SEADANYA AKU

By karyaseni2u

289K 1K 41

Tajuk: Seadanya Aku Penulis: Rissa Ahdiya Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-101-1 Muka Surat : 496 Harga:... More

BLURB
Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 10

16K 48 1
By karyaseni2u

Wajah Aufiya yang jelas gembira menyakitkan hati Zureen sebenarnya. Namun dia perlu berlagak seolah-olah dia juga turut gembira dengan perkahwinan sahabatnya itu.

Kad yang ditunjukkan Aufiya tadi dipegangnya kuat-kuat. Berbulu mata melihat kad jemputan perkahwinan Aufiya yang indah ditulis dengan tinta berwarna emas.

"Kau jadilah juga nak kahwin dengan Si Taufik tu?" tanya Zureen. Terbeliak mata Wina yang mendengarnya.

"Eh, kau ni! Soalan langsung tak agak-agak. Kawan tu dah bertunang masuk setahun kut, takkanlah tak mahu kahwin? Persiapan pun dah buat, dah siap. Cuma tunggu kad diedarkan, majlis dilangsungkan aje. Entah apa-apa jugalah soalan kau ni tau!" marah Wina.

Dia pula yang terasa sakit hati dengan soalan yang diajukan Zureen, sedangkan wajah Aufiya tenang-tenang sahaja.

"Aku tanya Fiya, bukan tanya kau. Sibuk aje! Kau tu pun bertunang dah nak masuk setahun juga, tapi tak ada pun dengar khabar yang kau dengan Zarul nak kahwin. Atau kau dengan dia nak bertunang sampai tua?" Sempat Zureen melemparkan sindiran pedas. Matanya menjeling tajam. Dasar penyibuk!

"Sudah, sudah! Kau berdua ni, asal berjumpa aje mulalah bertekak. Macam manalah kalau aku dah pindah keluar dari rumah ni nanti? Mahu bergasak agaknya."

Wina menjeling. Zureen mencebikkan bibirnya.

"Ya. Aku nak kahwin dengan Taufik juga, Zureen. Tak kira. Apa pun jadi, aku tetap nak kahwin dengan dia." Soalan Zureen tadi dijawab Aufiya dengan nada berseloroh. Tidak mahu kedua-duanya terus bermasam muka hanya kerana dia. Perangai macam budak-budak!

"Aku bukan apa Fiya, lelaki zaman sekarang ni bukannya boleh percaya sangat."

"Habis tu takkan kau nak suruh aku kahwin dengan perempuan pula?" Aufiya menjegilkan matanya. Zureen ketawa kecil. Ya tak ya juga! Apalah aku ni.

"Apa-apapun, aku harap kau berbahagialah dengan Taufik tu nanti. Erm... Aku juga yang masih keseorangan. Oh jodohku, ke mana sahajalah kau sesat ni? Aku ada dekat sini. Cepatlah kau sampai, wahai jodoh."

Wina menyiku perut Zureen. Zureen membalas dengan menepuk paha rakannya itu. Akhirnya mereka sama-sama ketawa.

Hesy, tadi macam nak bertarik rambut. Sekarang bukan main lagi bergelak ketawa. Aufiya menggelengkan kepalanya.

"Jodoh kau tengah sesat dekat hati orang lain kut. Takut nak dekat sebab kau garang sangat." Wina mengulas.

Zureen menjuihkan bibirnya. Bila masa pula dia garang? Dia cuma bersikap tegas kerana tidak mahu ada yang mengambil kesempatan. Serik ditipu oleh bekas teman lelakinya pun masih belum hilang lagi walaupun perkara itu sudah hampir dua tahun berlalu.

"Pandailah kau! Eh, aku serius ni. Kau dengan Zarul bila lagi?"

Wina mengeluh. Soalan inilah yang paling tidak seronok untuk dia dengar.

"Jangan tanyalah! Malas aku nak jawab sebab aku tak ada jawapannya."

"Itulah, cari lagi lelaki yang sejuk beku macam tu. Nak bercakap pun macam ada emas segumpal dalam mulut. Serius memanjang!" komen Zureen. Langsung tidak dipedulikan hati Wina yang terasa bila tunangannya dikata orang.

"Dia okeylah! Kau ni..." tingkah Aufiya.

