Nurjihan mengundur diri tanpa berita. Tanpa sebarang penjelasan. Suria dan Khairi tidak dapat membantunya walaupun mereka berada dekat dengan Nurjihan. Gadis itu, apabila datang sifat degilnya, tiada apa dan tiada siapa yang dapat menggugat pendiriannya.

'Apa khabar awak, Nurjihan? Di mana awak sekarang? Semoga awak baik-baik sahaja... Jaga diri tu. Jaga makan dan minum. Saya tahu, apabila awak stress, awak cuai.

Senyum dan ketawa terpancar bukan cerminan diri yang sebenar. Itulah saya sekarang tanpa awak. Cuba melindungi kabut yang menyelubungi hati sejak sekian lama. Kepura-puraan ini begitu menyesakkan tetapi saya perlu mengutamakan hati orang lain. Hati mak. Hati famili...'

Sejak berpisah dengan Nurjihan, Hazman menulis jurnal, merakam apa yang dia rasa. Terikut-ikut dengan habit Jihan menulis diari. Paling tidak, itu satu cara dia melepaskan rindunya kepada Jihan.

***

Sudah separuh hari berlalu, baru Hazman selesai menjawab berpuluh emel daripada pelanggan yang ada masalah teknikal dengan sistem. Penat juga jari-jarinya mengetik papan kunci komputer. Dia bangkit dari tempat duduknya lalu menyusun langkah longlai ke pantri. Bancuh coklat panas untuk mengisi perutnya. Ada rasa lapar tetapi dia tak lalu nak makan. Dua tiga hari ini mood makan ke laut.

Kebelakangan ini, semenjak Usu bercakap tentang hantaran kahwin, dia sering teringat kepada Nurjihan. Entah mengapa, rindu yang lama terpendam itu kian membuak-buak seperi lava volkano. Hanya menanti masa untuk dimuntah keluar.

Apakah ini? Adakah Nurjihan turut merasakan apa yang dia rasa pada saat dan waktu ini? Atau dia sudah pun 'move on'. Mungkin dia sudah ada pengganti. Iya lah, semudah dia mengambil keputusan memutuskan hubungan mereka. Mungkin...

Hazman kembali ke kubikel, ingin berehat seketika sebelum ke surau menunaikan solat zohor. Ada seseorang meninggalkan mesej untuknya dengan menampal 'sticky note' kuning. Amboi! Huruf besar semua. Penting mesej itu gamaknya.

'ADA ORANG NAK JUMPA KAT BAWAH. DIA TUNGGU KAT KAFE.'

Hazman segera melangkah menuju ke lif. Iya lah, apabila mendapat mesej huruf besar begitu, pasti maksudnya 'urgent'. Entah siapa gerangannya dan yang paling Hazman berharap, orang itu tidak datang membawa berita duka.

Bukan sekarang. Dia tidak bersedia. Hatinya sedang rapuh pada waktu itu.

Berlari Hazman masuk ke dalam kafe. Matanya melilau mencari sebarang wajah yang dia mungkin cam dan kenal di setiap inci ruang di situ. Dia ternampak seorang gadis sedang duduk membelakanginya di sudut kanan kedai itu. Sosok tubuhnya mengingatkan Hazman kepada seseorang. Nurjihan kah? Tapi, sudah 10 tahun dia tidak jumpa Nurjihan. Kali terakhir sewaktu Nurjihan datang ke rumahnya sebelum ke US dulu.

Jantungnya berdegup kencang. Peluh mula merecik pada seluruh anggota badannya. Hazman terasa kafe itu berbahang walaupun dia yakin alat pendingin udara elok berfungsi. Dia cuba menghela nafas dalam- dalam untuk cuba bertenang tetapi dadanya terasa ketat. Telinganya berdengung. Lututnya terasa lemah, seperti pada bila-bila masa sahaja dia boleh jatuh ke lantai.

CLOSURE - DY FINALE (PUBLISHED)Où les histoires vivent. Découvrez maintenant