Bab 1: Ilami

164 1 0
                                        

Ilami berlari dari orang yang mengejar, nafas-nafas pendek mengiringi langkah-langkah pantas. Bola api magis berada di tangan, sumber cahaya penunjuk arah menerusi lorong-lorong gelap ini. Dia dapat mendengar bunyi gerak kaki lelaki itu di belakang, cuba merapatkan jarak di antara mereka. Dia kekal dengan larian stabil kerana dia tahu, jika dia berlari lebih pantas, dia akan berasa letih dengan cepat juga.

Satu penjuru diambil dan terlihat kerusi-kerusi terletak tinggi menyandari bangunan. Apabila dia melintasi kerusi-kerusi itu, dia menyepak kerusi yang berada paling bawah. Yang atas mula jatuh dan berselerak di jalan. Tanpa melihat ke belakang, dia berharap kerusi-kerusi itu dapat menyukarkan si lelaki. Dia perlu menyorok di satu tempat untuk memikirkan rancangan menewaskan si lelaki. Di depan garis cahaya menusuri jarak antara bangunan. Penghujung lorong sangat hampir dengannya.

Dia muncul daripada lorong itu, diserangi cahaya terang mentari siang. Dia bersandar di dinding bangungan sebelah lorong, menunggu si lelaki. Dia akan menjangka Ilami terus berlari daripada berdiri di sini. Pisau belati dikeluarkan dari tuniknya dan dipegang dalam posisi bersedia. Dia perlahankan nafas dan sakit di dada berkurang. Harap-haraplah dia betul.

Beberapa saat kemudian, si lelaki tiba, berlari melepasi Ilami. Sebelum dia sempat untuk meneliti persekitaran, Ilami lompat dari belakang dan tikam belakangnya. Dia menjerit kesakitan. Dia sempat memisahkan dirinya daripada Ilami dan apabila dia memusingkan badannya, Ilami menyerang lagi. Akan tetapi, kali ini dia sudah bersedia. Tangannya bergerak sepantas kilat lalu terus memegang pergelangan tangan Ilami, mencucuk jarum-jarum ketakutan di jiwa Ilami. Tangannya yang satu lagi lekas bergerak ke sarung pedang tergantung di pinggangnya.

Ilami pantas menyepak tangannya jauh dari sarung. Dia pusing pergelangan tangannya, melonggarkan pegangan si lelaki. Badannya berputar dan disikunya perut si lelaki. Si lelaki melepaskan pegangannya. Setelah bersedia memegang pisau belati, dia menghunus dari depan. Si lelaki sempat mengelak dan berundur beberapa langkah. Pedang dikeluarkan dari sarung apabila dia berada di posisi yang selamat. Dia tersenyum, mencemuh Ilami. Dengan pedang itu, kelebihan adalah miliknya. Ilami sudah merancang untuk menewaskannya sebelum dia dapat menggunakan pedang itu, akan tetapi nampaknya Ilami sudah memandang rendah terhadap si lelaki apabila si lelaki tak menggunakan senjata.

Menarik nafas dalam-dalam, Ilami sedar bahawa sudah tiba masanya untuk menguji latihannya selama ini. Memegang pisau belati dengan kedua-dua belah tangannya, dia berbisik, ‘Ignis warasia.’ Api membaluti senjata itu, tetapi dia harus terus berbisik. ‘Ignis legasia harizanis.’ Api itu mencairkan pedang belati hingga tiada apa-apa, lalu ia memanjang, menjadi pedang api. Ilami menyaksikan perubahan itu dengan mata terbeliak puas. Pedang apinya yang pertama. Dia berjaya.

Senyuman si lelaki hilang, digantingkan dengan deraman. Secara melulu, dia meluru, senjata di sisinya. Ilami meluru juga, tetapi bukan dengan keyakinan yang sama seperti si lelaki,dan dengan lebih keraguan dan kegelisahan. Senjata-senjata mereka berlaga dengan satu sama lain, dan pedang Ilamilah yang digoyahkan, tak dapat menahan kekuatan di sebalik pedang si lelaki. Apabila dia terbuka untuk diserang, si lelaki menujah pedang ke perutnya. Sebelum ia bersentuh, dia menyepak anu si lelaki. Si lelaki mengerang dan mengundurkan serangannya.

engambil kesempatan ini, Ilami mendekam, kemudian meluru. Dia menjerit, pedang api diangkat bersedia. Si lelaki mendongak dan sempat menahan pedang Ilami dengan pedangnya. Mengambil risiko, dia menggunakan tangan kosongnya untuk memegang pergelangan tangan lelaki, mencengkam kuat, sangat kuat hinggakan si lelaki menggerenyet dan melonggarkan pegangan terhadap pedangnya. Ia jatuh ke lantai, membenarkan pedang apinya untuk bergerak semula tanpa halangan terus ke bahu si lelaki. Ia melepasi kain bajunya dan terbenam di kulit, memaksa jeritan mengguris keluar dari mulutu si lelaki.

Ilami menggerenyet mendengar jeritan itu dan menarik balik pedangnya. Si lelaki jatuh ke tanah selepas Ilami menyepak kakinya. Kedua-dua belah mata si lelaki tertutup, menahan sakit dari belakangnya yang membelakangi tanah. Bahunya pula tepampang luka torehan panjang. Ilami menggigit bibir. Dia sepatutnya menewaskan si lelaki, bukan membunuhnya. Dia tak ada sebab untuk melakukan itu. Ilami mengarahkan pedang apinya ke leher si lelaki. ‘Menyerah dan ujian ini akan berakhir.’

