9

3.2K 180 18
                                    

ASAP arang dan kayu semerbak berbaur dengan bau daging dan ayam dibakar. Jaringan besi di atas dapur arang dan kayu makeshift tu sarat dengan ketulan ayam, daging, kambing, jagung, terung, nanas dan lada Benggala. Semuanya dah hampir masak. Angin malam bertiup datang dan pergi membawa lari asap yang naik dari dapur kecil tu.

"Weh, air dah siap." Eman melaung sambil dia melangkah keluar dari pintu dapur ke laman belakang. Kiri kanan tangannya bawa jag air satu liter. Yang di tangan kanan penuh dengan jus oren, yang di tangan kiri penuh dengan jus tembikai.

"Letak sini." Ijat mengosongkan ruang di sebelah bekas ais. Meja lipat yang panjang tu dah nak hampir penuh. Pièce de résistance dah seharusnya hotplate di tengah meja di mana hotpot tengah menggelegak dengan kuah sup dan gril di tepinya berdesir dengan bahan-bahan yang sedang dipanggang.

Ini namanya aktiviti aku-bosan-tak-tau-nak-buat-apa-maka-mari-kita-buat-makan-makan.

"Ada ruang lagi dak nak letak nachos?" suara Opie melaung bertanya dari dalam dapur.

"Ada!" dua suara menyambut. Ijat cepat mengalih-ubah susunan mangkuk salad Waldorf dan chilli-garlic dip untuk memberi lebih ruang di atas meja tu.

Bayang Opie kemudian muncul di pintu dapur dengan pinggan besar berisi beef nachos di tangan kanan dan bekas dip di tangan kiri. Mangkuk sederhana besar dengan tiga bahagian tu penuh dengan hummus,tzatziki dan guacamole.

Langit malam cerah, walaupun tak nampak bintang. Duduk tengah pekan, memang takkan nak nampak la apa-apa kat langit tu yang bergemerlapan. Tenggelam habis semuanya dek kerana lampu bangunan dan jalan.

"Yani, lama lagi?" Ijat kalih ke arah Yani yang tengah membalikkan ayam daging sayur segala di atas dapur pembakar tu.

"Dah boleh dah kut nak angkat." Yani cucuk daging yang dah perang dengan hujung penyepit. "Try kau tengok."

Ijat angkat hujung pelekat sambil melangkah ke arah dapur yang berasap semerbak tu. Hujung pelekat diikatnya di pinggang macam Yani yang tengah gigih membalikkan ayam. Dua-dua dah rupa hero Tamil ala Rajnikanth pakai doti.

"Meh." Ijat hulur tangan nak ambil penyepit.

Penyepit besi tu bertukar tangan. Yani capai kipas mengkuang yang tadi dia buat kipas bara kini nak buat kipas badan. Menghadap api panas woi!

"Boleh la angkat dah ni." Ijat menggumam sendiri sambil membalikkan ayam dan daging.

"Opie!" Yani pusing ke arah meja sambil memanggil. "Bawak tray!"


*


"ESOK Husna in-charge buka kedai, tau. Kak Mim cuti."

"Oh... okey."


*


GRILL berdesir dengan bunyi brown onion dan udang dibakar. Hotpot menggelegak dengan scallop dan cendawan enoki. Tray makanan barbeku dah tinggal separuh isinya. Pinggan nachos dan mangkuk salad Waldorf dah kosong.

"Boleh buat tiap-tiap minggu ni, bos." Eman sengih sambil capai tongkol jagung bakar.

"Banyak lawa. Rabak kayap aku kalau gitu." Selamba jawapan Yani sambil dia tuang jus tembikai ke dalam gelasnya yang dah hanya tinggal ais.

Meriah Opie, Eman dan Ijat gelak mendengarkan jawapan Yani tu. Sebab bukannya boleh nak percaya. Tengok la. Minggu depan mesti dia ajak buat makan-makan lagi. Paling koman pun dia goreng mi segera. Haha.

Dan Ijat yang paling faham. Faham yang Yani tak nak rumah ni sunyi sangat. Faham yang Yani nak rumah ni ada memori baharu. Memori baharu yang gembira dan ada gelak ketawa. Eman dan Opie dah dikira masuk kuota keluarga, kerana mereka berdua antara yang paling awal jadi warga dapur Garpu & Camca apabila bahagian kafe ditambah pada bakery yang sedia ada.

Pejam celik, dah lebih dua tahun nama Ahmad Yani bin Ahmad Rosli tu jadi pemilik tunggal Garpu & Camca.

Ijat senyum tawar di bawah sedar. Dan dah nak hampir dua tahun juga nampaknya dia sendiri jadi manager di Garpu & Camca.

Yani dan Opie bertekak berebut jagung bakar. Padahal ada lagi tiga ketul tergolek dalam tray tu. Mengada!

Ijat geleng kepala. Dia sandar badan ke belakang kerusi. Tangki perut dah nak separuh penuh. Matanya ditala ke arah dapur yang pintu dan tingkapnya terbuka, melimpahkan cahaya lampu ke atas tempat mereka makan. Di bayangan matanya rasa macam ternampak-nampak je Mak Cik Za tengah buat kek pisang. Macam boleh dengar suara Pak Cik Rosli suruh Yani dan Anwar tolong Kak Inda siapkan barang untuk dibawa ke kedai. Macam terngiang suara Kak Inda jerit suruh teruna bertiga bangun apabila matahari dah naik segalah. Dari zaman sekolah menengah sampai masuk universiti. Setiap kali cuti paling kurang dua tiga hari memang akan habis di rumah ni. Sedangkan dia pun terasa kehilangan, inikan pula Yani si tuan punya badan yang hilang ibu, ayah, kakak dan adik dalam sekelip mata.

Nafas ditarik dalam-dalam cuba menepis sesak di dada yang datang menerpa tiba-tiba.

"Kau jauh sangat menung tu, hanyut ke mana?" Suara Yani menyergah buat dia cepat mengalih mata dari dapur.

"Aku tengah fikir macam mana nak singkirkan kau dari Garpu & Camca." Bukan masanya untuk berlaku jujur waktu ni.

Automatik je tongkol jagung yang dah habis isi melayang merentas meja ke kepala Ijat.

"Woi, kepala aku ni bayar zakat kut!!!"

Garpu & CamcaWhere stories live. Discover now