Prolog

1.3K 17 0
                                    


Langit tidak selalu cerah,

Hidup tidak selalu indah,

Jangan diturut hati gundah,

Tetaplah kaki terus melangkah.

"IBU! Kakak janji kakak akan kuat. Kakak janji

kakak akan jaga ayah dan adik dengan baik. Ibu tunggu kakak

tau. Kakak akan selalu doakan ibu masuk syurga!" jeritnya

melawan deruan angin yang menyapa.

Patutlah orang kata kadangkala menjerit boleh

melegakan hati. Sedikit rasa lega melapangkan dadanya yang

sebelum ini sarat dengan kerinduan dan kekusutan. Tetapi ia

bukan satu pilihan yang bagus juga.

Pandangan mata meliar kiri dan kanan. Bimbang

jeritannya didengari orang. Silap-silap di dikatakan gadis

gila. Kemudian tular ke media sosial! Haru-biru manusia

sekarang. Bukan boleh percaya.

Pandangan dihalakan ke hadapan semula. Dia ketawa

sendiri. Entah siapa saja yang mahu ambil dan merakam

gambarnya.

Udara segar dari angin laut dihirup penuh bahagia. Ya,

bahagia yang sedang cuba dia bina kembali. Dia berjanji pada

diri. Dugaan yang dia hadapi hari ini akan menguatkannya di

masa akan datang.

Seketika cuma, senja merah yang terhampar indah

menggamit kembali memori indahnya bersama keluarga

tercinta.

Satu ketika dulu dia, ibu, ayah dan adik selalu

menyusuri gigian pantai itu. Bermain istana pasir, mengutip

kulit kerang, bergurau senda sekeluarga. Tetapi itu dulu.

Sebelum segalanya berakhir dengan sebuah tragedi yang

meragut nyawa si ibu. Yang menghanyutkan rasional si bapa.

Menghala pandangan ke arah banglo indah di

hujung pantai itu buat dia sedar kadangkala cinta juga bisa

membunuh dua jiwa apabila salah satunya diragut pergi.

Rumah banglo itu tanda cinta seorang suami kepada

isterinya. Tapi kini si isteri sudah terpisah dari alam yang fana.

Tetapi mengapa pula dia rasakan si isteri telah membawa jiwa

suaminya bersama? Yang kekal kini hanya jasad tanpa rasa.

Yang membawa mereka ke jalan tidak berkata.

"Ibu... kakak minta maaf. Kakak terpaksa bawa ayah

pergi jauh dari tempat ini. Tapi, kakak janji satu hari nanti

kakak akan bawa ayah ke sini semula. Bila ayah telah bahagia

semula. Yang penting ibu kena tahu kenangan kita takkan

pernah terpadam dalam hati kakak, adik mahupun ayah."

Nafas dihela lemah. Air mata yang bergenang kembali cepat

diseka. Tidak mahu dibawa perasaan lagi.

Hari ini menjadi saksi bahawa kekayaan, kemegahan,

tidak akan selamanya kekal. Kerana ujian dan dugaan itu

tidak mengira semua itu.

Klik!

Klik!

Klik!

Terpacak telinganya mendengar bunyi petikan

kamera itu. Siapakah pula yang merakam gambar waktu

senja begini?

Bingkas dia menuruni batu besar itu. Sempat juga

dia mencari dari mana datangnya bunyi itu, tetapi kosong.

Sekarang hanya kedengaran bunyi kicauan burung pulang ke

sarang. Serta-merta meremang lehernya!

Si dia tersenyum nipis melihat skrin di kameranya.

Manis!

Big Boss I Need YouWhere stories live. Discover now