"Tak berguna sangat ke aku ni?"

"Sendiri mau ingatlah." Aku senyum jahat. Terasa rupanya. Betullah kata orang, siapa makan cili dia rasa pedasnya.

"Aku sedar diri, aku tak pandai macam..."

"Apa kena dengan kamu ni, Uzair?" Hajah Sanisah menegur dari pintu bilik mak.

"Jemput minum dulu, mak aji."

Aku tahu Hajah Sanisah sudah mahu beredar.

"Lain kali kalau tetamu datang ziarah mak kamu, tak perlu buat air atau jamu makan. Bukan apa, bimbang termakan hak anak-anak yatim. Berdosa besar."

Aku terdiam. Kata-kata Hajah Sanisah mengingatkan aku satu perkara. Kami tidak lagi seperti dulu. Keadaan kami sudah berbeza. Kami sekarang anak yatim.

"Baik, mak aji."

"Kami balik dulu. Jaga mak baik-baik. Jaga adik-adik sama. Kalau perlukan sebarang pertolongan, jangan malu bagi tau kami. Kita satu kampung. Susah kita sama-sama susah. Senang kita sama-sama senang."

Aku angguk. Terharu. Kami tetap dalam perhatian penduduk kampung. Bukan saudara-mara, bukan ada kena-mengena pun, namun kami disantuni dengan baik.

Hanya yang tak berapa baik, lelaki yang pandang aku dengan jelingan tajam itu. Bukannya tak baik, tapi tak tahu entah kenapa benci sangat dengan aku. Agaknya takut sangat aku goda abang dia.

Lepas tu aku kikis harta keluarga dia. Lepas tu dia tak bolehlah nak hidup senang dengan menghabiskan harta mak bapak dia. Macamlah aku kebulur sangat dengan harta benda orang lain.

"Apa lagi tercegat tu?" tegur Hajah Sanisah. Anak bertuah dia seperti belum puas cari pasal dengan aku.

"Nak baliklah ni." Kasar dia menjawab. Kurang ajar. Kau tunggulah bila salah seorang mereka pergi. Barulah kau tahu betapa pentingnya mereka dan betapa berdosanya melawan kata-kata mereka.

Aku bersalaman dengan Hajah Sanisah. Faridah, Farhana juga menyalami Hajah Sanisah.

"Terima kasih datang ziarah mak dan terima kasih untuk semua pemberian," kata Faridah sambil mengiringi Hajah Sanisah hingga ke muka pintu.

Uzair awal-awal sudah ke kereta membawa muka masamnya.

"Abang Uzair tu lain macam aje." Faridah menegur. Sepatutnya aku pun kena panggil Uzair dengan panggilan abang, tetapi disebabkan hubungan kami tak pernah baik sejak dulu lagi, tak ingin aku panggil dia abang. Tak layak pun.

"Dia kan memang macam tu sejak dulu lagi. Anak orang ada-ada. Dari kecik tak pernah hidup susah."

Kenyataannya memang begitu. Mereka yang tak pernah hidup susah mana tahu apa-apa.

"Tapi aku rasa dia sukakan kau, long."

Faridah ketawa. Aku pandang Faridah yang sedang ketawa. Sejak arwah ayah pergi, baru ini aku melihat Faridah ketawa. Lega bila dia sudah mula ketawa kerana selama ini memang Faridah yang menceriakan keadaan di samping Luqman yang selalu menjadi bahan usikan kami adik-beradik.

"Gila. Kau nak ke berabangiparkan lelaki macam tu? Kerja dahlah malas. Kau nak aku bela biawak hidup pula ke? Agak-agaklah pun nak bagi orang syok kat aku."

Ketawa Faridah semakin kuat.

"Tapi dia boleh tahan juga. Ada la juga segaknya sikit berbanding abang dia."

"Kalau macam tu kau ajelah ambil dia buat laki."

"Kau pun tak nak, takkan bagi aku pula. Mintak dijauhkan."

Tak sangka Uzair jadi bahan ketawa kami. Mampu membuatkan petang kami sedikit ceria setelah sekian lama kami tidak rasa begini.

Kami perhatikan kereta Uzair yang semakin menghilang.

Aku kembali ke ruang tamu. Irfan sudah angkat kain dan sedang lipat sambil menonton TV. Farhana membantu. Luqman dengan Faizzah menonton TV sama.

"Luqman, jom kita siram pokok."

Langkah pertama untuk aku mengajar adik aku akan tanggungjawab mereka.

Luqman tak membantah. Senang sekali bila arahanku diterima dengan mudah.

Ketika Luqman sedang menyiram, Abang Zahar muncul semula.

"Abang ada perkara nak bagi tau Jee."

"Pasal jualan getah ke, bang?" Cuak juga. Sedangkan hanya keluarga Abang Zahar saja peraih getah di kampung kami.

"Hesy, tak ada kena-mengena dengan jualan getah. Ini pasal nak bantu Jee tambah pendapatan. Baru ni kawan abang dari Kuala Lumpur ada tanya pasal pokok pucuk paku. Minta kirimkan pokok tu ke kawan abang. Abang dah cuba. Memang pokok tu sampai dalam keadaan baik."

Menarik ni. Pokok pucuk paku memang berlambak kat kebun getah.

Dulu-dulu, untuk menambah duit saku, memang kerja aku petik pucuk paku dan ayah tolong jual pada peraih. Tapi sejak akhir-akhir ni langsung tak ada masa nak buat semua tu.

"Cuba Jee jual kat Shopee. Jee iklankan. Kalau ada yang nak beli, Jee cabut pokok pucuk paku tu. Rendam dalam air. Nak pos, Jee balut akar dengan surat khabar basah. Jee juallah sepokok lima ringgit ke."

Aku angguk banyak kali. Tak salah aku cuba. Mana tahu ada rezeki. Boleh juga menambah pendapatan.

"Tapi ada ke orang nak beli, bang?"

Bila fikir balik, ada ke yang nak tanam pokok pucuk paku?

"Insya-Allah, ada. Habis, kawan abang tu nak aje tanam. Yang penting Jee cuba dan usaha."

Ya, memang betul. Yang penting aku usaha terlebih dahulu.

"Abang balik dulu."

"Terima kasih, bang."

"Sama-sama. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Abang Zahar berlalu pergi.

"Tadi adik, ini dah abang pula. Rasanya macam tahu aje konflik yang bakal berlaku." Faridah mengusik.

"Konflik apa pula? Abang Zahar datang bagi idea nak tambahkan pendapatan."

"Macam mana?"

"Jual pokok pucuk paku kat Shopee."

"Serius?"

Aku senyum. Mencuba tu tak salah. Mana tahu ada rezeki. 

Cik Buah Hati Encik SenduΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα