Hazlan sudah beberapa langkah jauh ke depan, sempat berpaling dan tersengih melihat abang dan adiknya bergurau. Semoga abang gembira sepertimana apa yang dia rasa sekarang. Berikan dia bahagia, ya Allah, doa Hazlan.

Sepanjang perjalanan majlis pertunangan Hazlan, Hazman tersenyum saja setiap kali ada yang bertanya bilakah gilirannya pula nak mengakhiri zaman bujang. Dini juga tidak terlepas daripada ditanya soalan itu selepas mereka yang ada di situ diberitahu yang dia adalah kawan Hazman. Tak kurang juga yang menghulurkan nasihat walaupun tanpa dipinta.

Yang abangnya bila lagi?

Calonnya dah ada ni, nak tunggu apa lagi...

Dua-dua dah kerja, molek sangatlah bina masjid cepat-cepat...

Banyak lagilah soalan yang keluar sehingga pening kepala Hazman nak menjawabnya. Semuanya punya nada yang sama. Kau dah tua, Hazman. Cepat kahwin! Mujur dia mampu mengawal emosi, tidak mengendahkan sangat pertanyaan yang berulang-ulang itu. Sebelum ke majlis itu, Hazman sudah membuat persediaan mental dan emosi. Kedua-duanya wajib stabil dan tidak lut untuk dicucuk.

Hari ini hari meraikan Hazlan dan Alisya. Noktah!

***

Sepanjang perjalanan pulang dari majlis pertunangan Hazlan, Hazman dan Dini hanya berdiam diri. Masing-masing melayan mendengar lagu-lagu yang berkumandang di corong radio dalam kereta. Hanya mereka berdua. Ibu dan Usu pulang bersama Hazlan dan Hazran.

"Nak balik terus atau ada nak singgah kat mana- mana?" Hazman bertanya. Dia sempat nampak kepala Dini terlentok sekejap ke kanan sekejap ke kiri. Bosan lah agaknya kerana asyik dengar lagu-lagu yang mendodoi sahaja yang menjadi pilihan DJ pada petang itu.

"Hrmm... Apa awak tanya tadi?" Suara Dini seperti orang mengantuk yang kepenatan dan kekenyangan.

"Saya tanya... nak balik ke atau ada nak pergi ke mana-mana? Tadi bukan awak cakap nak singgah mall, cari barang kan?"

Dini membetulkan letak duduk tudungnya. Kemudian dia mengeluarkan bedak kompak dan melihat refleksi wajahnya dalam cermin. Buntang matanya. Alamak! Tentu Hazman nampak muka dia yang tak terurus tadi. Terus dia berpaling, membelakangi Hazman. Cepat-cepat dia menyapu bedak pada mukanya dan mencalit sedikit gincu supaya hilang pucatnya.

"Awak dah kenapa pandang tingkap pulak?" soal Hazman. Pertanyaan tadi masih belum berjawab. Tiba-tiba sahaja tengok tingkap. Pelik juga perempuan ni, fikirnya. Kalau dia usik sikit, bagaimana reaksi Dini ya?

"Tengok elok-elok cermin tu. Ada air liur basi tadi meleleh sikit kat birai mulut tu..."

"What?" Dini menjerit kecil. Segera matanya tertancap pada cermin sisi kereta, memeriksa refleksi mukanya betul-betul. Tangannya mengeluarkan tisu dari dalam beg tangannya.

Hazman terhibur. Berdekah dia ketawa. Giliran Dini memandangnya pelik. Dia yang tertidur tadi habis tu kenapa Hazman pula yang bermimpi? Gelaknya bukan main lagi, seolah-olah kelakar benar gelagat Dini tadi.

CLOSURE - DY FINALE (PUBLISHED)Where stories live. Discover now