JANGAN GANGGU JODOHKU!

By karyaseni2u

37.6K 567 14

Tajuk: Jangan Ganggu Jodohku Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-71-7 Muka Surat... More

BLURB
Bab 1
Bab 2
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 3

2.2K 39 0
By karyaseni2u

SHAHIDA melihat pekerja-pekerja bawahannya melalui cermin kaca. Semuanya nampak tekun dan rajin bekerja. Mengikut sahaja apa arahan daripada penyelia mereka yang bernama Aliza. Penyelianya itu memang punya aura yang kuat untuk pengaruh pekerja patuh akan kata-katanya. Kalau ada Aliza, Shahida boleh lepas tangan la dengan kerja-kerja kat luar tu. Tak payah bebel, tak payah runsing-runsing. Semua pasti beres.

Malangnya pula, Aliza ni selalu ambil cuti. Cuti sakit maksudnya. Kadang-kadang tu namanya aje cuti sakit, tapi tak ada pun surat doktor. Main tolak dengan cuti tahunan saja. Bila habis cuti berbayar, Aliza relaks saja ambil yang tak berbayar. Nak buat macam mana, dah penyakit Aliza tu tak boleh dapat surat daripada doktor. Penyakit pelik. Kalau doktor perubatan, mungkin istilahkan penyakit Aliza ni sebagai penyakit jiwa. Sakit mental bahasa lainnya. Itu yang selalu diberitahu adik Shahida, Doktor Imran 'Aali yang poyo tu.

Kalau datang penyakitnya, dia jadi histeria dan meracau-racau. Itu cerita daripada kawan-kawan rapat Aliza la. Aliza sendiri pun selalu cerita pada Shahida akan masalahnya. Namun, setakat ini Aliza belum lagi sakit di tempat kerja. Sebab itu bila Aliza sakit, maka terpaksalah Shahida memberi cuti sampai betul-betul sihat. Yalah... Takkan nak suruh kerja, lepas tu dia buat histeria, jegil mata terbeliak di Pasar raya Fresh Mart ni, mahu semua pelanggan lari nanti. Oh tidak, janganlah terjadi begitu.

Shahida sangat sayang dengan Aliza. Mahunya tidak, susah nak jumpa anak gadis macam ni di era keyboard warrior dan 'mulut bawang' ni. Kebanyakan budak-budak muda, tak pernah lekang dengan telefon bimbit di tangan, tak peduli pun pada orang-orang tua di hadapan. Aliza ni berbeza. Budi bahasa bagus, hormat semua orang, tak kira umur. Yang muda pun dia hormat, apatah lagi yang lebih tua daripadanya. Bibir senyum sentiasa. Kalau bercakap tu, dia pandang muka kita elok-elok. Aliza sentiasa patuh arahannya. Kena bebel tak pernah ambil hati.

Lagi satu, Aliza ni rajin memasak. Selalu dia bawa kerabu perut dengan tauge dan pucuk paku. Hui... Sedapnya bak hang. Meletup. Kerabu paling sedap yang Shahida pernah rasa selain daripada air tangan arwah mama. Bila makan kerabu buatan Aliza, teringat sangat pada mamanya. Terasa kehangatan kasih sayang di situ.

Ini belum cerita kari kepala ikan Aliza yang dimasak dalam belanga tanah liat. Fuh! Tak tercerita sedapnya. Kuah laksa utara Aliza pun dimasak dalam belanga tanah liat dan guna dapur arang lagi. Bayangkan betapa wangi kuahnya. Itulah kisah unik Aliza. Anak dara zaman sekarang yang sanggup susah payah di dapur. Patutlah ramai mak cik berebut nak jadikan menantu.

Alangkah bagusnya kalau Aliza ni jadi keluarga dia. Jadi keluarga... Macam mana? Kahwin dengan Doktor Imran, satu-satunya adik dia? Mustahil la kan... Imran kan dah bertunang dengan kekasih hatinya, seorang doktor juga. Mana mahunya Imran pada Aliza yang ala-ala kampung tu. Cita rasa Imran yang moden-moden, yang vogue dan stylo. Biarpun tak pandai masak! Kata Imran, dia bukan nak tidur dengan tukang masak. Sombong Doktor Imran tu...

"Assalamualaikum, puan..."

Suara memberi salam di luar pintu kaca yang sedikit terbuka buat Shahida terkejut daripada lamunannya.

"Hah, Ija... Masuklah!"

"Nak bagi ni aje untuk puan." Aliza meletakkan bekas makanan dalam beg plastik di atas meja Shahida.

"Apa ni? Bau sedap..." Hati Shahida sudah berbunga riang. Makanan daripada Aliza pasti akan puaskan tekak dia.

"Mi rebus tulang, puan. Tulang raya korban hari tu masih berbaki. Jadi buat la sebab mak Ija suka makan. Bagi puan sikit."

"Wah, sedapnya. Lama tak makan mi rebus Ija. Terima kasih daun keladi tau. Moga murah rezeki Ija, dapat la saya merasa lagi..."

Aliza ingin keluar untuk sambung kerja tetapi niat itu ditangguhkan dulu bila dirasa Shahida ingin menyambung cakap.

"Errr, Ija... Kenapa muka nampak pucat? Kamu tak sihat ke?"

"Sikitlah, puan..."

"Kenapa? Ada orang datang pinang kamu lagi, ya?"

Aliza mengangguk.

"Laaa... Bila orang datang meminang aje kamu sakit, ya? Habis, terima tak?"

"Taklah, puan. Kalau Ija terima lagi sakit teruk kut!"

"Ya ke? Macam-macamlah kamu ni, Ija. Cuba kuatkan semangat sikit. Jangan layan sangat perasaan bukan-bukan yang datang ganggu kamu. Amalkan zikir dan baca ayat Kursi, surah-surah tiga Qul. Kamu buat tak?"

Aliza senyum.

Shahida faham akan maksud senyum Aliza. Tak buat la tu. Tengok cara senyum pun tahu. Buat Shahida terbayang adiknya Doktor Imran semula. Kalau pasal sembahyang, liat juga kadang-kadang adik dia tu. Bukan apa, jenis tak ambil berat pasal solat lima waktu. Suka lagha. Nak ditegur selalu, adiknya bukan budak kecil, dah besar panjang. Kalau kahwin berderet anak ikut belakang dah.

"Ija keluar buat kerja dulu ya, puan?"

"Okey... Terima kasih lagi sekali tau untuk mi rebus tu." Bungkusan bekas mi rebus dikerling. Shahida dah tak sabar nak makan. Sumpah sedap!

Ada soksek-soksek pekerja bergosip, kata mereka Aliza kuat bodek. Namun Shahida tak rasa begitu. Dia nampak keikhlasan Aliza bila menghulurkan makanan. Bukan untuk dia seorang, malah pada rakan-rakannya juga dia bawakan. Aliza memang suka meraikan dan menggembirakan orang.

KEDENGARAN suara lelaki lantang di luar. Shahida bingkas bangun untuk melihat apa yang sedang berlaku. Dari jarak agak jauh dia memerhati seorang pelanggan yang tengah berang kepada seorang pembantu Fresh Mart yang bertugas memotong ayam. Marah kerana pembantu tersebut memotong ayam orang lain dahulu sedangkan dia sudah lama menunggu giliran.

Shahida berdiri tercegat sahaja melihat kerana dia nampak Aliza sudah berada di situ untuk selesaikan masalah. Dengan Aliza, sekejap saja masalah selesai. Pak cik yang marah-marah boleh tersenyum mesra dan sengih-sengih gatal pada Aliza. Entah apa yang digula-gulakan Aliza tak tahulah.

Aliza ni memang punya aura untuk buat hati orang jadi lembut, tengah marah boleh cancel marahnya, malah boleh buat orang bajet kedekut jadi boros. Cair. Itulah kelebihan Aliza. Menakjubkan bukan? Sebab tu kalau ada Aliza, pasar raya Shahida laris jualannya. Berpusu-pusu kaum lelaki masuk borong barang. Sebaliknya kalau Aliza cuti, lengang saja. Nampak perbezaan yang ketara. Tak ada pun pelanggan lelaki yang berpusu-pusu datang untuk melihat Shahida yang dah nak kertu ni.

Shahida banyak memuji Aliza. Aliza serba-serbi bagus tetapi itulah hakikat sebenar. Selain dari emak-emak orang yang teringin untuk bermenantukan Aliza, mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik sekalian alam juga suka dan mudah bagi muka dengan Aliza ni.