Si lelaki memandangnya dan ketawa pahit. Ia kedengaran kosong. ‘Dia tak beritahu kau? Satu-satunya cara untuk ujian ini berakhir adalah dengan kematian salah satu daripada kita.’

Ilami senyap. Tak mungkin. ‘Dia beritahu aku yang yang aku cuma perlu tewaskan kau.’

Dia mencapai luka di bahunya. Dia mengerang apabila luka disentuh. ‘Apa yang kau fikir dia maksudkan dengan itu? Dia cuma fikirkan satu cara sahaja untuk salah seorang daripada kita mengalahkan yang lain.’

‘Tak,’ kata Ilami. Perkataan itu keluar lemah dan ragu-ragu. ‘Tak mungkin.’

Dia mengeluh. ‘Bunuh aku.’ katanya. Matanya tertumpu kepada pedang Ilami. ‘Itu sahaja caranya untuk kau lepas ujian ini.’

Ilami menggeleng perlahan. Dia tahu dia harus mengambil ujian itu. Sebagai anak kepada pengetua sekolah, dia tahu apa yang djiangkakan terhadapnya. Dia harus jadi yang terbaik. Tapi dia tak mahu membunuh orang lain untuk jadi yang terbaik. Ibunya takkan mahukan ini daripadanya. Ibu tak sepatutnya mahukan itu. Apa yang berada dalam fikiran ibu apabila dia sediakan ujian ini untuk Ilami? Tak. Lelaki itu menipu. Ini mungkin sebahagian daripada ujian. ‘Kau tipu. Ujian dah berakhir.’

‘Aku tak tipu. Inilah kebenarannya. Kalau kau tak percaya, maksudnya kau tak kenal ibu kau dengan baik. Venaria ialah wanita paling kejam yang aku pernah jumpa.’ Lelaki itu berhenti. Matanya bergelinangan. ‘Tolong. Keluargaku ada dengannya. Kalau aku mati, mereka takkan diseksa.’

Mata Ilami terbeliak. Ibu sanggup buat begitu? Nyawa si lelaki dalam pertaruhan dan dia mahu Ilami untuk mengakhiri hidupnya. Tak mungkin dia akan menipu tentang itu. ‘Ka-kalaupun apa yang kau katakan tu benar,’ katanya dengan resah, ‘kau boleh lakukannya sendiri.’

‘Tak!’ jerit si lelaki. Dia cuba untuk bangkit, tetapi kecederaan di bahu memaksanya untuk kekal terbaring di atas tanah. Air mata mula mengalir di pipinya. ‘Dia ada orang-orang memerhati untuk ujian ini. Mereka sedang bersembunyi dan kita tak tahu di mana. Kalau mereka beritahu Venaria aku mati bukan disebabkan kau bunuh aku, ujian ini akan gagal juga. Kau harus lakukannya bersendirian. Aku tahu kau tak mahu lakukannya, tetapi ini adalah yang terbaik untuk kita berdua.’

Kesenyapan bermaharajalela. Kemudian, Ilami menggelengkan kepala. ‘Aku enggan! Aku enggan membunuh kau. Aku tak mahu akur dengan ujian bodoh ni.’ Bulu romanya meremang. Niat membunuh seseorang amat mengganggunya.

Si lelaki sambung memerhatinya, memaksanya untuk mengarahkan pandangannya ke tempat lain. ‘Aku faham kalau kau fikir ini tak adil, tak wajar.’ Dia berhenti seketika. ‘Tapi kalau kau mahu melawan hal-hal sebegini, ini bukan caranya. Kau masih muda. Kau ada potensi. Aku dapat lihat suatu hari nanti kau akan menjadi satu kuasa yang harus dipandang serius. Tapi bukan sekarang. Bunuh aku.’

Melihat lelaki itu sekali lagi, Ilami mula menangis. Dia mahu menyalahkan semua orang. Si lelaki, ibunya, dunia ini. Kenapa dia dilahirkan untuk melakukan ini? Dia tak mahu! Tetapi sambil dia melihat ekspresi pedih si lelaki, dia tahu dia tak ada pilihan lain. Semua pilihan sudah dibentangkan ibunya, dan dia tahu pada akhirnya, dia lebih takut mati daripada orang lain yang mati. Secara perlahan, dia mengangkat pedang apinya dengan kedua-dua tangannya yang menggeletar. Dia angkat tinggi, kemudian dipaksanya pedang itu untuk jatuh ke dada si lelaki, membenamkan hujung pedang. Darah merah kehitaman mengalir keluar daripada mulut dan dadanya, membasahi tuniknya, sebelum dia berhenti bergerak. Ekspresi mukanya yang dalam kesakitan, mata terbeliak dan mulut terbuka, kekal.

Ilami jatuh melutut. Dia sentuh muka si lelaki. Dengan lembut, dia menutup mata dan mulut si lelaki. Kemudian, dia mendongak ke langit dan melepaskan jeritan yang menusuk kalbu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 29, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Penari Pedang Bara ApiWhere stories live. Discover now