Bab 4

2K 43 1
                                    

Februari, 2018. Chiang Mai.

HARI ketiga.

Hari ini sudah genap hari ketiga aku di sini. Duduk di sini, minum air yang sama dan menghadap dia yang sama.

Dia.

Seperti kali pertama aku lihat, mengenakan kemeja yang melekat elok di tubuh. Tidak terlalu tegap, tidak juga kurus. Elok-elok sahaja, menggambarkan tuan empunya badan yang menjaga kesihatan diri. Seperti hari itu juga, bahagian lengan baju disingsing hingga ke siku, menampakkan urat-urat jantan yang hijau dan menimbul. Rambutnya hitam berkilat, sedikit terjongket di atas menampakkan dahi. Keningnya separa lebat dan terukir elok. Matanya...

Ah, matanya. Itu yang paling bahaya.

Bundar. Hitam pekat. Penuh misteri. Serupa lubang hitam di angkasa lepas yang boleh menarik masuk apa-apa pun yang merapat. Atau dalam kes dia, sesiapa pun yang melihat!

Aneh. Aku benar-benar aneh. Aku tidak pernah serupa ini. Aku tidak pernah tertarik untuk melihat seorang lelaki, lebih dari dua minit. Selalunya, sekilas sahaja. Tidak kira betapa kacak pun lelaki itu.

Tetapi lelaki di hadapanku ini, sepertinya ada sesuatu pada dia yang menarik aku untuk melihat kepadanya. Bukan wajah, kerana aku tahu aku pernah bertemu dengan ramai lagi jejaka yang berkali ganda lebih kacak daripadanya. Jadi, mungkin aura seriusnya saat membuat kerja?

Ya, sejak tiga hari lepas, langsung dia tidak peduli dengan orang yang lalu-lalang. Fokusnya pada kerta-kertas yang menimbun atas meja serta panggilan telefon yang sesekali dibuat dan dijawab. Terkadang-kadang, dia akan mengerutkan dahi. Sesekali, mengeluh dan menggigit bibir. Ada ketikanya, dia akan menggosok belakang leher. Tidak lupa juga, cawan demi cawan kopi hitam yang dia tempah. Yang buat aku terasa ingin menegur.

"Jangan terlalu banyak minum kopi. Tak elok untuk kesihatan."

Ah, gila! Kenapa aku perlu peduli dengan kesihatan dia? Cukup-cukuplah aku melekat lihat rupa dia saat kesibukan bekerja. Dan juga, menangkap tabiatnya yang satu itu. Selain gemarkan kopi hitam, aku perasan satu lagi yang dia selalu buat.

Memutar-mutar pen di tangan. Setiap kali dia berhenti menulis, itulah yang dia buat. Sebelah tangan membelek dokumen, sebelah lagi sibuk memutar-mutar pen.

Comel.

Tidak pernah aku rasa lelaki yang buat begitu sebagai comel, tetapi dia...

Entahlah! Apa-apa pun yang dia buat, tampak sangat menarik di mataku.

Ya Allah, Nurul Jannah! Sudah. Cukup. Jangan tenung anak teruna orang macam tu lagi!

Suatu sudut hatiku menyergah. Aku cepat-cepat menggeleng. Saat itu juga, lelaki di hadapanku tiba-tiba mengangkat pandangan mata. Tepat kepadaku.

Aku kejur. Kepala yang tadi tergeleng, tiba-tiba berhenti di sekerat jalan. Liur terasa melekat di celah kerongkong. Telapak tangan terasa berpeluh.

Dah, sudah! Kau dah kenapa? Buat macam biasa sudahlah. Jangan jadi macam budak belasan tahun yang tengah excited sebab crush dia pandang dia.

Aku sudah tidak tahu apa yang aku fikir dalam otak. Semuanya bercampur baur. Dia yang tiba-tiba bangun dari duduk, tidak membantu langsung. Malahan, buat aku rasa macam mahu lari jauh-jauh dari sini.

Setapak dia bergerak ke hadapan.

Alamak! Dia datang ke arahku.

Setapak lagi.

Jap, kenapa dia datang sini? Dia nak apa?

Setapak lagi lebih dekat.

Dia perasan aku tenung dia ke tadi?

Dendam Bersulam CintaWhere stories live. Discover now