CINTA BELUM TAMAT TEMPOH

Od RehalNuharis

64.1K 1K 186

Awak jangan benci dekat saya nanti makin saya sayang #cbtt #imanqaisara Více

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12

Bab 5

4.3K 74 8
Od RehalNuharis

"ASSALAMUALIKUM..." laung Iman sambil melangkah masuk ke dalam rumah sebaik kasutnya dibuka.

"Waalaikumussalam," sambut seorang gadis sambil berdiri dari kusyen di ruang tamu mengejutkan Iman.

Terhenti langkah Iman di depan pintu. Batang lehernya terkalih memandang ke luar rumah. Serasanya tadi sebelum masuk ke dalam rumah sudah diperiksa yang ada di depan rumah hanya kereta mamanya sahaja. Kereta papanya tiada kerana Encik Lokmankeluar bermain golf dengan kawan-kawan kerjanya. Di depan pintu juga tiada kasut menandakan ada tetamu datang.

Semalam sebaik mendapat panggilan daripada mamanya, Puan Iris, mengajaknya sarapan di rumah, perkara pertama yang terlintas di fikirannya pasti ada sesuatu yang dirancang oleh mamanya. Oleh kerana itu jugalah dia sangat berhati-hati hari ini.

Bila dipastikan mamanya tidak menjemput orang lain ke rumah barulah dia berani memakir kereta di belakang kereta mamanya. Lebih membuatkan langkahnya besar untuk melangkah masuk ke dalam rumah pun kerana tiada sepasang kasut yang tidak dikenali di depan pintu rumah.

Nampaknya mamanya semakin licik. Pasti kasut tetamu itu sudah disorokkan di dalam rak kasut.

Siapa gadis berambut panjang yang sedang berdiri itu tak perlu Iman persoalkan. Jawapannya sudah tentulah gadis pilihan mamanya untuk dikenalkan dengannya. Ini entah cubaan kali yang keberapa. Pernah sekali tu Iman terpaksa ikut mamanya ke rumah kawan mamanya, sekali dia disambut seperti menantu keluarga itu. Kalau nak diceritakan, takut ada yang bosan pula.

"Waalaikumussalam... Anak mama dah sampai ya." Kali ini terdengar pula suara Puan Iris sambil melangkah keluar dari arah dapur dan terus menuju ke arah Iman yang masih berdiri tercegat di depan pintu.

Iman perhatikan seorang wanita yang turut membontoti langkah mamanya yang juga seusia dengan mamanya. Senyuman kaku dihadiahkan.

"Yang Iman berdiri depan pintu ni kenapa. Masuklah," ujar Puan Iris lagi sambil menyambut huluran tangan anaknya itu. Ketika Iman mencium tangannya, dia berbisik perlahan mengusik anaknya. "Tergamam nampak. Berkenan ke?"

Iman masih lagi dengan senyuman kaku kerana tidak percaya kini dia dalam perangkap mamanya. Sudah berkali-kali dia berjaya melarikan diri, tapi kali ini dia terkena juga. Kalau dari luar dia tahu ada tetamu, jangan harap dia hendak singgah. Mahu ditekan pedal minyak kuat meninggalkan kawasan rumah. Tapi sekarang dia sudah pun berada di dalam rumah. Apa yang dia boleh buat?

Buat magik hilangkan diri?

Itu dia belum belajar lagi.

Pura-pura pengsan?

Larat ke tiga orang wanita di dalam rumah itu hendak mengangkatnya?

Terus naik ke biliknya dan berkurung di dalam bilik?

Buat mamanya buka pintu menggunakan kunci pendua dan berkampung di dalam biliknya dengan tetamu lagi masak. Bukan mamanya tak boleh buat sampai tahap itu.

Pura-pura ada hal penting?

Itu tak mungkin kerana mamanya sudah masak dengan tektik itu. Itu yang sampai disorokkan kasut tetamu. Mana pernah dibuat orang.

Jawapannya dia hanya perlu meneruskan beberapa jam di dalam rumah itu menghadap apa saja perancangan mamanya. Selagi dia boleh layan dia layan, kalau tak boleh dia cuba mengelak. Sambil itu dia perlu berdoa tetamunya itu akan panas bontot dan pulang awal. Tak perlulah sampai berjam-jam. Tapi ceritanya sekarang ini belum sampai sejam pun bontot Iman sendiri yang terasa panas. Mana tidaknya, sudah pasti mamanya akan paksa dia duduk bersama mereka walaupun nanti yang berbual hanya Puan Iris dan mak cik yang Iman belum tahu nama itu.

