tetingkap pemasangan muncul di layar komputer. Inilah yang menghentikan tindakannya tempoh hari. 

Syarikatnya memang ada menyediakan kata laluan untuk sebarang aplikasi sebagai langkah keselamatan. Selalunya kata laluan yang digunakan adalah sama, namun tidak kali ini. Kata laluan yang diketahuinya tidak dapat meneruskan proses pemasangan itu.

PARCELWhere stories live. Discover now