VIRUS

21 5 23
                                    

"Ara!" Sara yang kelihatan trauma padanya terus didukung secara paksa.

"Tak mahu! Ayah pembunuh!" Sara, anak tunggalnya dan arwah isterinya terus meronta-ronta apabila melihat tangannya yang masih penuh dengan darah. Apa yang dia lihat tadi, bukan mimpi! Ayah membunuh seseorang di depan matanya!

"Ara.... Ayah cuma sayangkan Ara! Ara tak faham!" Wajah Suhaimi kusut.

"Tipu! Ara tak mahu ikut ayah! Ayah jahat, ayah pembunuh!" Sara terus menjerit lagi. Baginya, Suhaimi tidak layak bergelar ayah. Suhaimi mengecewakannya... selama ini dia menganggap Suhaimi sebagai wiranya kerana Suhaimi sentiasa membantu orang. Tapi tanggapannya meleset apabila ayahnya itu menetak seseorang yang cacat atau mungkin mangsa kemalangan sehingga kepalanya terputus! Benar-benar di hadapannya! Sedangkan lelaki yang penuh dengan darah dan berkaki tempang itu hanya ingin meminta bantuan ayah, dia pasti akan itu.

"Ara, senyap!" Kaki Suhaimi bergeletar apabila bunyi deraman dan dengusan yang sering menghantuinya selama berhari-hari itu kedengaran.

"Ara tak mahu ikut ayah!"

"ARHHHHH!!!" Suhaimi terus berundur apabila seorang lelaki tiba-tiba jatuh di hadapan mereka.

"A... ayah! Bantu dia ayah, dia mesti sakit!" Sara semakin meronta-ronta dalam dakapannya.

Lelaki tadi menggeletar sebelum bangun dengan mata putih yang terbeliak keluar bersama kaki dan tangannya yang patah. Kepalanya yang pecah dan berdarah diabaikan. Dia lapar dan melihat Suhaimi dan Sara membuatkan dia semakin gila dengan nafsu!

"Arrhhh!" Lelaki tadi terus berlari untuk mendapatkan Suhaimi dan Sara yang berada tidak jauh darinya.

Suhaimi terlepas carut di hadapan anaknya dan dia terus membuka langkah untuk berlari.

"Ayah! Dia perlukan pertolongan, ayah bantulah dia!" Sara masih lagi menangis di bahu Suhaimi. Dia, gadis berumur empat tahun yang masih tidak faham bahawa Malaysia ini sudah menghampiri kehancuran yang hakiki. Dia hanya seorang gadis kecil yang ingin menjadi seperti ayahnya yang sentiasa membantu orang yang diperlukan.

Kenapa ayahnya tidak mahu membantu mereka lagi? Kenapa dunia yang dia lihat aman dahulu semakin hancur? Kenapa terlalu banyak mayat tanpa sesiapa mahu pedulikan? Kenapa? Dia terus menangis di bahu ayahnya. Dia benci akan ayahnya! Ayahnya sudah berubah menjadi jahat!

Suhaimi buntu. Lorong ini tiada jalan lain selain membawa mereka ke kawasan yang penuh dengan makhluk aneh tadi! Dia menyesal keluar dari rumah kerana ingin mencari makanan.

Sudah lima hari mereka berlindung di rumah atas arahan pihak kerajaan. Katanya tentera akan datang menyelamatkan mereka, tapi tiada sesiapa yang datang! Sara asyik merungut lapar. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa keluar mencari makanan jika tidak mahu mati kebuluran. Namun ada bezakah keluar ataupun tidak? Mereka tetap akan dijemput ajal. Suhaimi melepaskan keluhan.

Keadaan Malaysia terlalu kacau sekarang. Bandar Kuala Lumpur sudah hancur dibom kerana mahu hapuskan makhluk yang mereka gelar zombi ini. Lainnya, zombi ini laparkan organ! Semuanya berlaku apabila ada kilang tayar yang melepaskan gas toksik yang membuatkan setiap yang menghidunya menjadi kurang siuman dan laparkan organ! Apabila mereka menggigit manusia lain, mangsa akan dijangkiti virus dan menjadi gila seperti mereka juga. Saintis masih tidak dapat menemui penawarnya, dia cuma berharap dia dan Sara mampu bertahan sehingga penawar ditemui.

Disaat dia melayan lelah berlari, bunyi kipas helikopter yang laju berpusing kedengaran dari atas.

"Ayah, kenapa helikopter datang?"

Suhaimi tersenyum, akhirnya!