"Iman, kenalkan, ini Aunty Lia.Kawan persatuan mama. Yang cantik manis tu pulak anak dia, Lily. Cantikkan dia, mata bulat, muka bujur sirih, dagu berbelah, rambut hitam berkilat." Puan Iris terus memuji.

Iman hanya mempamerkan senyuman kakunya itu. Memang Lily anak kepada Aunty Lia itu cantik, tapi tak perlulah mamanya memuji seolah dia tiada mata untuk melihat.

"Eh jomlah, mama dah lama siapkan sarapan. Kesian kat Aunty Liadengan Lily, tunggu Iman lama sangat. Jom Lily, mesti Lily dah lapar kan?" pelawa Puan Iris sambil berjalan ke arah Lily dan memegang tangan gadis itu untuk berpimpin bersama ke arah meja makan sambil meneruskan kerja mulutnya.

"Auntymasak masakan kegemaran Iman. Iman ni suka makan udang. Jadi auntymasaklah udang sambal. Lily suka makan udang jugak ke?"

Iman hanya mampu menggelengkan kepala sambil melihat tiga batang tubuh yang sudah berjalan ke ruang makan. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru-garu. "Masak aku kalau macam ni."

AHAD datang lagi selepas seminggu mereka pulang dari kampung. Seperti minggu-minggu yang lain, ini adalah hari Qaisara berehat. Dalam seminggu dia cuma ada sehari untuk berehat sepenuhnya. Itu pun ada minggu yang bukan sepenuhnya. Kalau ada pesanan terpaksa juga dia bekerja terutama yang melibatkan tempahan kek perkahwinan. Saat melangkah keluar dari dalam bilik setelah selesai mandi, bersarungkan kasut berkepala katak, dia terus ke ruang tamu. Qhalish di situ, terbaring sambil menonton televisyen.

"Awal bangun," sapa Qaisara sambil duduk di atas sofa.

"Semalam tidur awal. Itu yang pagi ni bangun awal."

Qaisara angguk. Teragak-agak pula dia hendak bertanya. "Bukan semalam kau keluar dengan Arisa ke?"

Dia teringat sesuatu yang didengarinya tanpa tidak sengaja minggu lalu sewaktu di kampung. Sewaktu dia berada di dalam bilik arwah kedua orang tuanya, tiba-tiba dia terdengar Arisa meninggikan suara. Baru dia hendak buka tingkap kayu itu untuk melihat apa yang berlaku, dia terdengar perbualan antara Arisa dengan Qhalish secara tidak sengaja. Walaupun tingkap itu tidak jadi dibuka, tapi dia dapat mendengar pertelingkahan yang berlaku itu.

"Tak adalah. Lish jumpa Iman kejap semalam."

Qaisara sudah mencebik mendengar nama itu. Doanya tidak begitu dimakbulkan Tuhan. Selepas balik dari kampung, Iman masih muncul dalam hidupnya. Boleh dikatakan selang sehari lelaki itu akan datang ke kafenya. Kalau tak siang, pasti malam sewaktu dia hendak menutup kafe. Dia sendiri tidak tahu apa yang Iman mahu darinya. Bila ditanya jawapannya, "Nak kenalan."

Bila disoal untuk apa? Balasnya, "Salah ke?"

Qaisara enggan bersoal jawab lagi. Dia pasti kalau disoal adiknya ke yang suruh, pasti lelaki itu tak akan mengaku juga. Entah apalah yang ada pada dirinya sampaikan Iman boleh turutkan kata-kata Qhalish. Entah-entah Iman dibayar oleh Qhalish. Lelaki itu bukan boleh percaya sangat. Haji Bakil Tuan Tanah Kedauk!

Qaisara semakin yakin memang Qhalish yang hantar Iman untuknya selepas mendengar perbualan antara Qhalish dan Arisa malam itu. Qaisara tahu adiknya seorang yang sangat menyayanginya. Tapi kejamkah dia sebagai seorang kakak membiarkan adiknya dalam keadaan dilema seperti itu?