Tu tak kira lagi bujang-bujang yang tersuka tanpa sengaja pada Aliza. Ramai. Akan tetapi biasalah Aliza... Dia selamba sahaja. Layan gitu-gitu sahaja semua orang. Kalau nak menggatal ke, nak melamar, merisik... Semua dia tolak. Nak tunggu putera raja mana lagi tak tahulah. Nasib setiap orang, yang ramai mengejar, jual mahal, macam Shahida ni tak siapa pun berkenan, tak laku-laku. Jangankan nak meminang, orang nak kenyit-kenyit mata pun tak ada. Sikit lagi mereput la Si Shahida ni.

"Kamu memang tak nak kahwin ke, Ija?"

Suatu hari, Shahida tanya Aliza. Tak pernah dia tanya pun soalan yang terlebih peribadi pada staf dia, sebagaimana dia tak suka pekerjanya bertanya soalan begitu terhadapnya. Tapi hari ni gatal pula mulut Shahida yang comel dan seksi ni.

"Perempuan mana yang tak nak kahwin, puan..." jawab Aliza jujur.

"Habis tu kenapa tolak semua pinangan? Takkan dalam ramai-ramai tu, tak ada sorang pun yang Ija berkenan? Kamu jangan kata saya jadi penghalang. Saya ni walau belum ada jodoh, suka saja makan nasi kenduri dan lauk kawah. Kalau rumah kamu kenduri ada peluang saya bungkus banyak-banyak bawa balik!"

Amboi Shahida, bab makan juga yang dia ingat. Tak padan dengan badan yang ceding, kurus kelengkeng, nafsu makan sangat kuat! Macam ada saka yang tumpang sekali masa dia melahap.

Aliza berjeda sebentar.

"Entahlah, puan. Ija nak sebenarnya, tergedik juga nak kahwin, tapi setiap kali nak terima, ada suatu perasaan lain yang tak bagi terima. Perasaan tu merasuk-rasuk kepala Ija ni suruh jangan terima. Dia tujah-tujah kepala Ija, sampai sakit sangat. Sebab tu Ija tolak semua. Tak tahan tanggung sakit. Nak cerita kat orang pun susah, orang bukan percaya."

Berkerut dahi Shahida.

"Macam tu pula! Perasaan Ija aje kut? Cuba jangan layan sangat permainan perasaan tu."

"Dah cuba. Bukan Ija tak cuba buang tapi bila Ija cuba, dia lagi kuat datang. Sampai sesak dada ni. Kadang-kadang nak maki hamun puan pun ada, tapi Ija cuba bawa sabar sungguh-sungguh."

"Pasal apa pula nak maki saya? Apa kaitan dengan saya?"

"Puan tak salah apa-apa... Tapi suara-suara yang kacau Ija ni tak suka puan. Dia selalu ocok suruh kelahi dengan puan. Dia kata puan ni nak jadikan Ija adik ipar sebab Ija boleh jadi tukang masak puan. Boleh puan makan sedap-sedap."

Mulut Shahida dah jadi huruf O besar. Macam ni punya penyakit pun ada. Tak terjangkau dek akal. Nak kata Aliza temberang, wajah Aliza nampak jujur dan telus saja. Akan tetapi kenapa macam betul? Sedangkan dia tak pernah cerita kat sesiapa pun pasal niat hatinya itu. Memang la dia selalu berangan nakkan Si Imran poyo tu kahwin dengan Aliza, tapi dia tak pernah bercakap dengan dengan sesiapa pun tentang hal ni. Sembunyi diam-diam dalam hati. Macam mana Aliza boleh tahu?

Pelik!

Continue Reading

You'll Also Like

73.2K 3.8K 41
Dia hilang sejak satu tahun yang lalu dan sekarang kembali untuk menyelesaikan semuanya yang belum sempat terselesaikan. Dendam yang mendalam. "A-aku...
483K 29.9K 52
Tentang seorang Auriska Rahima yang harus terjebak dalam masa lalunya. Semua bayang-bayang itu selalu saja memenuhi otak dan pikirannya. Semuanya ber...
675K 45.3K 17
Nakal tapi manja? Siapa lagi kalau bukan Reydar Galaxy Éros. "ish, aku mau pelukkk Liaa" ⚠️BAPER AREA⚠️
254K 28K 47
Gilang dan Alby harus menghadapi kemarahan dari Anggota Sekte, setelah kematian Pak Ryan. Baca - Ellea dan Tujuh Hari Setelah Ibu Pergi, sebelum me...