Bab 1

2.1K 45 0
                                    

Inilah masa-masa duka kami. Seseorang yang kami sayang telah pergi buat selamanya dengan tiba-tiba saja. Tempat kami bergantung hidup sudah tiada.

Yang indah telah pergi. Yang membuatkan kami ketawa selalu takkan kembali.

Tetamu beransur meninggalkan kediaman rumah kami. Kata-kata semangat tetap mereka titipkan namun apa yang kami pikul tidaklah seberat mata memandang. Rasa ini bukan lagi memilukan. Rasa ini sangat sakit. Sakit yang perlukan lebih masa untuk pulih.

Tiba-tiba aku mula rindu akan ayah. Air mata mula bergenang.

Rumah kami kian sepi. Adik-beradik arwah ayah juga sudah pulang ke tempat masing-masing sebaik sahaja jenazah ayah dikebumikan pukul 10.30 pagi tadi. Jujurnya, rasa ralat yang tidak terhingga dengan sikap mereka.

Adik-beradik arwah ayah yang jauh pun tinggal di Kuala Lumpur. Selebihnya di Kuala Kangsar dan di pekan Gerik. Bukan jauh pun dari kampung aku. Jujurnya aku dengan keluarga sebelah ayah memang tidak rapat langsung. Entahlah. Mungkin dari sikap mereka yang kurang mesra dan sikap nenek sebelah ayah yang memang ketara pilih kasih. Cucu-cucu lain nenek sayang gila, dengan kami pandang tak pandang saja. Alasannya, ayah kami hanya kerja kilang. Sedangkan anak yang lain semua kerja bagus. Tak apalah. Itu bahagian ayah. Walau ayah hanya kerja kilang, seingat aku ayah tak menyusahkan sesiapa.

Tiada siapa yang menunggu daripada pihak keluarga ayah. Nenek pun balik sama. Ikutkan, apa salahnya nenek bermalam di rumah kami. Ini tidak, dulu-dulu nenek keluar rumah. Yang tinggal adik-beradik emak.

Maklum, mereka tinggal dekat-dekat sini saja. Tak mengapalah. Sekarang bukan masanya untuk berkecil hati lagi. Sekarang masanya aku kena fikirkan masa depan keluarga aku. Hal lain, lantaklah. Tak payah nak fikir sangat, Jee.

"Jee, pergi tengok mak kamu tu. Mak long rasa lain macam saja." Kakak mak berwajah agak cemas.

"Kenapa, mak long?" Suruhan mak long aku jawab dengan soalan. Mak baru saja melahirkan anak ketujuh. Hari ini baru tiga hari selepas mak melahirkan.

Semalam mak keluar hospital. Pagi tu elok saja ayah jemput mak dari Hospital Gerik. Lepas solat asar, ayah jatuh. Selepas itu memang ayah disahkan meninggal. Sekelip mata kami bertujuh jadi anak yatim.

"Pergilah kamu tengok sendiri."

Rasanya mak long tahu keadaan mak tapi mak long lebih mahu aku melihat sendiri keadaan mak.

Tanpa membuang lebih banyak masa, aku ke bilik mak. Aku memang bimbangkan keadaan emak. Sejak semalam mak tak bercakap. Menangis tidak, apa pun tidak. Tadi masa arwah ayah hendak dibawa orang pun, emak masih begitu. Tiada sebarang reaksi daripada emak.

Mak duduk menyandar di kepala katil dengan pandangan mata menghala ke satu arah.

"Mak."

Jiwa berlagu hiba melihat keadaan mak begitu. Sejak ayah menghembuskan nafas terakhir, bukan saja tidak bersuara bahkan mak langsung tidak uruskan dirinya. Terpaksalah aku, Faridah dengan mak long yang uruskan mak. Faridah dengan mak long mandikan mak dan Faridah yang uruskan hal dalaman mak seperti menukar tuala bersalin mak. Makan juga Faridah yang suap. Aku lebih memberi tumpuan kepada adik-adik. Sehinggakan untuk menyusu adik pun mak tak peduli. Akhirnya, mak su pinjamkan alat mengepam susu.

Masa ayah dikapan pun, mak masih begitu. Aku tahu separuh jiwa mak telah pergi bersama ayah. Mujur mak tak meronta atau menyakiti diri sendiri.

"Mak, baring mak. Tak elok mak duduk macam ni." Aku pujuk mak.

"Kamu dah masak, long? Kejap lagi ayah kamu balik nak makan. Bising dia nanti."

Aduhai hati.

Aduhai jiwa.

Aku tak boleh menangis. Aku tak boleh tunjuk kesedihan. Aku mesti kuat demi mak dan adik-adik. Inilah ujian, inilah dugaan dan aku tak mahu sama sekali tewas dengan ujian ini.

Faridah pegang bahuku. Tersentak seketika. Faridah seakan-akan mengerti, separuh daripada diri aku juga sudah hilang.

"Aku tak kuat, Dah. Aku tak kuat." Akhirnya air mataku luruh juga. Menangis semahunya. Masa ayah orang bawa pergi pun aku masih bertahan. Tapi kali ini aku seperti sudah kehilangan segalanya.

"Kau jangan macam ni, long. Kami harapkan kau. Kalau kau rebah, kami pun akan rebah juga. Kau kena ingat enam adik-adik harapkan kau."

"Aku tak tahu nak buat apa lagi. Aku kena tolak tawaran sambung belajar. Aku kena jaga mak dan adik-adik."

"Kalau macam tu, aku nak berhenti juga."

"Jangan. Kau jangan berhenti. Biar aku seorang saja yang berhenti. Kau kena belajar."

"Mana boleh kau sorang-sorang saja jaga mak dengan adik-adik."

"Kalau betul kau nak tolong aku, kau sambunglah belajar."

"Long..."

"Kau jangan bagi kepala aku tambah serabut. Mulai sekarang, aku akan ambil alih tugas ayah. Kau kena bantu aku. Jadi sebelah kaki aku. Kalau aku jatuh, sekurang-kurangnya kau masih ada."

Faridah tidak menjawab, hanya esakan menyusul. Matanya bengkak kerana terlalu lama menangis. Menangislah, Dah. Tapi jangan terlalu lama. Kita tak boleh lama menangis.

Inilah keputusan aku. Aku kena bangkit. Aku harus mulakan sesuatu. Aku tak boleh hanyut dalam emosi. Yang pergi tetap pergi. Yang tinggal harus meneruskan kehidupan.

"Mak kau orang ni dah kena penyakit gila meroyan. Bahaya penyakit ni."

Aku biasa juga mendengar penyakit yang mak long sebut tu. Menurut istilah perubatannya, penyakit kemurungan selepas melahirkan.

Ibu selepas bersalin berisiko tinggi mengalami kemurungan teruk dalam tempoh 42 hari selepas melahirkan.

Menurut sumber yang aku baca, ini disebabkan perubahan hormon, masalah psikologi selepas bersalin dan macam-macam lagi penyebab yang menyumbang ke arah kemurungan.

Bayi yang kerap menangis juga mampu membuat si ibu mendapat gangguan emosi. Kalau dibiarkan, si ibu mampu bertindak di luar batasan dan mereka lebih cenderung untuk mencederakan diri sendiri dan apa yang lebih menakutkan, ada yang mencederakan bayi tanpa sedar.

"Nak ubat macam mana, mak long? Nak kena jumpa bomoh ke?" tanya Faridah.

"Hesy, ke situ pula. Ini bukan masalah bomoh. Ini masalah tekanan perasaan. Mak long rasa mak kamu tak boleh terima kenyataan yang ayah kau orang dah tak ada."

"Habis tu, kami nak buat macam mana?" Faridah masih tidak berpuas hati.

"Kamu kena jaga mak kamu baik-baik. Penyakit ni boleh baik tapi mengambil masa. Kamu kena sabar layan dia. Mak long balik dulu. Nanti mak long datang semula."

Mak long berlalu pergi. Mak long nampak keletihan, maklum sepanjang malam dia berjaga.

"Long, kau pergi rehat dulu. Biar aku jaga mak. Satu malam kau tak tidur."

Mampukah aku lelapkan mata dalam keadaan begini? Dengan penyakit mak, dengan adik-adik lagi. Aku baru 18 tahun, mampukah aku pikul semua tanggungjawab ini? 

Cik Buah Hati Encik SenduWhere stories live. Discover now