JANGAN GANGGU JODOHKU!

By karyaseni2u

37.6K 567 14

Tajuk: Jangan Ganggu Jodohku Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-71-7 Muka Surat... More

BLURB
Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 5

1.8K 27 0
By karyaseni2u

TELEFON bimbit Imran melekap di telinga. Dia bersembang dengan tunang tersayang. Dari masa memandu, parkir kereta di anjung sehinggalah masuk ke dalam rumah, masih bergayut di telefon. Bibir tersengih-sengih, tersenyum-senyum meleret.

Begitulah orang yang tengah diamuk penyakit angau. Tidak ada ubatnya melainkan bersua muka. Namun jika tak dapat lihat wajah, dengar suara pun jadilah. Pengubat rindu. Malah ada orang bercinta, dapat lihat bumbung rumah pun dah lega. Hmmm... Macam mental pun ada.

"Rindu la... Mana tak rindu. Dalam sibuk-sibuk layan mak cik-mak cik kerepot di wad, di kepala asyik teringat tunang yang comel di KL sana." Suara Imran penuh romantik, mengayat. Cik tunang suka ayat-ayat cinta ni, sebab tu dia kena pandai mengatur kata.

"Ya ke mak cik-mak cik kerepot? Entah-entah ramai pesakit yang anak dara bergetah. Tak pun nurse-nurse yang seksi," komen Nadrah.

Imran ketawa.

"Amboi, sayang punya cemburu..." Dialihkan telefon bimbit ke sebelah kanan semula. Sakit telinga sudah.

"Mana ada pesakit yang bergetah-getah, sayang. Semua opah-opah belaka, nak masuk kerja pun tak semangat. Misi-misi pun boleh kata semua dah nak bercucu. Kuat membebel pula tu. Asyik suruh I percaya pasal saka, hantu, pelesit bagai. Serabut kepala I ni tau."

Shahida yang sedang menonton televisyen di ruang tamu mengerling adiknya. Kurang setuju dengan kutukan Imran. Kalau nak mengayat kekasih pun, tak perlulah mengata orang lain! Tu la sikap lelaki yang dia selalu bengang. Nak tarik perhatian perempuan dengan merendahkan perempuan lain. Menyampah! Ini yang buatkan dia reda saja jadi anak dara tua. Tak sakit hati kalau dapat suami mulut lepas. Sesedap hati mengata.

"Itulah... Elok kerja di KL, dekat dengan Nad, minta transfer ke ceruk kampung sana. Sekarang nak merungut pula orang kampung tak macam ratu, tak macam model. Lepas tu you boleh lagi bawa cerita mengarut-ngarut, hantu, sakalah. Nampak sangat betapa kolotnya tempat you bertugas tu, baby. Please la..."

Nadrah sempat selit bebelan. Dari awal lagi dia tak setuju Imran minta pindah balik ke kampung. Bukankah mereka sudah bertunang? Kenapa mesti berpisah? Dan dia pula enggan untuk bertugas di hospital yang jauh dari Kuala Lumpur. Keluarganya di Kuala Lumpur, buat apa dia nak terhegeh-hegeh kerja tempat jauh? Tempat yang dia tidak biasa. Sumpah kaki putih mulusnya tak selesa untuk jejak tanah kampung.

"Itulah... Kalau Nad sayangkan keluarga Nad, I pun sayang keluarga I. Kak Shahida tu la satu-satunya adik-beradik I. Kalau I tak jaga dia, siapa lagi nak ambil berat?"

Shahida berdehem-dehem. Dah nak kait nama dia pula dah! Kejap lagi masuklah chapter dia anak dara tak laku tu. Topik yang dia paling tak berkenan. Tak suka! Tak suka!

Shahida memang kurang berkenan dengan bakal isteri pilihan Imran. Tak boleh ngam! Tapi kalau adik dia dah suka sangat dengan perempuan kota tu, dia nak buat lagu mana? Terpaksa la terima walau hati tidak rela. Bukan dia yang bercinta, boleh pilih-pilih ikut kehendak hati. Orang lain, walaupun adik sendiri.

"Kahwinkan ajelah Kak Shahida tu!" cadang Nadrah di talian sebelah sana, selamba badak berkata tanpa rasa bersalah apa-apa.

"Nak kahwinkan dengan siapa?" soal Imran semula. Senangnya Nadrah cakap. Kalau ada lelaki yang baik-baik yang nak kahwin dengan kakaknya, dialah manusia yang akan melompat kegembiraan. Malangnya tiada! Malah tak ada pun tanda-tanda orang lelaki sedang mengurat si kakak. Kakak dia bukan tak cun. Lawa... Cuma sikit cengei. Kadang-kadang garangnya tak bertempat.

