"Khair malu nak jumpa papa Arzhel, babah. Khair malu nak jumpa semua orang. Sebab satu-satunya insan yang faham Khair cuma babah. Kenapa babah tinggalkan Khair?" Tanah kuburan itu, dia genggam sekuat mungkin. Bergegar hebat tubuh tegapnya.

Arzen Bilal Khair berpaling ke sisi. Melihat dua kuburan lain yang berdampingan. Terukir nama mereka di situ. Mereka yang tidak pernah dia dakap. Puluhan tahun lamanya mereka pergi. Tanpa sempat mencurahkan kasih dan sayang kepadanya. Tanpa sempat membisikkan kalimah cinta kepadanya.

"Umi Maira dengan papa Azriel mesti kecewa dengan Khair. Maafkan Khair. Khair anak yang jahat," lirihnya. Sayup-sayup sehingga hampir tidak kedengaran. Ditelan duka yang anta permana.

"Khair, tak baik duduk meraung lama-lama. Ikhlaskan semuanya. Kita balik, ya? Nek Jah ada masakkan lauk kesukaan Khair. Khair tidur rumah Nek Jah malam ni kalau betul Khair belum bersedia nak jumpa papa Arzhel." Seorang wanita yang sudah dimamah usia mencelah lembut.

Buatkan Khair sedikit tersentak. Hampir terlupa bahawa dia sedang bersama-sama dengan Nek Jah ketika itu. Atau lebih tepatnya, Puan Haliza. Isteri kepada sahabat baik datuknya.

Khair diam membisu. Sekadar mengikuti langkah kaki Nek Jah sejurus selepas itu. Bersama hati yang lemah, dia meninggalkan tanah perkuburan itu.

Sehingga di dalam perut kereta, dia masih memerhatikan kuburan-kuburan itu. Masih ada rindu yang terselit dalam. Dia mendahagakan kasih mereka.

....

MASJID al-Humaira. Setelah bertahun lamanya, dia kembali lagi di tempat itu. Membawa separuh raganya pada kenangan yang terpahat dalam ingatan. Ketika dia remaja, masjid yang dibina oleh ayahnya itu menjadi tempat dia meluangkan waktunya.

Dia sendiri menyaksikan bagaimana dalam rasa cinta ayah kepada uminya. Sehingga masjid itu dibina menggunakan pangkal nama uminya. Dia tahu semuanya daripada papa Arzhel dan Encik Yazid.

Di waktu-waktu itu juga, dia selalu meletakkan Arzhel sebagai contoh terbaiknya. Arzhel Qadr selalu menjadi imam di masjid Ar-Rahman. Buatkan dia juga ingin menjadi seperti Arzhel. Dia selalu melaungkan azan di masjid al-Humaira. Memimpin solat fardhu. Kemudian menjadi imam termuda.

Namun sejatinya seorang manusia, kesilapan adalah hal yang tidak asing.

"Khair nak singgah?" Nek Jah membuka bicara.

Ketika itu, kereta yang dipandu berhenti di hadapan masjid al-Humaira. Khair yang memerhatikan keadaan sekeliling, menggeleng perlahan.

"Khair nak solat dekat rumah." Cukup itu yang dia balas. Sebelum dia bersandar. Lalu memalingkan wajahnya ke arah yang bertentangan. Tidak mahu hatinya semakin hancur dalam kekecewaan.

Kecewa pada diri.

"Orang-orang dekat sini semua tunggu Khair jadi imam lagi. Lama tak dengar Khair azan. Dia orang semua mesti rindu." Suara Nek Jah berbaur pujukan. Lembut mendayu-dayu.

Arzen Bilal Khair terbungkam seketika. Cukup lama sebelum akhirnya nafas berat dihela. Perlahan-lahan, dia membuka pintu kereta. Berjalan keluar menuju masuk ke dalam masjid itu.

Tepat pada masa itu, waktu asar sudah tiba. Menunggu masa untuk panggilan yang merdu berkumandang.

Khair melangkah masuk. Buatkan mereka yang ada di dalam masjid itu terngadah. Jelas terpana akan kehadiran Khair di situ. Ada yang mulai berbisik satu sama lain. Ada juga yang tersenyum gembira. Namun di mata Khair, mereka semua membencinya. Itu yang tertanam pada benaknya.

Arzen Bilal Khair sekadar berjalan lurus. Memegang microphone yang sekian lamanya tidak dia sentuh. Kali terakhir adalah sebelum dia ditangkap oleh pihak polis.

Nafas panjang ditarik. Mengambil beberapa saat untuk menenangkan jiwa yang bergelumang resah.

"Allahuakbar... Allahuakbar..."

Merdu suara Khair bergema. Meskipun getarannya tidak dapat dia sembunyikan. Bait-bait indah itu meniti dengan lembut pada bibir pucatnya. Sungguh itulah detik yang dia rindukan.

"Lailahaillallah..." Pada lantunan terakhir, mutiara putih mengalir deras pada pipi mulusnya. Dalam diam tanpa ada yang menyedarinya.

Masih layakkah dirinya itu menjadi seorang mukmin yang mulia tempatnya di sisi Tuhan? Sedangkan imannya terhalang oleh tembok dosa yang cukup tinggi.

'Izinkan aku kembali kepada-Mu, Ya Rabb.'

....

𝐂𝐞𝐫𝐢𝐭𝐚 𝐢𝐧𝐢 𝐦𝐞𝐥𝐢𝐛𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐰𝐚𝐭𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐞𝐫𝐞𝐦𝐩𝐮𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐝𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐈𝐧𝐝𝐨𝐧𝐞𝐬𝐢𝐚. 𝐒𝐚𝐲𝐚 𝐭𝐚𝐤 𝐩𝐚𝐤𝐬𝐚 𝐤𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐚𝐜𝐚 (𝐬𝐞𝐛𝐚𝐛 𝐤𝐢𝐭𝐚 𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐞𝐥𝐞𝐫𝐚 𝐦𝐚𝐬𝐢𝐧𝐠-𝐦𝐚𝐬𝐢𝐧𝐠,𝐤𝐚𝐧?).

𝐇𝐚𝐩𝐩𝐲 𝐫𝐞𝐚𝐝𝐢𝐧𝐠, 𝐤𝐞𝐬𝐚𝐲𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐦𝐮𝐚.

𝐊𝐇𝐀𝐈𝐑Where stories live. Discover now