Qaisara geleng kepala sambil mencapai majalah masakan di atas meja. Mungkin boleh memberi idea baru atau resipi baru di kafenya. Tapi rasanya majalah itu seolah mengaburi apa yang mengganggu fikirannya seminggu ini. Beberapa kali juga dia cuba bertanyakan soalan itu kepada adiknya, tapi tiap kali bertentang mata, tidak jadi teruskan. Adakah kerana dia takut akan kehilangan adiknya.

Sara, adik kau cuma kahwin aje, bukan pergi mana pun, pujuknya dalam hati.

Qaisara pandang Qhalish. Nafas berat dilepaskan. Ditenung adiknya yang sedang baring itu dari kaki sampai kepala. Sedar tak sedar adiknya itu sudah besar rupanya. Sama tinggi dengannya pula. Tahun ini masuk 26 tahun. Dah sampai masa pun sepatutnya untuk adiknya itu berumah tangga.

Qaisara berdeham. "Kau..."

Qhalish yang sedang berbaring pandang kakaknya. Dia pelik kenapa kata-kata kakaknya itu berhenti setakat itu.

Qaisara kaku. Tergaru-garu dia sebentar untuk menyambung ayatnya. "Kau dah sarapan belum?" Qaisara mengeluh. Apa yang susah sangat entah.

"Belum lagi..." balas Qhalish masih berbaring.

Qaisara terus bangun. "Kalau macam tu tunggu aku masak kejap, Kau tak keluar kan?"

Qhalish mengangguk.

SEBAIKmelangkah masuk ke dalam ruang dapur yang tidaklah begitu besar, Qaisara terus berjalan mundar-mandir sambil mencekak pinggang kegelisahan dengan diri sendiri. Kemudian dia berhenti melangkah dan meraup wajah sendiri. Keluhan dilepaskan lagi. Ada kajian yang mengatakan mengeluh mampu memendekkan usia. Minggu ini saja sudah berapa kali dia mengeluh, agaknya sempat tak dia nak sambut ulang tahun kelahiran yang ke 32 tahun depan?

"Aduh Sara, apa yang susah sangat ni? Kau tak kesian kat adik kau ke?" soalnya sendirian.

Bila difikir-fikir balik baru dia ingat yang sudah dua tahun adiknya itu bertunang. Dia pun tak perasan sebegitu cepat masa berlalu. Yalah, dia sibuk dengan urusan kafenya, manalah nak perasan semua tu.

"Budak ni pun satu, dah tau bertunang sikit punya lama bukannya reti nak bukak mulut cakap dekat aku. Kak, aku nak kahwin. Kan senang aje. Isy!"

Qaisara tahu Qhalish tidak berani buka mulut bertanyakan soalan itu kerana mahu menjaga hatinya. Tapi sekarang ini bila dia dah tahu takkanlah dia yang dah tahu pun masih nak diamkan diri.

"Patut moodArisa dekat kampung hari tu kejap okey kejap tak okey dengan aku." Keluhan dilepaskan lagi.

Tangan yang melekap di pinggang itu mula beralih menggaru batang lehernya yang tidak gatal. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk mulakan pertanyaannya. Dulu masa bertunang pun Qhalish yang minta, dia cuma sampaikan hajat saja.

Qaisara cuba mengumpul kekuatan. Mungkin kali ini gilirannya pula untuk buka mulut. Langkah terus diatur kembali ke ruang tamu.

"Lish..."

Qhalish pandang kakaknya yang berdiri di hujung kakinya. Dia pelik melihat wajah kakaknya yang lain daripada biasa itu.

"Kau dengan Arisa..." Terhenti lagi.

SELEPASmakan yang terasa begitu lama sekali dalam seumur hidup Iman, mereka semua melangkah pula ke ruang tamu. Mana tidaknya, Lily anak kepada kawan mamanya itu makan sesuap pun sudah ambil masa lebih daripada lima minit dan mengunyah pun lebih daripada 44 kali. Sempat lagi Iman bilang. Sempat juga Iman terfikir agaknya nanti bila Lily berkahwin (bukan dengannya, choiii) agaknya makan beradab sambil bersanding, tepung tawar kot.