Zarul tidaklah seteruk itu orangnya. Walaupun tegas dan agak serius perwatakannya, namun lelaki itu jika kena pada masa-masanya murah pula dengan senyuman.

"Kau bukan selalu berurusan dengan dia, Fiya. Aku ni selalu menghadap dia terutamanya bab-bab pembekal. Kalau dia dah kata hitam, kau jangan berani beri cadangan kelabu tahi anjing. Percuma aje dia bertempik dekat kau nanti."

"Encik Zarul macam tu ke? Isy, macam tak percaya aje aku." Aufiya menyanggah. Dia memanglah jarang berurusan dengan Zarul. Zarul itu ketua jurutera, dia pula bertugas di bahagian promosi. Jarang benar ada tuntutan tugas yang menemukan mereka. Jika ada pun, Puan Dahlia selaku ketua bahagian akan berurusan dengan Zarul.

"Aku ni rasa semacam bila kau panggil dia Encik Zarul." Wina mencelah. Sudah berkali-kali dia melarang, namun tetap itulah juga panggilan yang digunakan oleh Aufiya meskipun Zarul tiada di situ. Aufiya ketawa kecil.

"Dah terbiasa. Lagipun dia kan bos aku dengan Zureen. Cuma bahagian aje yang berbeza." Aufiya beralasan.

"Apa cerita kau ke rumah Zarul minggu lepas?"

Wina mengeluh lagi. Zureen ni entah bilalah akan berhenti bertanyakan soalan-soalan yang menduga hati seperti itu?

"Saja pergi melawat. Cerita apanya? Aku dah lama tak jenguk emak dia tu. Zarul pula kebetulan nak balik ke Ipoh. Dia ajaklah aku. Daripada aku sorang-sorang duduk dekat dalam rumah ni menghadap dinding, baiklah aku ikut Zarul ke Ipoh. Boleh juga aku berjalan-jalan."

"Oh, aku ingatkan pergi berbincang tentang hal kau dengan dia. Manalah tahu nak merancang majlisnya dalam masa yang terdekat ni." Zureen separuh lega mendengar kata-kata Wina tadi. Mujurlah. Jika Wina pun mahu berkahwin dalam masa terdekat ini, manalah dia mahu meletakkan muka dan menadahkan telinga dengan kata-kata orang. Boleh bernanah lubang telinga dibuatnya.

"Nantilah, kalau ada berita terkini, aku akan uar-uarkannya pada kau dengan Fiya. Takkanlah benda macam tu aku nak berahsia pula?"

"Kau dah cari cincin nikah ke, Fiya?"

Aufiya mengangguk.

"Dah. Minggu lepas baru pergi cari. Beli dekat kedai emas biasa aje. Beli cincin yang dah siap," beritahu Aufiya. Tidak pula dikhabarkan kepada Zureen dan Wina yang Taufik turut membelikannya set barang kemas yang terdiri daripada gelang, rantai dan juga anting-anting. Jika diberitahu, bimbang bakal meroyan pula Zureen nanti. Wina itu tidak mengapalah, sentiasa sahaja menumpang gembira.

"Isy, kau ni! Orang belilah yang elok-elok sikit. Tempah dari kedai emas terkemuka ke. Ini cincin nikah kau tau! Bukannya cincin buat main pondok-pondok. Bukannya kita nak nikah dua tiga kali, sekali seumur hidup aje kut. Kalau aku, aku tak mahu cincin nikah aku tu sama rekaannya dengan cincin-cincin yang lain. Aku nak cincin nikah aku tu eksklusif. Cuma ada satu aje dalam dunia," bidas Zureen. Tidak suka betul dia dengan sikap Aufiya yang gemar menurut sahaja apa kata Taufik.

Aufiya tiba-tiba bangun. Mencapai sebuah kotak kecil yang berada di atas almari. Dibawanya kotak itu turun, lalu diletakkannya di atas lantai.

"Alah, aku tak kesahlah, Zureen. Pentingnya majlis nikah tu nanti. Itu pun aku nak buat sederhana aje. Tak mahulah membazir sangat." Aufiya mula membuka kotak. Dibelek-beleknya satu per satu barang-barang yang berada di dalamnya. Ada reben, gunting dan beberapa utas dawai halus yang akan digunakan sebagai hiasan untuk barang-barang hantaran nanti. Masih ada beberapa barang yang tidak mencukupi. Esoklah aku singgah di kedai. Beli mana-mana yang belum cukup, getus hati Aufiya.

Aufiya masih tidak menyedari lirikan mata Zureen yang tajam mengekori setiap pergerakan tangannya. Wina pula sedang sibuk menatap telefon yang berada di tangan. Tidak tahulah sedang berbalas mesej dengan siapa, malas Zureen mahu mengambil peduli.

"Kau tak rasa awal sangat ke kau nak akhiri zaman bujang kau ni, Aufiya? Kerja pun baru setahun dua. Umi dan ayah kau pun belum puas merasa duit gaji kau tu, sekarang kau dah pun nak berkahwin. Kau tak rasa bersalah ke pada mereka?" Zureen cuba untuk memasukkan jarumnya. Manalah tahu kalau-kalau jarumnya kali ini mengena lalu tertusuk terus ke dalam hati Aufiya.

"Dah terlewat kau nak cakap macam tu, Zureen. Semua persediaan dah dibuat. Kad pun dah siap, tunggu masa nak diedarkan sahaja lagi. Alah, lepas kahwin pun aku akan tetap berikan duit untuk umi dan abah aku. Bukannya lepas kahwin nanti aku akan stop berikan mereka elaun setiap bulan. Taufik pun tak ada halangan tentang itu."

"Takut sebelum kahwin memanglah tak ada halangan, tapi selepas kahwin lain pula cakap-cakapnya. Lepas kahwin, kau faham-faham sahajalah. Suka atau tidak, kau terpaksalah taat pada perintah dan larangan suami."

Aufiya yang sedang meneliti senarai nama tetamu jemputan untuk ditulis di atas kad nanti, terhenti pergerakannya. Matanya merenung ke arah Zureen. Lain macam pula kedengaran ayat Zureen di telinganya malam ini. Macam ada sesuatu yang terbuku dalam hati sahabatnya itu.

"Zureen, kau tak gembira ke aku dah nak kahwin?"

Zureen terkesima. Tidak menyangka yang tutur katanya bisa mengundang syak wasangka kepada Aufiya.

"Hesy, ke situ pula kau! Kau tahu kan yang aku sayangkan kau macam saudara aku sendiri? Aku cuma risaukan Taufik tu. Bimbang kalau-kalau dia tak melayan kau dengan baik. Itu sahaja. Janji lelaki ni kita bukannya boleh pakai sangat. Lagipun, bila kau dah kahwin, tentu kita dah tak serapat sekarang," dalih Zureen pantas. Tidak mahu Aufiya tahu yang dia sebenarnya memang tidak gembira langsung dengan perkahwinan Aufiya yang bakal berlangsung sedikit masa lagi.

"Insya-Allah, Taufik bukan macam tu orangnya. Dah lama aku kenal dia. Aku yakin, dia lelaki yang tepat untuk aku." Aufiya cuba untuk menyedapkan hati Zureen.

"Hurm, terpulanglah pada kau, Fiya. Aku cuma boleh doakan agar kau bahagia sahaja." Manis bicara pada kedua-dua ulas bibir Zureen. Sedangkan dalam hatinya sudah menyumpah kerana jodoh Aufiya yang sampai dulu.

"Kau dengan Fuad macam mana? Tak ada tanda-tanda Fuad nak masuk meminang ke?" tanya Aufiya pula. Zureen mendengus.

"Kau macamlah tak kenal Fuad tu macam mana orangnya. Kayu! Soal perasaan memang failed. Puas aku bagi hint, tapi dia buat tak tahu aje."

"Kau ni, tak baik mengata dia macam tu. Dia bukan kayu, cuma dia tu berhati-hati sikit orangnya. Mungkin dia perlukan lebih masa agaknya sebelum ambil keputusan untuk berkahwin."

"Perlukan masa? Dia tu dah stabil dari segala segi. Rumah dah ada, kereta pun import dari luar negara. Gaji pun besar. Tak fahamlah aku apa lagi yang dia tunggu." Zureen mula membebel. Puas diberikan tanda-tanda kepada Fuad yang juga kawan sekuliah mereka sejak di universiti, namun Fuad masih juga begitu.

Manalah dia tidak risau, usia mereka sudah menginjak ke angka dua puluh tujuh tahun, tapi teman lelaki pun dia tidak punya. Emak dan ayahnya juga sudah sibuk bertanya, belum dicampur dengan mulut saudara-mara dan orang keliling lagi. Namun lelaki itu berdarah sejuk agaknya, atau sengaja berlagak dungu. Buat tidak tahu sahaja biarpun hubungan mereka yang boleh diklasifikasikan sebagai teman tapi mesra itu, sudah pun memasuki usia tahun kedua.

Nak dikatakan Fuad tidak suka kepadanya, Fuad melayannya lebih daripada seorang kawan. Mahu dikatakan yang Fuad itu suka kepadanya, tidak pernah pula perkataan I love you keluar daripada mulut jejaka berbadan sasa itu. Ah, bencilah Zureen mahu memikirkannya.

"Mungkin dia tunggu masa yang sesuai agaknya. Kau janganlah desak dia sangat. Takut dia rasa macam kau memaksa dia pula."

Zureen menjeling. Jangan mendesak Fuad? Kau takut ke Fiya, kalau aku yang kahwin dulu dari kau? Taufik dengan Fuad tu, Fuad lebih hebat baik dari segi paras rupa mahupun harta benda. Taufik itu memanglah ada perniagaan sendiri, tapi manakan terlawan dengan Fuad yang menjawat jawatan peguam kanan di salah sebuah firma guaman yang terkenal di Malaysia.

"Eh, aku nak mandi dululah. Dah melekit semacam badan aku ni." Aufiya lantas mencapai tuala yang tersangkut pada penyidai di dalam biliknya. Tanpa menunggu jawapan balas daripada Zureen, terus sahaja dia melangkah keluar menuju ke bilik air.

Sebaik sahaja kelibat Aufiya sudah tidak kelihatan lagi, Zureen terus menumbuk bantal yang berada di atas katil berkali-kali. Mahu melepaskan kemarahan yang terbuku dalam hati sejak dari tadi lagi.

Jaga kau, Aufiya! Tidak selamanya kau akan menang. Aku akan pastikan kau akan menangis dan tersungkur juga nanti. Zureen mula menanam tekad. Sakit hati yang tersimpan sejak bertahun dulu semakin marak apinya.

"Dah kau ni tiba-tiba meroyan kenapa?"

Zureen menoleh ke sebelah. Lupa pula dia yang Wina turut berada di situ.

"Hurm... Tak ada apa-apalah!"

"Eh, mana Fiya? Tiba-tiba aje hilang."

Zureen menarik nafas panjang. Itulah, ralit sangat melayan telefon, sampaikan kawan tu keluar pun kau tak sedar, kutuk Zureen.

"Entah! Dahlah. Aku nak keluar dulu. Panas duduk dalam bilik ni. Berbahang!"

Wina mencebikkan bibir. Entah apa sahajalah yang tidak kena pula kali ini. Wina malas mahu memberatkan kepalanya memikirkan tentang Zureen. Angin Zureen, siapa yang tidak kenal?

Continue Reading

You'll Also Like

587K 27K 42
Needs editing [ the destiny series #1] 𝑻𝒉𝒆 𝒇𝒂𝒕𝒆 𝒑𝒖𝒔𝒉𝒆𝒅 𝒕𝒉𝒆𝒎 𝒂𝒑𝒂𝒓𝒕 𝒃𝒖𝒕 𝒅𝒆𝒔𝒕𝒊𝒏𝒚 𝒂𝒈𝒂𝒊𝒏 𝒑𝒖𝒍𝒍𝒆𝒅 𝒕𝒉𝒆𝒎 𝒕𝒐𝒈...
Alina By ihidethisapp

General Fiction

1.5M 37.3K 75
The Lombardi family is the most notorious group in the crime world. They rule both the American and Italian mafias and have many others bowing at the...
125K 2.2K 44
Sweet Romantic (Loose Trilogy #2) Failure and disappointment are the hardest things that she's afraid to achieve. Amaryllis Raine Lozano, a girl ful...
Ice Cold By m

General Fiction

2.2M 83.4K 49
[boyxboy] Wren Ridley is always two steps ahead of everyone, or so he thinks. His life seems out of his control when he starts having feelings for so...