9

1.7K 82 4
                                    

Inara terjaga apabila tekaknya terasa perit berpasir. Apabila matanya dibuka, kepalanya terasa berdenyut sedikit. Teringatkan cerita malam tadi, dia menoleh ke belakangnya. Katil sudah kosong.

Dia tidak sedar langsung bila masa dia tertidur, dan bila masa Ben bangun dari katil untuk ke tempat kerja. Selalunya, walau cuma sedikit tilam bergolak, Inara akan terjaga.

Ya, Muazzam syaitan durjana terlalu kerap mencuri masuk ke dalam biliknya. Setiap kali dirasakan tilam king-nya bergolak, walau lena mana tidurnya, mata Inez pasti pantas terbeliak takut kerana tahu malamnya akan dihancurkan iblis itu lagi.

Tidak malam tadi. Tidak pagi tadi. Sama ada Ben terlalu berjaga-jaga sewaktu bingkas dari katil, ataupun Inara yang terlalu lena lantaran penat dengan mainan emosi dan gangguan psikologi sejak dia membuat keputusan untuk ke Australia seminggu awal.

Inara berdehem-dehem lagi. Tekaknya masih perit. Mungkin cuaca yang berbeza, ditambah keletihannya dan kurang minum air, Inara rasa kurang sihat. Perlahan-lahan dia turun dari katil, masuk ke bilik air dan mandi air panas untuk menghangatkan tubuh. Pagi ini cuaca agak sejuk gigil.

Turun ke dapur, Inara tertawa kecil sendiri. Entah kenapa lantaran episod emosinya malam tadi bersama Ben, hatinya separuh menyangka lelaki itu akan menyediakan sarapan pagi untuknya. Apabila kaunter dapur kosong, Inara cuma mampu menggelengkan kepalanya sambil tertawa lagi pada diri sendiri.

"Inez, dalam novel, dalam drama, mungkinlah ada hero nak acah sweet, siapkan makanan semua untuk heroin bila dia bangun tidur," omelnya sendirian sambil membuka pintu pantri untuk melihat apa yang boleh digunakan untuk memasak sarapan.

"Masalahnya, ini realiti. Dan realiti selalunya jauh menyimpang dari semua tu. Kau pun tahu kan?" sambungnya lagi sambil tangan mencapai bekas berlabel 'flour' dan 'salt'.

"Tapi tak salah kalau kita nak bermimpi kan? Lagi-lagi kalau realiti itu terlalu menyakitkan?" Suaranya berubah sugul, seolah-olah Inez gadis belasan tahun itu muncul saat itu, berkongsi pada Inara segala derita yang dirasa.

Inara berhenti mencedok tepung ke dalam mangkuk. Dia termenung seminit dua. "Ya, tak salah. Asha dan lain-lain kan ada. Mereka ditatang dan cukup disayangi. Cukuplah tu," pujuknya lalu sambung membancuh tepung bersama air dan garam.

"Habis, kita macam mana? Kau macam mana? Siapa yang akan menatang dan menyayangi kau? Aku memang dah tak dapat diselamatkan lagi," bisik Inez dengan mata berkaca.

Inara termenung lagi sebelum senyumannya perlahan-lahan diukir. "Aku okay. Kau jangan risau. Raazi kan ada," jawab Inara sebelum mengesat tubir mata dan memasak lempeng di atas dapur.

Habis bersarapan, dia semak lagi telefon bimbitnya. Ya, Raazi ada tapi kenapa lelaki itu masih belum menghubunginya? Terlupakah dia tentang Inara di sini?

Jumaat cuma lusa. Tak lama pun. Tapi tipulah jika dia tidak berkecil hati sekiranya Raazi terus tidak menghubunginya langsung. Tak mengapa. Inara bercadang untuk bertanya pada Ben nanti apabila lelaki itu pulang dari kerja.