Seperti mana kecohnya mulut Puan Iris bercerita itu dan ini tentang diri Iman sampaikan ada ketikanya Iman terasa mamanya seolah mereka-reka cerita terutama gadis idaman Iman, begitu juga ketika berada di ruang tamu. Mulut Puan Iris masih belum penat untuk menjual anaknya seolah Iman itu tak laku benar. Iman hanya mendengar dan mengangguk. Sesekali mempamerkan senyuman kakunya.

Berkali-kali sudah Iman menjeling jam di tangannya dan juga di dinding rumahnya. Dia sudah bosan. Ya, memang diakui gadis di depannya indah untuk pandangan mata. Cantik seperti mana yang mamanya gambarkan, tapi hatinya langsung tidak terusik untuk meneruskan hajat terpendam Puan Iris. Lagipun untuk apa dia mengenali Lily sedangkan yang Iman mahu adalah mengenali Qaisara.

Tempoh hari selepas mendapat pelawaan Qhalish juga desakan daripada mamanya seolah dia tua benar untuk berikan mamanya cucu, Iman mengambil keputusan untuk mengenali wanita berpipi merah jambu itu terlebih dahulu. Tapi hal itu tidak disuarakan kepada Qhalish dan dia tak setuju pun untuk berkawan dengan kakak Qhalish saat kawannya itu menyoal. Dia mahu berusaha sendiri. Kalau nanti tulang rusuk kirinyaterasa bergetar benar, baru dia menjawab pertanyaan tertangguh Qhalish.

Iman tahu salah dia juga tidak maklumkan kepada mamanya yang dia dalam proses mengenal hati budi Qaisara yang seolah jual mahal dengannya itu. Tapi kalau dia maklumkan pun nanti menjerat diri sendiri juga. Sudah pasti mamanya akan paksa dia bawa Qaisara berjumpa dengan mamanya. Boleh ke dia bawa Qaisara sedangkan untuk ajak Qaisara keluar makan dengannya pun susah untuk wanita itu beri peluang. Jadi, pusing ikut mana pun sama juga.

Selepas hampir dua jam barulah tetamu itu meminta diri untuk pulang. Akhirnya Iman dapat melepaskan keluhan lega. Waktu yang ditunggu tiba juga. Tapi mulut mamanya masih tidak mahu berhenti berceloteh lagi.

Walaupun mereka sudah berdiri di depan pintu menghantar tetamu yang ingin pulang itu, Puan Iris masih sempat meninggalkan pesanan. "Eh nanti addla Facebook Iman. Boleh borak-borak ke keluar jalan-jalan ke nanti. Apa salahnya berkawan kan."

Saat itu Iman rasakan seperti hendak menepuk dahi sendiri saja. Oh mamaku tetap mamaku! Takkan dia nak kena deactivateakaun Facebooknya lagi untuk seminggu dua ini?

"LISH..."

Qhalish pandang kakaknya yang berdiri di hujung kakinya. Dia pelik melihat wajah kakaknya yang lain daripada biasa itu.

"Kau dengan Arisa..." Terhenti lagi.

Qhalish sedikit terkejut bila nama Arisa disebut. Dia pasti kakaknya mahu bercakap sesuatu yang serius.

Jangan-jangan akak dengar pasal malam tu tak? Duganya dalam gementar.

Qaisara pandang adiknya yang sudah mengubah posisi daripada baring kepada duduk.

Apa aku nak cakap ni? Omel Qaisara mengawal resah.

"Tak... hmm macam ni. Aku ada benda nak cakap sikit ni." Qaisara berdeham. Pandangan Qhalish meresahkannya.

"Aku tengok kau dengan Arisa dah makin rapat. Selalu sangat dah ke hulu ke hilir sama-sama. Kau orang tak rancang nak kahwin ke? Bukan apa aku rasa macam dah lama sangat aje kau orang bertunang," ujar Qaisara panjang lebar. Kalau ikutkan hatinya yang tidak begitu pandai berperasaan mahu saja disoal terus, kau dengan Arisa bila nak kahwin.

Qhalish telan air liur. Takkanlah akak dengar kot. Tapi kalau tak dengar kenapa tiba-tiba akak tanya macam ni? soalnya dalam hati sebelum menjawab.

"Hmm... Lish dengan... dengan Arisa belum bincang lagi. Nanti Lish tanya dia." Masih berusaha menjaga hati Qaisara walaupun sepatutnya dia berterus terang sahaja. Qaisara yang buka mulut bertanya. Sepatutnya kesempatan itu digunakan sebaik mungkin. Kalau Arisa tahu ni mahu bergaduh lagi mereka.

"Apa pulak nak tanya Arisa. Kau tu kan laki, ke duit kau tak cukup lagi?" soal Qaisara cuba mengubah kerana dia takut juga kalau adiknya dapat hidu yang dia terdengar perbualan mereka malam itu.

"Duit tu boleh usahakan. Tapi... kalau boleh Lish nak akak yang kahwin dulu..." balas Qhalish memandang tepat anak mata Qaisara.

Qaisara terdiam untuk beberapa saat. Ini bahagian yang paling susah. Hatinya tersentuh dengan pengorbanan adiknya itu. Seketika kemudian dia cuba berlagak seperti biasa. Dikeraskan hatinya.

"Ah, tak payahlah. Kalau dah cukup duit kahwin ajelah terus. Kau tu pun dah lama sangat bertunang, sampai bila kau nak terikat sebagai tunang orang aje? Buatnya mak bapak Arisa tu tanya sampai bila kau nak ikat anak dia macam tu, apa kau nak jawab?"

Memang mak bapak Arisa dah tanya pun, jawab Qhalish sekadar dalam hati.

"Itu cuma harapan Lish. Tapi kalau lambat terpaksalah Lish kahwin dulu."

"Tak ada beza pun kau kahwin dulu atau aku kahwin dulu. Lagipun kau tu elok kahwin dulu, mengelakkan maksiat. Daripada hari-hari kau bawak Arisa tu pergi sana sini baik kau jadikan dia bini kau terus. Ada pahalanya jugak kau layan dia sebagai isteri."

Kalau dengan cara membebel itu mampu membunuh rasa yang berkocak dalam hatinya, Qaisara sanggup terusan berceloteh seperti ini. Kini dia sedang mengambil alih tugas kedua orang tuanya. Sekarang baru dia faham perasaan yang sering didepani oleh ibu dan ayah yang mahu melepaskan anak mereka walaupun Qaisara hanya seorang kakak dan Qhalish bukan anak perempuan. Tapi perasaan itu tetap sama. Selama ini Qaisara ingatkan senang saja.

"Eh akak ni kalau membebel ada gaya macam ustazah, kan?" balas Qhalish bergurau.

"Dah, kalau kau tak nak kahwin lantak kaulah," balas Qaisara seolah malas hendak ambil tahu hal adiknya sedangkan perasaannya masih sama. Adakah dengan perkahwinan ini akan memutuskan perhubungannya dengan Qhalish? Ya Allah hai... apa lagi benda mengarut kau fikir ni Sara?

"Alah akak ni cakap sikit pun nak sentap. Yalah, yalah, nanti Lish bincang dengan Arisa, lepas ada tarikh Lish bagi tau akak. Hmm... tak pun apa kata kejap lagi akak ikut Lish dengan Arisa keluar. Boleh bincang terus," cadang Qhalish. Mungkin waktu itu dia lebih yakin untuk mengatakan ya dia memang perlu kahwin dengan kadar segera sebelum tunangnya itu dikahwinkan dengan orang lain.

"Keluar bertiga?" soal Qaisara sambil merenung adiknya.

Qhalish mengangguk sambil tersenyum. Dia tahu maksud sebenar soalan itu. Pasti kakaknya takut kalau tiba-tiba ada Iman sekali. 

Pokračovat ve čtení

Mohlo by se ti líbit

1.2M 29.1K 45
When young Diovanna is framed for something she didn't do and is sent off to a "boarding school" she feels abandoned and betrayed. But one thing was...
341K 1K 10
Fun wlw sex. Different kinks and stuff, all about trying things. May even include potential plot lines and will definitely include some form after ca...
459K 25.1K 18
𝐒𝐡𝐢𝐯𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐑𝐚𝐣𝐩𝐮𝐭 𝐱 𝐑𝐮𝐝𝐫𝐚𝐤𝐬𝐡 𝐑𝐚𝐣𝐩𝐮𝐭 ~By 𝐊𝐚𝐣𝐮ꨄ︎...
3.6M 151K 61
The story of Abeer Singh Rathore and Chandni Sharma continue.............. when Destiny bond two strangers in holy bond accidentally ❣️ Cover credit...