Bab 10

266 10 1
                                    

Setelah menyelesaikan tugasnya di bilik Fimi, Deana turun ke bawah. Fitri sedang sibuk melayan Fimi. Barang-barang mainan Fimi bertaburan di lantai.

"Fimi buat apa tu?" tegur Deana sambil menguis-nguis mainan yang menghalang laluannya.

"Atak ngok, atak," jerit Fimi girang. Fitri membiarkan dirinya ditunggangi Fimi. Bergerak pantas persis seekor kuda padi mengelilingi sofa.

"Fimi main apa?" Deana terpegun geli hati melihat gelagat mereka.

"Ain tuda-tuda," jerit Fimi ketawa terkekeh-kekeh di atas belakang Fitri.

"Hushhhh... Hushhhh..." kata Fimi sambil menepuk-nepuk belakang Fitri, agar terus bergerak laju. Cemburu Deana. Betapa gembiranya, andai dia juga ada adik. Adik sekeletah Fimi yang dapat menghiburkan. Namun malang sekali, dia cuma sendirian.

"Atak nak naik?" tanya Fimi. Deana menggeleng-gelengkan kepala. Fitri senyum-senyum kambing saja memandang Deana. "Patah tulang belakang aku, kalau dia naik," bisiknya.

Fimi masih terkekeh-kekeh ketawa dilayan sedemikian rupa. Deana berlalu ke dapur, mengintai Kak Tina.

"Kak Tina buat apa?" tanya Deana lalu mencubit manja lengan Kak Tina.

"Arghh!! Kamu cubit segala," Kak Tina marah manja.

"Ala... Sombonglah Kak Tina ni. Cubit sikit pun tak boleh?" kata Deana lalu dicubitnya lagi lengan Kak Tina. Kak Tina cuba melarikan lengannya dari terus menjadi mangsa dera.

"Masak bubur kanji untuk nenek," kata Kak Tina.

"Bubur kanji tu apa? Tak pernah dengar pun," tanya Deana.

"Bubur nasi," jawab Kak Tina.

"Oh, begitu sih," usik Deana.

"Nenek kurang sihat. Engak selera makan nasi," beritahu Kak Tina.

"Kalau di Bandung bubur nasi ini makanan untuk orang yang kurang sihat," cerita Kak Tina.

"Di KL, ia telah dikomersialkan. Bubur nasi telah menjadi hidangan biasa. Hidangan harian dan boleh dimakan dengan aneka lauk-pauk pilihan," terang Deana panjang lebar.

"Oh, begitu!" kata Kak Tina.

"Satu periuk besar Kak Tina masak?" tanya Deana.

"Iya, Deana juga boleh bawa pulang. Kalau mahu..." kata Kak Tina.

"Kak Tina, saya tak makan bubur," kata Deana apabila dipelawa begitu. Bukan Deana sombong atau berlagak, tetapi itulah hakikatnya. Deana tidak pernah didedahkan dengan makanan sedemikian rupa oleh ibunya.

"Berlagaknya! Tak makan konon... Bubur nasilah sedap," sampuk Fitri. Deana diam.

"Asyik menyampuk saja. Nanti jadi burung jampuk baru tahu," marah Deana. Fitri tersengih-sengih dan terus berlalu, tanpa membalas kata-kata Deana.

-------------------------------------------------------------------------

"Nak jadi apa awak ni Maria? Bergaduh," marah emak kepada Maria. Maria hanya membungkam. Diam tidak menjawab.

"Sebagai kakak, cubalah beralah," leter emaknya lagi, Maria terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya.

"Apa yang berlaku? Kenapa pukul Mona?" jerkah emaknya. Maria tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar, Emaknya semakin bengang.

"Emak pergi kerja cari rezeki. Suruh kau jaga adik. Itu pun tak boleh ke? Kau kerjakan Mona," leter maknya lagi.

"Sejak kecil, emak dan ayah tak pernah pukul atau jentik kamu adik-beradik," panjang lebar leteran emaknya.

Part-time Babysitter (Novel)Where stories live. Discover now