Siap menggulung skaf tebal di leher, dia mendapatkan teksi untuk ke Sully's Fresh Market. Niatnya mahu membeli sedikit barang basah untuk dimasak. Inara rasa terhutang budi pada Ben, jadi mungkin dengan makan malam ini dia dapat membalas jasa Ben.

Mana tahu dia akan mengizinkan Inara tidur di katil super single itu lagi?

Sewaktu menunggu giliran untuk membayar di kaunter, kepala Inara terasa berat semula. Pandangannya jadi hitam sesaat, menyebabkan dia menahan diri di trolinya. Air mineral yang dibawa dalam beg cepat-cepat ditogak buat penyedap diri.

Habis berbelanja, dia cepat-cepat pulang. Niat mahu ke pengurup wang atau membeli simkad prepaid terus dimatikan saja. Kepalanya bagai dihenyak-henyak dari dalam tengkorak.

Tapi sebaik dia turun dari teksi bersama sebeg kertas berisi beliannya tadi, dia terlihat sesusuk lelaki tegap sedang mengetuk pintu rumah Raazi. Lelaki itu kemudian cuba meninjau di tingkap sebelum kembali mengetuk pintu.

Inara menghampiri perlahan-lahan. "Hi, can I help you?"

Lelaki itu terkejut dan terus berpaling. Matanya dijegilkan sesaat sebelum ia jatuh ke beg kertas di tangan Inara, dan naik semula melihat wajahnya. "Hi... who are you?"

Sakit di kepala cuba Inara tahankan dan senyuman kecil diukir. "I live here...?"

Jawapan Inara mengejutkan lelaki itu. Keningnya terus terangkat. "Really? Just a few weeks ago, this house belonged to a good friend of mine, Ray."

Inara terus tertawa dengan salah faham yang terjadi. "No! I mean I stay temporarily, but this is Raazi's– I mean, Ray's house."

"Raazi huh?" Minat lelaki itu sedikit mencanak mendengarkan nama itu. Kepalanya disengetkan sedikit. "And how are you related to him? Friends or..."

"Yeah, good friends. I'm not local. I came from Malaysia for a holiday," jawab Inara.

"Yeah I can tell from the accent you're not local," balas lelaki itu. "Anyway, is he home? I can't reach his mobile."

Kepala Inara semakin berdenyut tapi dia tak pasti jika dia patut membuka pintu dan mengajak lelaki asing itu masuk. "Oh! He's on tour until Friday. And he lost his phone, so he's on a disposable for now."

"Huh.." Lelaki itu mengerutkan kening lagi.

"If you wanna leave a message, I can ask Ben to pass it to him? He'll be home later tonight. He has Raazi's number. I don't," terang Inara sambil berharap lelaki itu cepat meninggalkan mesej dan beredar.

"Ben??" Lelaki itu kini membeliakkan mata. "Benjamin?"

Inara tak ingat jika dia pernah tahu nama penuh Ben, tapi dia cuma mengangguk kerana mahu lelaki itu lekas berlalu. Tapi reaksi lelaki itu semakin curiga.

"What is he doing here? Is Rayben still going strong??" tanya lelaki asing itu, seakan tak percaya dan tertawa sendiri.

"Rayban? The brand? I'm not following..." balas Inara. Nafasnya terasa semakin menyempit. Dia mahu cepat-cepat masuk. Patutkah dihalau saja lelaki ini?

"Rayben? I thought you're good friends with them both, since Ray's on tour and you're staying here with Ben. But you don't know about them?" Lelaki itu mengasak.

"I'm sorry. I think you should go," bisik Inara.

Lelaki itu cuma mencebik muka dan mengangkat tangan. "Huh. I suppose you don't know they used to date and broke up a year ago. But hey, I thought they stopped talking but Ben's here, so... who knows? Maybe they made up again."

Selepas memberikan kenyataan yang menghenyakkan putik perasaan Inara, lelaki tanpa nama itu beredar.

D.I.D: Dinara Inez DimitriWhere stories live. Discover now