Deheman Shahida semakin kuat. Walaupun tak tahu sangat dialog yang sebenar, namun sedikit sebanyak dia dapat meneka tentang isu yang dibincangkan. Sakit hati tau bila bakal adik ipar kecoh pasal jodohnya. Dia yang tak kahwin, pasal apa orang lain dok ketar? Nampak tak ada agenda tak ikhlas di situ?

Isy... Tak berkenan betul la dengan Si Nadrah ni. Kalau Aliza yang jadi adik ipar, alangkah bahagianya dia. Rupa pun tak kurang comel, baik dan tulus pula tu. Dan yang paling penting, dia boleh selalu makan kerabu pucuk paku dan mi rebus tulang. Dapat Nadrah, apa untungnya? Reti masak ke? Sakit hati aje kut yang dapat. Huk huk...

"Amboi, belum kahwin dah pandai nak mengata kakak ipar macam-macam. Dah kahwin esok tak tahu la macam mana..."

Shahida tak mahu lepas peluang untuk membidas balik. Nyaring suaranya. Dengar tak dengar orang sebelah sana, itu belakang kira. Kalau nak jadi adik ipar orang, mulut tu kena diajar bersopan santun dengan ahli keluarga bakal suami. Kami ni orang kampung aje. Orang kampung cakapnya berlapik.

Mendengar suara si kakak yang lain macam nadanya, Imran segera menamatkan perbualan telefon dengan cik tunang. Telefon bimbit lalu diletakkan di atas meja kopi di hadapan sofa yang dudukinya.

"Apa halnya, kak? Laju aje peluru memantul-mantul?" tanya Imran pada si kakak yang sedang memerhatinya dengan muka muncung tak puas hati.

Shahida balas dengan jelingan tajam terlebih dahulu.

"Kalau nak mengata orang pun, pandang-pandang la kelibat orang, nampak sangat tak ada rasa hormat pada orang yang keluar dari perut mak dahulu..."

Imran sengih.

"Kalau dah depan-depan, bukan mengata namanya, kak oi. Jujur dan telus orang kata. Bukan mengumpat..."

"Memang sangat jujur, sampai tersiat-siat hati orang! Akak ni, Im... Sekalipun mereput sampai tua, kak tak pernah minta Im jaga kak tau. Orang boleh jaga diri sendiri la. Im boleh aje ikut tunang kesayangan Im tu duduk di KL sana. Selama ni pun tak ada siapa yang ambil tahu pasal kak, Im masa kat KL dulu, nak telefon kak pun payah. Kakak aje yang buat muka tak malu selalu pi tanya khabar Im. Cuma pak su kita aje yang rajin tanya khabar kak ni, sihat ke tidak, makan apa..."

Imran telan liur. Terasa juga hati bila si kakak mengungkit sikapnya yang lepas tangan terhadap kakaknya. Dia satu-satunya saudara lelaki Shahida, seharusnya dialah yang bertanggungjawab terhadap Shahida. Lagi terasa hati bila kakaknya menyebut nama pak su mereka. Dia tidak sebulu dengan lelaki tersebut. Mereka sama-sama panas bila berjumpa. Jarang sependapat. Pak Su Khalil tu ibarat musuh pada Imran.

Imran selalu cemburu bila Shahida rapat dengan Pak Su Khalil. Pendek kata dia tak suka pak su mereka masuk campur dalam hal mereka adik-beradik. Tetapi kakaknya lain. Shahida rapat dan manja dengan Pak Su Khalil tu. Senasib agaknya. Dua-dua pun masih membujang trang tangtang walaupun umur semakin meningkat. Nasib baik seorang anak saudara dan seorang lagi bapa saudara. Jika tidak mahu dia orang ni dikahwinkan!

"Bukankah sekarang Im dah balik sini untuk jaga kak? Tak perlulah sebut nama orang lain lagi. Kakak tu tanggungjawab Im, kalau kak tak kahwin pun Im akan jaga sampai bila-bila. Im ni lebih dari mampu untuk bela kak. Kak duduk rumah goyang kaki pun Im mampu," ujar Imran kemudiannya. Jelas kedengaran nada suaranya yang berbaur rasa cemburu.

Sengih Shahida tengok riak wajah adiknya.

"Alolo... Sweetnya Doktor Imran! Nak take care kakak sampai tua nyanyuk, tapi tadi siapa yang merungut tak ada orang yang hendakkan kakak?"

Sedas kata sindiran diucapkan Shahida. Berdesup masuk ke gegendang telinga Imran. Kena lagi, rungut hati Imran. Dia tidak berhajat untuk membalas kata-kata kakaknya. Karang sampai subuh esok pun tak sudah lagi jika dua-dua mahu menang. Disebabkan tubuhnya yang lesu, lebih baik mengalah sahaja. Lagipun dia yang salah, merepek pasal kakaknya yang bukan-bukan dengan Nadrah sekejap tadi.

