USIKAN MANJA

16 8 10
                                    

"Senorita!"

Aku berdehem kuat. Gila ke apa mamat ni sampai panggil aku senorita di koridor? Mata-mata liar mula memandang kami aneh, sepakej dengan mulut yang cepat sahaja memberi fitnah.

Langkah aku lajukan untuk masuk ke tandas perempuan. Sekurang-kurangnya di situ kawasan bebas-lelaki-miang.

Namun ternyata, langkah dia yang lebih luas sememangnya lebih laju dari aku. Tangan aku ditarik sehingga aku terpaling memandangnya.

"Apa masalah awak ni?" Aku menjerit, tangan terus aku tarik dari genggamannya. Ilmu agama tiada dalam otak ke sampai berani sangat sentuh aku?

Namun dia hanya tersenyum, manis. Segala rasa marah tadi tiba-tiba hilang berterbangan dan diganti dengan rasa tenang yang membuai. Hati yang panas tadi terasa seperti disimbah air. Katakan sajalah aku hipokrit bila aku kata aku langsung tidak jatuh cinta pada mamat yang sempurna tapi tidak pada akal ini.

"Masalah saya?" Dia ketawa kecil pula. Ah! Aku terbuai lagi. Tawanya itu bagaikan satu melodi paling indah pernah didengari, jujur aku katakan!

"Mungkin awak perlu tanyakan pada awak sendiri. Apa masalah awak sampai awak sanggup buat saya jatuh tersungkur menyembah cinta?"

Tapi... aku, seorang Raisha Haufa tetap datang ke sekolah untuk belajar, bukan untuk bercinta. Cinta masih lagi musuh utama aku sejak kejayaan aku musnah kerana sebuah cinta yang tak pernah setia. Aku menarik nafas, cuba untuk mengusir rasa toksik yang bakal menghancurkan sebuah hati ini.

"Itu... Itu tak perlu saya jawab, Elman. Awak yang perlu tanya iman awak, kenapa terlalu lemah sehingga jatuh pada wanita?"

Dia tersenyum lagi, wajahnya ditundukkan sebelum naik semula dengan satu senyuman yang menyerot ke sisi. "Atau mungkin kesempurnaan awak yang terlalu kuat?"

Aku ketawa sinis. "Cukup, Elman. Saya pergi dulu."

Dia turut ketawa. Sebenarnya aku tidak menjumpai di mana lawaknya, mungkin kami sama-sama ketawa pada diri sendiri kerana berbicara tentang cinta di saat hati masih mentah. "Jalan hati-hati, senorita."

Aku sedaya upaya memekakkan telinga pada panggilan senorita. Kenapa dia selalu mengusik aku dengan perkataan magis itu?

Kini, hampir setiap hari, Elman selalu hadir ke kelas aku untuk memberi aku sapaan selamat pagi. Kalau aku tidak menyahut, selagi itulah dia mengacau aku sehingga aku serabut dan membalas sapaannya. Dia, memang seorang lelaki yang nakal.

Tapi aku buntu bagaimana dia boleh jatuh cinta pada aku sedangkan aku hanyalah seorang gadis biasa yang mereka gelarkan kuno kerana terlalu menjaga batas pergaulan.

"Senorita!"

Dan itu, dia hadir lagi di setiap hari-hari aku.

"Jangan ganggu saya, saya nak buat kerja." Aku mengerutkan wajah tanda marah. Katakan sahaja lagi aku hipokrit, kerana sejujurnya dari tadi aku menunggu raut wajah ini untuk datang menggangguku! Dan katakan sajalah aku ini sudah gila kerana jatuh cinta pada lelaki yang aku cuba untuk benci.

"Eh? Permaisuri mana boleh buat kerja! Siapa bagi awak buat kerja?" Dia usik aku lagi. Aku hanya menjelingnya dan meneruskan kerja yang tertangguh. Aku tak menghalaunya, kerana entah mengapa, aku mula suka kewujudannya di sisi aku. Aku mula suka mencium bau semula jadinya yang mampu merangsang hormon cintaku. Mungkin betul, aku sudah gila dan lalai. Seorang Raisha Haufa tidak pernah serapat ini dengan ajnabi!

"Senorita, awak tahu yang saya cinta awak?"

