Bab 45

1.3K 54 0
                                    

SATU GERAKAN menyedarkan aku dari lena yang panjang. Aku bingkas bangun dan menjauhkan diri sebaik saja melihat tanganku terletak elok di dada Farhan manakala kepalaku terlentok di bahunya. Farhan pula tidur bersandar di sebatang pokok. Keletihan agaknya. Aku memandang sekeliling. Gelap! Entah jam berapa aku pun tak pasti. Satu perkara yang aku kesali ialah tidak memakai jam tangan dan tiada touchlight! Mata yang perit kugosok perlahan. Tak dapat tidur nyenyak kerana takut lembaga itu datang dan aku sentiasa tersentak ketika mahu melelapkan mata. Dan entah macam mana aku boleh terlelap di bahu Farhan aku pun tak pasti. Hesh! Kalaulah dia perasan mahu pedas berapi mulutnya nanti. Baik aku ambil langkah awal menjauhi segala anggota tubuhku darinya.

Bunyi menggeliat menandakan Farhan terjaga. Aku pusing memandangnya sekilas. Mata yang tadinya besar kukecilkan sedikit. Apa tu? Macam ada air yang mengalir di kepalanya saja. Aku amati dengan mata terbuntang. Jari telunjuk terangkat menghala ke arahnya. Mulut ternganga. Oh my Allah!

Farhan kehairanan. “Kenapa?” keluar juga suara emasnya dan agak seksi didengari.

“Dahi kau berdarah!” jeritku namun cepat aku tutup mulut dengan tangan kanan. Spontan Farhan meraba dahi. Darah yang likat tadi kini menjadi beku. Kesan darah jelas di tapak tangannya.

“Macam mana boleh berdarah?” soalku teragak-agak. Eee seram! Apa yang Farhan buat sampai berdarah ni?

“Kena pukul dengan benda keras.” Jawapannya membuatkan aku ternganga lagi. Kena pukul? Dengan lembaga itukah?

“Kau-kena-pukul-dengan-siapa?”

“Tak tahu. Sedar-sedar je aku terbaring. Dan berdarah.” Kepalanya disentuh sedikit. Kadang-kadang dia mengaduh kesakitan apabila terpegang tempat yang berdarah itu. Aku yang tengok pun sudah gerun. Terkejip-kejip mata tengok Farhan menekan dahinya. Aku mengesat tangan yang berdebu pada seluar. Terasa bonjolan di dalam kocek membuatkan aku pantas menyeluk tangan ke dalam. Sehelai sapu tangan warna ungu cair bercorak bungaan kecil hadiah pemberian Yana aku serahkan pada jejaka di hadapanku ini.

Farhan tersentak. Keningnya diangkat sebelah. Aisey, dalam keadaan macam ni pun sempat lagi dengan kening terjongket sebelah dia tu. Ke tak sanggup nak terima sapu tangan perempuan yang ada bunga-bunga ni? Hello! Aku pun ada citarasa tau dengan bunga-bungaan. Percakapan je nampak gangster tapi hati cute.

“Lap dahi kau tu. Takkan nak biarkan darah macam tu je?” nasihatku diterima baik oleh Farhan. Aku membetulkan duduk memandangnya sesudah Farhan merendahkan ego mengambil tuala bunga-bunga itu. Sesekali angin meniup membuatkan aku menggosok tangan dan berpeluk tubuh. Farhan kulihat sudah selesai mengesat darah yang masih bersisa di dahinya. Mata Farhan terangkat merenungku tajam. Aku menelan liur. Aisey, apa pulak tenung-tenung semacam ni?

“Kau macam mana boleh ada dekat sini?” soalnya padaku.

“Aku tak tahu. It just... susah aku nak terangkan! Complicated! Tak tahu apa yang aku tengok tu betul ke tak! Yang aku tau aku dah jauh tersesat dekat dalam hutan ni. Nasib baik kau jumpa aku. Kalau tak tak taulah macam mana aku sekarang. Entah hidup entahkan tidak.” Nafas dihela. Sejujurnya aku bersyukur kerana masih bernafas dalam dunia ini. Terlalu ngeri apa yang aku lalui sebentar tadi. Entah sampai bila kejadian ini akan berlanjutan aku tak pasti. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.

“Kau kena pukul juga ke?” mata Farhan mengecil merenungku.  Aku menggeleng.

“Dah tu?”

Aku terpaksa menceritakan apa yang berlaku. Dari A sampai Z tiada satu pun yang missed. Bukti tu! Farhan buat pertama kalinya tekun mendengar bicaraku. Dia tak menyampuk walau sepatah ayat pun. Sesekali dia mengangguk.

“Sekarang ni macam mana?” soalku setelah lama berdiam diri. Duduk berdua dengan Farhan menimbulkan perasaan aneh dalam jiwa. Renungannya berbeza dari biasa. Seakan meresap masuk ke sanubari. Dan tanpa kami sedari aku berbual panjang dengannya berlainan dari biasa. Mungkin kerana dia seorang saja yang ada dalam hutan ini bersama denganku membuatkan aku rasa senang dan lega. Dan kerana keadaan masih gelap! Bulan juga tidak kelihatan. Janganlah hujan! Mana kami nak berteduh?

Ketua Pengawas VS Tunang old ver. (sis4na)Where stories live. Discover now