KALBU PUN BERZIKIR

By karyaseni2u

8.3K 156 6

Tajuk: KALBU PUN BERZIKIR Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-030-4 Har... More

BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9
BAB 11
BAB 12
BAB 13
BAB 14
BAB 15

BAB 10

341 6 0
By karyaseni2u

Pucuk langit masih bercahaya dengan lengkungan kecil bulan sabit. Matahari perlahan-lahan mengusir dingin subuh. Suara Norlia sudah riuh mengejut anak-anak yang masih berselimut.

"Jangan lengah-lengah solat subuh! Nanti kelam-kabut nak pi sekolah."

Fatin mengeliat malas. Tangannya meraba-raba betis dan paha. Kemudian dia merapatkan telapak tangan ke hidung. Bau serai wangi!

"Ibu sapu minyak kat kaki Fatin, ya?"

"Haah..."

"Tak sedaq pun!"

"Dah tiduq macam orang pengsan, mana nak sedaq! Dah cepat mandi!"

Fatin segera bangkit dan mengemas tilam lusuh tempat tidurnya itu. Selimut yang dijahit daripada perca-perca kain dilipat kemas.

"Adik, abang... Bangkit cepat! Nanti dah subuh gajah baru nak solat!"

Riya bangkit dengan penuh rasa malas. Duduk memeluk lutut di hujung selimutnya.

Maarof masih bergulung tidur.

"Bangkit cepat. Ibu siram air nanti!" leter Norlia memaksa dua beradik itu bangun biarpun mata masih kelat lagi.

"Bilik air ada kakak. Kejap lagilah, ibu..." Riya terlentok sambil memejamkan mata lagi.

"Bangunlah. Budak perempuan mana boleh malas! Nanti rezeki lekit nak masuk."

"Bangunlah, adik. Malaslah adik ni. Macam perangai ayah. Kuat tiduq!" Maarof menyiku Riya. Terbeliak mata Riya apabila Maarof tiba-tiba menyamakan dirinya dengan ayah yang jarang pulang ke rumah. Norlia yang sedang membancuh kopi di dapur tersentak mendengarnya.

"Sakitlah!" jerit Riya pula.

"Abang... Awat habaq lagu tu? Pagi-pagi ni jangan nak berkelahi pula adik-beradik!" Norlia memberi amaran.

Pagi yang riuh untuk empat beranak. Norlia menggeleng melihat kerenah anak-anak. Namun pada mereka bertiga itulah jantung hatinya terlekat.

"Makan lebih sikit, Fatin. Nanti tak kuat nak berlumba."

"Kakak mesti menang punya!" Maarof tiba-tiba memuji.

"Tak payah nak bodek. Kalau kakak menangpun ingat kakak nak kongsi hadiah dengan abang ka?"

Menyeringai Maarof memandang Fatin. Punah hasratnya. Baru hendak menginding Fatin gula-gula getah yang ada dijual di kantin sekolah.

Fatin pantas menyudahkan suapan nasi putih dengan gulai ikan termenung.

"Tak habis makan?" tegur Norlia.

"Tak mahu kenyang sangat, ibu. Nanti Fatin termuntah masa berlari."

"Kakak, masa lari tu adik lambai kat akak, akak tengok adik, tau!" Riya sempat berpesan.

"Huh, nak berlumba, nak berlari, mana ada masa nak lambai-lambai!" balas Fatin sambil tercebik. Usai bersalam dan mengucup tangan ibunya, Fatin dengan penuh semangat melangkah keluar rumah.

"Baca bismillah dengan selawat banyak-banyak. Nanti ibu dengan adik-adik sampai. Fatin pergi dulu."

"Ibu tak pergi menoreh ka hari ni?"

"Taklah kot. Nak tengok Fatin. Hari ni ibu cutilah!"

Norlia memandang kelibat anaknya dengan penuh rasa sayu. Tubuhnya kecil namun semangatnya tidak pernah berkurang.

Renungan Norlia yang menghantar langkah Fatin terhenti sebagaimana terhentinya gerak anak itu.

"Ayah datang tak agaknya, ibu?"

Suara Fatin mengharap.

Norlia terkaku beberapa saat.

"Kalau ayah tahu mesti dia datang."

"Tapi ibu tak sempat beritahu ayah, kan?"

Ligat Norlia mencari alasan. Hati Fatin tidak boleh tergores, tumpuan Fatin harus sepenuhnya pada padang balapannya.

"Ibu ada pesan pada kawan-kawan ayah. Kalau Pak Cik Ghani jumpa ayah, atau Pak Cik Jali terserempak dengan ayah, dia orang mesti sampaikan pesan." Lembut suara Norlia. Biarpun hatinya sendiri bagai diracik halus. Memberikan harapan palsu pada Fatin sama sahaja seperti meremukkan jiwa sendiri.

"Minta-mintalah ayah ada ya, ibu."

"Kalau ayah tak ada, dia bukan sengaja. Ayah tu selalu sibuk. Tak boleh tinggalkan kerja dia."

"Bukan ayah sengaja tak mahu balik?"

"Semua ayah sayang anak, Fatin," Suara Norlia bergetar. Matanya yang bening menahan sesuatu.

"Dah... Cepat pi sekolah tu! Tunggu ibu dengan adik-adik kat sana."

Sengaja Norlia menghambat si kecilnya segera ke sekolah sebelum matanya bergenang dengan air mata di hadapan anak.

Pusaran kenangan membuatkan Norlia terus tenggelam dalam kisah silam. Kisah yang penuh berliku. Dalam gemerlap cinta, dia rasa terjerat.

Bau kesidang yang melingkari pagar rumah besar milik keluarga Ghafar menyambut ketibaannya. Harumnya begitu menakluk dan menguasai segenap ruang.

"Cari sapa ni?" Seorang perempuan muda berbaju kurung Kedah, berkain batik warna merah jambu dan coklat sedang memangkas pokok-pokok di halaman rumah itu menegurnya. Norlia tahu dia tidak tersalah. Pak cik teksi yang membawanya ke situ menyakinkan dia, inilah rumah Ghafar.

"Assalamualaikum. Tumpang tanya. Ni rumah Abang Ghafar ka?"

Mata perempuan itu meneliti dirinya dari atas ke bawah. Tajam.

"Apa hal ni?"

"Saya Norlia... Isteri Abang Ghafar."

"Isteri? Eh, hang tahu dak aku sapa?"

"Ni Gina ka? Abang Ghafar ada cerita." Beria-ia Norlia cuba memaniskan wajah. Dia cuba mencapai tangan perempuan itu untuk disalaminya.

"Hei! Dah... Tak payah nak mengada-ada dekat sini. Hang dengaq sini, ya? Aku tak kenai hang sapa. Mak bapak aku tak tahu hang ni anak sapa Si Ghafar kutip buat menantu. Lagi baik hang balik sekarang!"

Terkesima Norlia apabila dicemuh begitu. Allah! Aku cuma mencari suami aku! Aku bukan nak menumpang pun di rumah agam ini.

"Gina, saya minta maaf! Saya cuma nak tahu khabar Abang Ghafar. Hari tu saya dengaq dia masuk lokap kejap. Tapi dengar kata keluarga dah ikat jamin."

Semakin menyinga Gina melihat Norlia tidak mahu meninggalkan halaman rumahnya.

Tiba-tiba ada satu suara kedengaran dari dalam rumah.

"Gina, sapa kat luaq tu?"

"Ah, ada orang datang jual pekasam, mak!"

Norlia semakin hilang kata-kata.

"Hang dengaq sini. Hang toksah dok buat muka terkejut hang kat sini. Tak pasai-pasai kepala hang aku pangkas pakai pemangkas pokok ni. Baik hang balik. Hang jangan buat kecoh kat sini. Cukup-cukup mak aku sakit jantung masuk hospital pasai adik aku bernikah dengan hang."

Gina memberi amaran. Langkahnya mara ke hadapan menyebabkan setapak demi setapak Norlia berundur.

"Saya sanggup berlutut minta ampun. Saya tak ada niat nak buat keluarga Abang Ghafar susah. Tapi bagilah peluang saya jumpa suami saya. Sekejap pun jadilah!"

"Hei, hang ni tak reti bahasa ka? Toksah nak berabang-abang Ghafarlah! Loya tekak aku! Hang dengaq sini, baik hang berambus sebelum aku pangkas hang."

"Saya datang cara baik. Kalau Gina tak kesiankan saya, Gina kesiankanlah anak-anak kami yang ada tiga orang tu."

"Hoi, masa buat anak tu tak ingat pula nak berbaik-baik dengan mentua! Masa bernikah dulu tak ada hati pula nak minta ampun dengan kami. Dah jadi macam ni baru nak terhegeh-hegeh."

Panas kelopak mata Norlia, berdesing telinganya. Satu demi satu cemuhan itu ditelannya dengan seribu kelukaan dalam hati.

"Tak ada niat saya nak membelakangkan keluarga. Tak apalah kalau pihak Gina kata saya yang salah. Cuma saya nak beritahu Gina, saya sendiri rasa teraniaya. Saya sendiri tak sangka Abang Ghafar selama ni menagih!"

"Hang pi sekarang! Hang keluaq dari laman rumah ni! Aku tak mahu tahu masalah hang! Perempuan bodoh aja yang boleh kena tipu! Niat asal kau apa, ya? Bernikah dengan Ghafar tu hang berangan boleh tumpang senang keluarga kami ka? Hei, hang tu yang bawa sial pada kami la! Sampai kami bertahun-tahun hilang Ghafar. Hang buat apa pada Ghafar? Bagi nasi kangkang ka sampai Ghafar tak reti dah nak balik jumpa mak bapak kami? Hang berambus sekarang. Hang nampak pemangkas ni? Hang nak rasa kepala kena pangkas ka?"

Gina semakin menggila. Mahu ditunjalnya Norlia dengan besi pemangkas.

"Gina, ada apa kat luaq tu?"

"Tak ada apa, mak! Ni hah, budak ni... Gina beritahu kita ada banyak stok pekasam, degil dia. Nak paksa kita beli." Pantas Gina menyahut sambil matanya terjegil memandang Norlia. Memberi isyarat agar meninggalkan kawasan rumah itu.

"Aku kata pergi sekarang! Hang ingat hang cerita pasai anak-anak hang, kami nak kesian? Suluh sikit muka tu. Aku dah lama berdendam dengan hang. Bagus hang mai hari ni. Jadi hang faham sikit, ya. Sebab kaulah mak kami berendam air mata. Hang ingat aku tak siasat apa jadi kat adik aku bila dia hidup merempat dengan hang? Kalau takat toreh getah, gentel pekasam sama nasi lemak, rumah pun macam bangsal lembu dah terjongket lantai, hang jangan beranganlah nak tumpang senang keluarga kami. Berambus sekarang!"

Terpempan Norlia. Dia tiada pilihan. Harapannya untuk melihat kelibat Ghafar muncul di hadapan laman rumah itu tidak kesampaian.

Dan sejak itu dia semakin faham kalau berita Ghafar semakin sayup daripada pengetahuannya.

Tuhan, inikah kafarah untuk aku? Dugaan besar untuk aku yang melukakan hati emak! Balasan untuk aku yang menghampakan perasaan emak!

Biarlah! Biarlah Ghafar menghilang asalkan anak-anak yang menjadi nafas dan udaranya tidak hilang daripada pandangan matanya.

"Nor! Nor! Assalamualaikum!" Ada suara yang menerjah di luar rumah. Cepat-cepat Norlia mengesat air mata.

"Waalaikumussalam. Mak ada. Kejap, ya?" Riya menjengah.

"Ibu, Mak Bedah kat luaq tu!" Riya yang sedang menyusun nasi lemak daun pisang ke dalam raga, pantas memberitahu.

"Ya, waalaikumussalam! Mak Bedah, naiklah... Ada ni!"

"Tak menoreh, ya?"

"Hari ni Fatin ada lumba lari. Ujian saringan untuk biasiswa sekolah sukan. Kejap lagi ni kami nak pi sekolah dialah. Kami nak pi hantaq nasi lemak kat kedai Haji Senawi dulu," ujar Norlia sambil menoleh ke arah Riya dan Maarof. Maarof sibuk menolong membasuh dulang dan mangkuk sambal di dapur kecil mereka.

"Susun elok-elok adik nasi tu. Jangan sampai terbuka bungkusannya." Norlia mengingatkan anak yang seorang itu. Selalunya setiap pagi Fatin yang buat kerja menyusun bungkusan nasi ke dalam raga.

"Oh, Fatin ada latihan hari ni. Riya dengan Maarof tak masuk ka?"

"Yang jaguh kalau berlumba lari kat rumah ni Si Fatin aja. Badan kecil tapi sekali berlari berdesup. Macam kena tolak dengan angin. Budak dua orang ni takat lumba lari dalam guni, lumba lari kepit bola, bolehlah!" balas Norlia sambil menggeleng dan ketawa.

"Eh, adik menang tau masa sukan acara lari dalam guni!" Pantas Riya menyampuk.

"Alah, adik terkedek-kedek aja macam itik pulang petang. Adik menang pun sebab semua kawan adik yang lain tu debab-debab." Maarof mencelah.

"Diamlah! Kira menanglah juga! Abang setakat tukang sorak tepi padang aja," cebik Riya.

"Hesy, jangan kelahilah! Malu dengan Mak Bedah hangpa ni!"

"Hah, dah jangan bergaduh adik-beradik. Nah, ambil ni. Mak Bedah datang nak bagi hangpa lauk. Ambil ni, Nor." Mangkuk gulai bertukar tangan.

"Apa ni, Mak Bedah?"

"Gulai pisang muda campur kulat sisir dengan tulang ikan kurau masin. Mak Bedah masak lebih tadi. Hantaq pi surau sikit tengah hari ni."

"Ya Allah! Sedapnya, Mak Bedah. Terima kasih sangat-sangat. Selalu ingat kat kami."

"Tak ada susahnya. Dah terlanjur masak, Mak Bedah buat lebih sikit. Nor bagi aja mangkuk tu pada Mak Bedah."

"Eh, biaqlah dulu. Nanti Nor bagi kemudianlah, ya?" Norlia berlapik kata. Segan pula untuk pulang mangkuk kosong begitu saja.

"Hesy, tak payah nak balas-balas. Pi basuh sekarang. Mak Bedah tunggu ni."

Malu-malu, namun Norlia akur dengan suruhan Mak Bedah. Disalinkan gulai itu ke dalam mangkuk lain.

"Ni ada pulut panggang sikit. Mak Bedah bawa balik, ya?" Norlia pantas menyusun beberapa pulut panggang ke dalam mangkuk yang diserahkan semula kepada Mak Bedah.

"Tak payah susah-susah bekalkan Mak Bedah. Pulut panggang ni kau buat untuk hantaq ke kedai, kan?"

"Daklah, ni saja buat lebih. Buat bekal Fatin tadi. Dia tak mau makan nasi lemak bila ada latihan sukan ni. Takut mengantuk katanya," balas Norlia.

"Sama selera ayahnya, ya Nor? Ghafar yang suka pulut panggang, kan?" Meluncur kata-kata itu dari bibir Mak Bedah.

Termangu-mangu seketika Norlia mendengar kata-kata itu. Mak Bedah, jiran yang sudah dianggap bagai saudara sendiri memang menjadi saksi segala jerit perihnya sepanjang bergelar isteri kepada Ghafar.

Di bahu Mak Bedahlah selalu Norlia menangis. Kalau badannya sakit dibanting Ghafar waktu lelaki itu gian dengan dadah, tangan kasar Mak Bedahlah yang tolong sapukan minyak dan lembut mengurutnya.

Mak Bedah jugalah yang selalu sedekah sedikit-sebanyak beras atau cili, garam dan gula serta sesekali kopi kalau rumah Norlia putus duit untuk beli barang masak.

"Anak ayah tu, Mak Bedah. Memang habis selera ayahnya dia ikut. Dia tak habis-habis berharap. Tanya Nor berulang kali. Nor pesan ke tidak pada ayahnya yang dia ada bertanding nanti. Kempunan sangat nak ayahnya ada tepi padang tengok dia berlari." Suara Norlia mulai sebak. Dia memberi isyarat mata pada Riya dan Maarof. Masuk ke dalam bilik. Jangan pasang telinga kalau orang tua berbual.

"Nor cuba tak beritahu Ghafar?"

"Sebelum Fatin dapat surat beritahu dia tercalon, kami pernah terserempak dekat pekan. Nor nak cari seluaq sukan Fatin masa tu. Fatin ada beritahu," jawab Norlia sambil cuba mengawal perasaan.

"Dia tak ingat kot."

"Entahlah. Dulu-dulu tak jadi macam ni. Tak tau mana silapnya makin hari makin teruk. Bila Nor tak berduit, anak-anak dibelasahnya. Budak-budak ni manalah faham. Bila nampak dia high, nampak dia menggeletar, Nor sampai dah tak larat nak cakap kat depa yang ayah sakit."

Mak Bedah mendongak memandang Norlia.

"Nor beritahu budak-budak tu ayah depa sakit?"

"Habis tu Nor nak beri alasan apa lagi? Takkan nak habaq pada Fatin, pada Riya, pada Maarof, ayah depa mat gian? Ayah depa ketagih dadah?"

Giliran Mak Bedah pula sesak nafas. Tuhan aje yang beri kekuatan pada kau, Norlia!

"Nor serah pada takdir. Apa yang Allah dah tentukan, Nor reda. Nak mengadu kat sapa lagi? Anak Nor dah tiga. Tak guna pun kalau Nor nak menyesal."

"Tak apalah, Nor. Ni semua pengalaman hidup. Tak semua perempuan rasa nikmat jadi ibu. Tak semua perempuan dapat peluang rasa sakit bersalin. Anggap ajalah Allah nak bagi Nor kumpul pahala."

Norlia terjeda.

Pahala membesarkan anak-anak tanpa suami! Selepas aku terlampau banyak membuat dosa.

"Semua orang susah Nor, nak besarkan anak-anak. Tiap orang ujian Allah tu tak sama. Syukur sangat. Anak-anak Nor ikut cakap. Masing-masing elok aja kat sekolah."

"Insya-Allah, Mak Bedah. Nor dah buat silap. Sekolah dulu tak habis. Belajaq entah ke mana." Suara itu perlahan. Mengucapkannya umpama mencincang hati sendiri. Kalaulah dia dapat kembali menebus masa silamnya, pasti cinta adalah perkara pertama yang akan dihindari.

"Mak Bedah, semua ni balasan Allah pada Nor ka?"

"Kita orang Islam ni, jangan disesal pada takdir."

Norlia sebak. Dia tahu. Dia akur! Dunia tak selalu kencana untuk insan yang biasa-biasa.

"Kalau kita dapat hujan, kita hilang matahari. Kalau kita dah diberi matahari, kita kena sedialah panas teriknya." Penuh berkias kata-kata Mak Bedah. Norlia angguk mengerti.

"Tuhan itu Maha Adil. Dia juga yang menyusun perjalanan hidup kita. Doa jangan putus, Nor."

Norlia akur biar hatinya merintih. Tak mengapalah. Aku ada anak-anak. Biarlah Ghafar pergi. Jangan anak-anak ini!

Continue Reading

You'll Also Like

392K 15K 70
𝐀𝐑 - 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 - "I'm looking for the right one, Nadra. Then, I'll straight off to propose her, marry her and treat her the way she deserves, an...
1M 37.1K 57
𝐔𝐧𝐝𝐞𝐫 𝐓𝐞𝐧𝐠𝐤𝐮 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬 𝐕𝐨𝐥 𝟐 𝐊𝐧𝐨𝐰𝐧 𝐀𝐬 𝐇𝐢𝐬 𝐏𝐫𝐞𝐜𝐢𝐨𝐮𝐬 𝐖𝐢𝐟𝐞 𝐓𝐞𝐧𝐠𝐤𝐮 𝐇𝐚𝐟𝐟𝐚𝐳 𝐃𝐚𝐢𝐲𝐚𝐧 | 𝐃𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚...
36K 1K 52
Megat Iskandar,dikatakan memang idaman para wanita yang di luar sana.Dengan wajahnya yang macam pak Arab,bertubuh Sasa,tampan,kacak,tinggi.Tapi garan...
14.5K 2.2K 36
3rd Tengku The Series Dua Hira. Anak yang 'tidak bertuah' yang menjadi cinderella tanpa rela dalam keluarga. "Kau ingat aku tauke balak ke apa? Asal...