Pekerjaan aku terhenti. Pipi aku terus diserbu darah merah sehingga menyerlahkan warna merah jambu di pipiku. "Apa awak merapukan ni?" Aku ketawa kecil, cuba hilangkan rasa janggal yang aku rasa. Ini bukan apa yang aku mahu.

"Senorita, pandang saya boleh?"

Aku mengeluh kecil. "Apa yang awak mahu, Elman?" Entah syaitan bernafsu mana telah merasuk aku kini, aku rela memandangnya dengan ikhlas. Mata biru cair hasil kacukan DNA Melayu ibunya dan Irish ayahnya itu dipandang, dan aku terpukau lagi dengan keindahan dan kesempurnaan seorang hamba Allah di hadapannya. Mungkin ini satu cinta atau hanyalah ujian dari Allah?

"Saya cintakan awak, senorita. Saya suka lihat awak marah setiap kali saya usik awak. Maafkan saya." Dia ketawa kecil, dan perlukah aku ulang tawanya sungguh indah di pendengaranku sehingga aku seperti mabuk dalam khayalan dunia sendiri yang hanya penuh dengan kebiruan matanya dan tawa merdunya.

Hangat yang terasa di pipiku dibiarkan, kerana sungguhpun hamba Allah yang ini sudah lalai jatuh ke syurga ciptaan syaitan.

Entah dadah apa yang meracun mindaku, aku rasa seperti mata biru Elman semakin dekat denganku. Bagaikan aku melayang semakin dalam ke dalam matanya yang penuh dengan keasyikan dosa.

"Chup."

Mata aku meluas. "Elman!" Jeritan aku terus menggegarkan dunia fantasi tadi. Tangan aku pantas menampar wajahnya yang beribu-ribu kali aku puji kacak! Seluruh tubuh aku bergetar.

"Elman, apa awak buat!"

Dia tersenyum sinis. Bibir seksinya yang seperti terbelah tengah itu dikesat sambil memandang aku sinis. "Cukuplah kau berpura-pura muslimah, Raisha. Kau sama sahaja seperti perempuan-perempuan munafik di luar sana! Aku menyampah tengok kau ni jaga pergaulan sangat, pergi mati je lah dengan tudung kau tu! Kau dengan pelacur tak ada bezanya pun!"

Hati aku pecah berderai. "Elman! Apa salah saya pada awak sampai awak buat saya macam ni? Saya mengaku, Elman. Saya tak sempurna! Tapi saya sentiasa mencuba." Air mata aku terus jatuh. Telefon aku tiba-tiba berbunyi nyaring seperti ia sangat meminta untuk diangkat.

Ibu. Aku terus mengangkatnya. Nafas aku tarik. "Assalamualaikum, ya ibu?"

"KAU MALUKAN AKU RAISHA! AKU SURUH KAU KE SEKOLAH UNTUK BELAJAR! BUKAN BUAT MAKSIAT! KAU BERCIUM DENGAN LELAKI TU KENAPA YA ALLAH RAISHA! APA NAK JADI DENGAN KAMU NI!"

Setiap patah kata ibu yang menjerit di telingaku membuat aku tergamam. Cepatnya ia tersebar! Aku terus jatuh melutut.

Elman ketawa sinis. "Kau dah tak perlu jadi munafik. Buang tudung kau, semua orang dah nampak kau seperti seorang pelacur. Aku rancang semua ni sebab aku benci perempuan acah bertudung macam kau! Lebih baik kau bunuh diri malam ni, esok kau bukan lagi Raisha, kau dah dapat gelaran pelacur!"

Air mata aku terus jatuh. Lelaki, lelaki tak guna! Aku tak sangka Elman sanggup buat aku begini! Semua kata-kata cintanya, usikan manjanya hanya sebuah tali yang mengheret aku ke neraka! Ya Allah, ampunkan aku!

Aku terus menangis di situ... Elman masih dengan tawanya sebelum perlahan-lahan dia pergi dengan angkuh meninggalkan aku menjadi seorang hamba yang semakin lemah dengan dosa. Ya Allah.... Ampunkan aku!

Words ; 999 tidak termasuk yang di-bold-kan.

Ending sedih ke macam ni? AHAHA, at least tak bahagia. Entahlah, saya fail bab-bab air mata ni 😂

Starry Festival KelapWP ; Alli NHWhere stories live. Discover now