"Tolong! Kami manusia normal  yang masih tinggal!" Terus dia menjerit-jerit minta diselamatkan.

Namun pihak tentera di atas sana hanya memandang mereka kosong. Beberapa biji bom yang diikat bersama terus dilemparkan ke bawah. Mata Suhaimi membuntang terkejut.

"BOOOMMM!!!"

"Arh!" Suhaimi terus memeluk Sara kejap dan dia biarkan mereka berdua terpelanting kerana kesan letupan sehingga merempuh dinding.

Zombi-zombi lain turut terpelanting sama apabila bangunan-bangunan yang dipenuhi zombi itu meletup sehingga hancur.

"Ayah!" Sara masih dalam fasa terkejut.

"Sara... lari!" Terasa belakang badannya melecur dan darah dari lukanya mengalir perlahan-lahan. Sakit!

"Ayah, tak... Ara takkan tinggalkan ayah. Ara... Ara sayang ayah! Kenapa mereka kejam, ayah? Mereka tak nampak kita ke? Kita kecil sangat, ya? Sebab tu mereka bom kita. Ayah, ayah tahan lah. Ayah kan Superhero Ara." Tubuh lemah Suhaimi digoncang. Air matanya jatuh lebat.

"A... Ara."

"Arhgg!" Zombi-zombi yang masih tidak hancur diletup bom tadi mula bangun dengan keadaan yang mengerikan. Tangan yang putus atau hampir terputus dibiarkan. Mata mereka fokus pada Sara dan Suhaimi.

Sara mula menjerit ketakutan bila gambaran zombi yang dilihatnya sekarang sungguh menakutkan mindanya. Apatah lagi apabila tangan yang sejuk itu mula mengheret bahunya.

"Ara!" Ayah terus menumbuk makhluk itu menjauh sehingga kepala rapuh itu pecah sehingga otaknya berterabur di jalan. Zombi lain berderam marah.

"Ayah! Ara takut ayah!"

"Ayah ada, ayah akan tetap lindungi Ara! Jom lari!" Sakitnya diabaikan. Dia sayang Sara lebih dari dirinya sendiri. Tangan Ara terus diheret agar berlari sama laju dengannya.

Sara berterusan menangis apabila lariannya itu menemukannya dengan banyak mangsa yang sudah pecah perut apabila bahagian perut mereka seperti diratah sesuatu.

Semakin jauh mereka berlari, tiba-tiba ada zombi keluar dari sebuah kotak secara mengejut dan terus menerpa ayah tanpa sempat ayah melawan.

Pegangan tangan ayah terlepas. "Ayah!"

Namun ayah terus menumbuk dan menarik kepala zombi itu sehingga putus. "Sa... Sara lari!" Kepala ayah mula bergetar-getar dan tangannya digenggam, cuba menahan selagi mampu. Urat biru ayah mula timbul bermula dari kawasan gigitan zombi tadi di leher ayah. Wajah ayah seperti sesak, dan ayah mula menggelupur sendirian.

"Ayah, kenapa macam ni?" Ara terus memangku kepalanya yang semakin menggila. Air matanya jatuh sekali lagi melihat azab yang dilalui ayahnya.

"Ayah, Ara janji takkan tinggalkan ayah. Ara janji selalu berada di sisi ayah. Ara sayang ayah." Wajahnya ditenggelamkan dalam dada ayah yang berdegup laju sebelum—

"Arrgg!!" Sakitnya cuba ditahan apabila Suhaimi terus menerkam lehernya. Dia berjanji, dia takkan tinggalkan ayahnya selamanya.

Satu rasa aneh mula menjalar dalam dirinya. Kepalanya mula bergerak-gerak, cuba menepis hormon yang seperti sedang menggila laparkan organ.

Akalnya seperti diracun virus yang hanya mahukan organ! Anehnya rasa ini.... Sara rasa dia masih lagi waras. Cuma, dia terlalu laparkan organ. Ayah memandangnya dengan matanya yang sudah bertukar putih.

Tangannya dihulur, bagai mengajak Sara mencari organ bersama-sama. Sara ketawa. Dia percaya dia waras, cuma dia laparkan organ. Inikah yang dirasai mereka diluar sana tadi? Atau ini hanya pemikiran orang gila kerana mahu menyangkal kenyataan yang hakiki?

Words ; 999 tak termasuk perkataan yang di-bold-kan. FUH LAST MINUTE BETUL AHAHAHAHAHAHHAAHHAAHAHAHHAAH DAH LAH HAMBAR JUGA! HMMP

Starry Festival KelapWP ; Alli NHWhere stories live. Discover now