Bab 15

3K 51 10
                                    

DALAM bilik, Aliza jadi-jadian sambung mengamuk. Dinding bilik rumah ditendang bertalu-talu. Tak henti-henti. Berserta dengan jeritan Aliza yang kuat.

"Aku tak mahu kahwin! Aku tak mahu kahwin! Jangan paksa aku kahwin! Jangan paksa aku!"

Ayat tersebut diulang Aliza berkali-kali. Tanpa jemu. Kuat dan nyaring. Kaki jalan, mulut pun jalan. Aliza seorang di dalam bilik itu, tetapi kedengaran seperti berpuluh-puluh orang menendang-nendang.

"Macam mana ni, Kamal? Takkan kita nak biar sahaja Ija macam tu?" Mak Nah sudah tersandar di pintu bilik Aliza. Tak larat dah menyuruh Aliza buka pintu.

"Entah la, mak. Kamal pun dah buntu," jawab Kamal sambil mengurut kepala dan belakang badannya. Sakit masih terasa. Kuat betul penangan Si Aliza. Bukan tenaga biasa tu. Tenaga lelaki Kamal pun tak mampu lawan tenaga Aliza. Masuk bilik ni karang, pasti kena lagi. Aliza tengah rancak mengamuk tu. Entah-entah kena humban dari tingkap, lepas tu terhempap kat akar pokok jawi yang gedang-gedang tu. Waduh, mati! Tak mati pun, mungkin cacat.

"Kamal, buatlah sesuatu. Mak tak sampai hati tengok Ija terlolong-lolong macam tu. Tengah-tengah malam buta pula ni..."

"Tu la, mak. Kejap lagi satu kampung datang. Kemain kuat dia memekik. Manalah dia dapat suara tu. Kamal nak buat apa, mak? Kamal dah hilang akal. Ija tak pernah sakit teruk macam ni."

Mak Nah diam, berfikir.

"Kamal pergi ambil air sembahyang dulu. Lepas tu cuba azan kuat-kuat kat sini. Manalah tahu kut boleh jalan."

Kamal angguk. Tanpa berlengah dia turun bawah untuk ambil wuduk. Tak lama kemudian, dia datang balik.

Aliza sudak tak memekik, sebaliknya ketawa mengilai-ilai. Macam langsuir malam yang selalu ditunjukkan dalam drama hantu dalam televisyen. Mengilai dan mendayu-dayu gelaknya.

Di tengah larut malam yang sunyi sepi, tiba-tiba kedengaran gelak ketawa perempuan yang mengilai-ilai, sangat menyeramkan, bukan? Terpacak segala bulu roma Kamal.

Kamal pandang emaknya. Berkerut-kerut dahi.

"Apa hal pula tu, mak?"

Mak Nah melepaskan keluhan berat.

"Tak tahulah mak, Kamal. Tadi marah terpekik-pekik. Ni dah macam hantu sundal malam tengah menggatal pula." Lemah suara Mak Nah. Air matanya meleleh-leleh. Macam-macam perasaan ada. Sedih, seram, kasihan pada si anak yang entah tak tahu apakah sakitnya.

"Kamal cuba azankan ya, mak? Manalah tahu berhasil."

"Yalah. Buat la, Kamal... Ija ooo Ija, jangan la macam ni, nak..."

Kamal merempuh pintu bilik Aliza. Selepas beberapa kali menggunakan kekuatan tenaga lelakinya, pintu terbuka. Lalu dia menuju ke arah Aliza yang terlentang di ceruk dinding berhampiran tingkap.

"Bismillahirrahmanirrahim...

Allahuakbar, Allahuakbar. Allahuakbar, Allahuakbar. Asy hadu alla ilaha illallah. Asy hadu alla ilaha illallah. Asy hadu anna Muhammadar Rasulullah. Asy hadu anna Muhammadar Rasulullah..."

Kamal berhenti sekejap. Dia memandang reaksi adiknya di hadapan. Sampai takat ini, Aliza sudah tak ketawa mengilai lagi. Sebaliknya mengaduh kesakitan.

"Aduh... Sakit... Sakit..." Suara Aliza sangat lemah.

Kamal kembali menyambung azannya.

"Haiya 'ala solah. Haiya 'ala solah.

Haiya 'alal falah. Haiya 'alal falah.

Allahuakbar, Allahuakbar.

Lailahaillallah..."

Kamu telah mencapai bab terakhir yang dipublikasikan.

⏰ Terakhir diperbarui: Nov 28, 2018 ⏰

Tambahkan cerita ini ke Perpustakaan untuk mendapatkan notifikasi saat ada bab baru!

JANGAN GANGGU JODOHKU!Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang