BAB 10

341 6 0
                                    

Pucuk langit masih bercahaya dengan lengkungan kecil bulan sabit. Matahari perlahan-lahan mengusir dingin subuh. Suara Norlia sudah riuh mengejut anak-anak yang masih berselimut.

"Jangan lengah-lengah solat subuh! Nanti kelam-kabut nak pi sekolah."

Fatin mengeliat malas. Tangannya meraba-raba betis dan paha. Kemudian dia merapatkan telapak tangan ke hidung. Bau serai wangi!

"Ibu sapu minyak kat kaki Fatin, ya?"

"Haah..."

"Tak sedaq pun!"

"Dah tiduq macam orang pengsan, mana nak sedaq! Dah cepat mandi!"

Fatin segera bangkit dan mengemas tilam lusuh tempat tidurnya itu. Selimut yang dijahit daripada perca-perca kain dilipat kemas.

"Adik, abang... Bangkit cepat! Nanti dah subuh gajah baru nak solat!"

Riya bangkit dengan penuh rasa malas. Duduk memeluk lutut di hujung selimutnya.

Maarof masih bergulung tidur.

"Bangkit cepat. Ibu siram air nanti!" leter Norlia memaksa dua beradik itu bangun biarpun mata masih kelat lagi.

"Bilik air ada kakak. Kejap lagilah, ibu..." Riya terlentok sambil memejamkan mata lagi.

"Bangunlah. Budak perempuan mana boleh malas! Nanti rezeki lekit nak masuk."

"Bangunlah, adik. Malaslah adik ni. Macam perangai ayah. Kuat tiduq!" Maarof menyiku Riya. Terbeliak mata Riya apabila Maarof tiba-tiba menyamakan dirinya dengan ayah yang jarang pulang ke rumah. Norlia yang sedang membancuh kopi di dapur tersentak mendengarnya.

"Sakitlah!" jerit Riya pula.

"Abang... Awat habaq lagu tu? Pagi-pagi ni jangan nak berkelahi pula adik-beradik!" Norlia memberi amaran.

Pagi yang riuh untuk empat beranak. Norlia menggeleng melihat kerenah anak-anak. Namun pada mereka bertiga itulah jantung hatinya terlekat.

"Makan lebih sikit, Fatin. Nanti tak kuat nak berlumba."

"Kakak mesti menang punya!" Maarof tiba-tiba memuji.

"Tak payah nak bodek. Kalau kakak menangpun ingat kakak nak kongsi hadiah dengan abang ka?"

Menyeringai Maarof memandang Fatin. Punah hasratnya. Baru hendak menginding Fatin gula-gula getah yang ada dijual di kantin sekolah.

Fatin pantas menyudahkan suapan nasi putih dengan gulai ikan termenung.

"Tak habis makan?" tegur Norlia.

"Tak mahu kenyang sangat, ibu. Nanti Fatin termuntah masa berlari."

"Kakak, masa lari tu adik lambai kat akak, akak tengok adik, tau!" Riya sempat berpesan.

"Huh, nak berlumba, nak berlari, mana ada masa nak lambai-lambai!" balas Fatin sambil tercebik. Usai bersalam dan mengucup tangan ibunya, Fatin dengan penuh semangat melangkah keluar rumah.

"Baca bismillah dengan selawat banyak-banyak. Nanti ibu dengan adik-adik sampai. Fatin pergi dulu."

"Ibu tak pergi menoreh ka hari ni?"

"Taklah kot. Nak tengok Fatin. Hari ni ibu cutilah!"

Norlia memandang kelibat anaknya dengan penuh rasa sayu. Tubuhnya kecil namun semangatnya tidak pernah berkurang.

Renungan Norlia yang menghantar langkah Fatin terhenti sebagaimana terhentinya gerak anak itu.

"Ayah datang tak agaknya, ibu?"

KALBU PUN BERZIKIRWhere stories live. Discover now