Separuh tubuhnya diangkat untuk berbaring sepenuhnya di atas sofa panjang. Terasa sengal-sengal badannya. Entah kenapa sejak dua menjak ini terasa penat yang melampau setiap hari lepas balik kerja. Dahulu, tak begini pun. Padahal kerja sama juga banyaknya. Pesakit yang keluar masuk wad tak ada pun yang berlebih-lebih berbanding dahulu. Puratanya sama sahaja. Masa bertugas di Kuala Lumpur, bebanan tugas lagi banyak, tetapi taklah selesu begini rasanya badan. Vitamin tambahan dah diambilnya, namun badan tetap begitu.

Sebab jauh dari Nadrah ke? Isy, merepek! Dia bukan remaja berumur lima belas tahun bercinta.

"Penat ke?" tanya Shahida, suara dan pandangannya sudah berubah nada. Tiada lagi sindiran, sebaliknya gaya penuh prihatin.

Imran beri senyum letih pada kakaknya.

"Nak Milo panas? Kak buatkan..."

Kepala Imran angguk laju. Itu yang dia mahukan dari kakaknya saat ini. Secawan air panas yang lemak manis untuk beri tenaga dan segarkan tubuhnya.

Tanpa berlengah, Shahida angkat punggung menuju ruang dapur rumah. Sekejap sahaja satu muk Milo panas dibawanya lalu disua kepada si adik yang telah bangun duduk di sofa.

"Thank you, kak," ucap Imran. Terus dihirup air di tangan. Nasib baik kepanasannya suam-suam sahaja. Tidaklah hancur deria rasa di lidah.

Shahida kembali duduk di atas sofa. Rasa geramnya sebelum ini dah hilang dek kasihan melihat keletihan si adik. Teruk benarkah menjadi seorang doktor di hospital awam? Dilihat adiknya melepek apabila pulang kerja. Bila hari cuti pula, asyik memerap saja di rumah, kepenatan.

"Lenguh badan?" tanyanya apabila melihat Imran melakukan gerakan ringkas untuk betulkan urat-urat badan.

"Haah la, kak. Kenapa entah, badan ni semacam aje sekarang ni. Telan ubat pun tak mahu baik. Macam tu juga."

"Terkena kut?"

Imran terus berhenti mengurut belakang leher sendiri, terbelalak mata memandang si kakak.

"Terkena apa?"

"Yalah... Balik malam-malam, kot-kot ada yang berkenan mengikut!"

"Isy, kak ni! Sama saja dengan Sister Saleha kat hospital tu, percaya sangat benda karut-marut ni. Tak masuk akal!" marah Imran. Pantang dia dengar pasal benda tak berfaedah ni. Dan bila masa pula kakak dia yang berkelulusan luar negara ni percaya kepada perkara-perkara macam ni?

"Kak bagi tahu saja... Tak payahlah sampai nak melenting kalau tak percaya. Manalah tahu, sebab benda-benda tu kita tak nampak. Kalau dah makan ubat pun tak sihat juga, mesti ada sebab lain," balas Shahida semula.

"Tolong la, kak... Jangan nak jadi kampung sangat. Kita ni memanglah duduk kat kampung, tapi tak semestinya pemikiran kita pun nak kampung-kampung juga! Itulah, suka sangat bergaul dengan orang yang bukan-bukan, kan dah terpengaruh!" marah Imran, kemudian dia senyum sinis pada kakaknya.

"Kut ya pun ada benda ni, kak tu yang kena periksa diri sendiri dulu. Lambat dapat jodoh tu mungkin sebab banyak saka atau jembalang dalam badan kut!"

Usai melepas cakap, Imran bingkas bangun menuju ke biliknya, meninggalkan Shahida yang termangu-mangu sendirian.

Continue Reading

You'll Also Like

85.8K 9.7K 39
"Kau tahu, rasanya dikuliti pelan-pelan? Selembar pembungkus ragamu itu dikelupas, menyisakan daging yang masih kemerahan. Kau tak bisa menangis atau...
13.5K 1.5K 32
BUHUL || Sesuatu tertanam di halaman rumah peninggalan Dani. Rasmi gadis dusun Lawangan yang memiliki paras rupawan, tetapi jalan hidupnya tidak sem...
5.6K 489 53
Kecil, putih, terbang melesat? Apa lagi kalau bukan Naci (nasi kecil) seorang hantu yang tinggal di pohon pete bersama keluarganya. Ini kisah tentang...
1.4K 181 3
Ada begitu banyak mitos yang keberadaannya cukup jarang diketahui oleh sebagian besar masyarakat. Meskipun mitos itu berasal dari tanah kelahiran ata...