Bab 5

4.3K 74 8
                                    

"ASSALAMUALIKUM..." laung Iman sambil melangkah masuk ke dalam rumah sebaik kasutnya dibuka.

"Waalaikumussalam," sambut seorang gadis sambil berdiri dari kusyen di ruang tamu mengejutkan Iman.

Terhenti langkah Iman di depan pintu. Batang lehernya terkalih memandang ke luar rumah. Serasanya tadi sebelum masuk ke dalam rumah sudah diperiksa yang ada di depan rumah hanya kereta mamanya sahaja. Kereta papanya tiada kerana Encik Lokmankeluar bermain golf dengan kawan-kawan kerjanya. Di depan pintu juga tiada kasut menandakan ada tetamu datang.

Semalam sebaik mendapat panggilan daripada mamanya, Puan Iris, mengajaknya sarapan di rumah, perkara pertama yang terlintas di fikirannya pasti ada sesuatu yang dirancang oleh mamanya. Oleh kerana itu jugalah dia sangat berhati-hati hari ini.

Bila dipastikan mamanya tidak menjemput orang lain ke rumah barulah dia berani memakir kereta di belakang kereta mamanya. Lebih membuatkan langkahnya besar untuk melangkah masuk ke dalam rumah pun kerana tiada sepasang kasut yang tidak dikenali di depan pintu rumah.

Nampaknya mamanya semakin licik. Pasti kasut tetamu itu sudah disorokkan di dalam rak kasut.

Siapa gadis berambut panjang yang sedang berdiri itu tak perlu Iman persoalkan. Jawapannya sudah tentulah gadis pilihan mamanya untuk dikenalkan dengannya. Ini entah cubaan kali yang keberapa. Pernah sekali tu Iman terpaksa ikut mamanya ke rumah kawan mamanya, sekali dia disambut seperti menantu keluarga itu. Kalau nak diceritakan, takut ada yang bosan pula.

"Waalaikumussalam... Anak mama dah sampai ya." Kali ini terdengar pula suara Puan Iris sambil melangkah keluar dari arah dapur dan terus menuju ke arah Iman yang masih berdiri tercegat di depan pintu.

Iman perhatikan seorang wanita yang turut membontoti langkah mamanya yang juga seusia dengan mamanya. Senyuman kaku dihadiahkan.

"Yang Iman berdiri depan pintu ni kenapa. Masuklah," ujar Puan Iris lagi sambil menyambut huluran tangan anaknya itu. Ketika Iman mencium tangannya, dia berbisik perlahan mengusik anaknya. "Tergamam nampak. Berkenan ke?"

Iman masih lagi dengan senyuman kaku kerana tidak percaya kini dia dalam perangkap mamanya. Sudah berkali-kali dia berjaya melarikan diri, tapi kali ini dia terkena juga. Kalau dari luar dia tahu ada tetamu, jangan harap dia hendak singgah. Mahu ditekan pedal minyak kuat meninggalkan kawasan rumah. Tapi sekarang dia sudah pun berada di dalam rumah. Apa yang dia boleh buat?

Buat magik hilangkan diri?

Itu dia belum belajar lagi.

Pura-pura pengsan?

Larat ke tiga orang wanita di dalam rumah itu hendak mengangkatnya?

Terus naik ke biliknya dan berkurung di dalam bilik?

Buat mamanya buka pintu menggunakan kunci pendua dan berkampung di dalam biliknya dengan tetamu lagi masak. Bukan mamanya tak boleh buat sampai tahap itu.

Pura-pura ada hal penting?

Itu tak mungkin kerana mamanya sudah masak dengan tektik itu. Itu yang sampai disorokkan kasut tetamu. Mana pernah dibuat orang.

Jawapannya dia hanya perlu meneruskan beberapa jam di dalam rumah itu menghadap apa saja perancangan mamanya. Selagi dia boleh layan dia layan, kalau tak boleh dia cuba mengelak. Sambil itu dia perlu berdoa tetamunya itu akan panas bontot dan pulang awal. Tak perlulah sampai berjam-jam. Tapi ceritanya sekarang ini belum sampai sejam pun bontot Iman sendiri yang terasa panas. Mana tidaknya, sudah pasti mamanya akan paksa dia duduk bersama mereka walaupun nanti yang berbual hanya Puan Iris dan mak cik yang Iman belum tahu nama itu.

CINTA BELUM TAMAT TEMPOHHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin