Bab 4

1K 18 0
                                    

Kaki Adi Fakhri diayun dengan separuh rela melalui kaki lima jalan yang telah bertahun-tahun dilaluinya. Sejak tingkatan satu lagi Adi Fakhri berjalan kaki ke sekolah yang terletak hanya sepelaung sahaja dari rumahnya. Walaupun berat hati, bekal yang disediakan mamanya dijinjing juga ke sekolah.

Tak sampai sepuluh minit, dia kini santai menyandarkan tubuh pada tembok pagar sekolah yang gah dibina bagi menanti kehadiran van yang sering dilihat membawa Najihah ke sekolah. Kalau boleh, dia mahu segera menyelesaikan masalah yang dia sendiri cetuskan. Dari elok berdiri, dia mula berjalan mundar-mandir. Minit demi minit berlalu akhirnya van dari Rumah Nur sayup-sayup kelihatan mendekat. Seperti selalu, van berkenaan tiba di kawasan sekolah pada pukul enam lima puluh minit pagi. Adi Fakhri sudah hadam benar dengan jadual perjalanan van tersebut kerana ia acap kali menggunakan laluan di hadapan rumahnya untuk menuju ke sekolah.

Seorang demi seorang pelajar dari Rumah Nur terlihat turun dan kelibat Cik Najihah yang ditunggu sejak tadi akhirnya muncul juga. Gadis comel bertubuh montel itu terlihat sedang mengira setiap seorang yang turun dari van berkenaan. Mungkin kerana dia adalah antara pelajar yang paling tua, dia bertanggungjawab memastikan kesemua pelajar sampai di sekolah seperti biasa.

"Najihah!" laung Adi Fakhri sedikit tinggi bagi menarik perhatian gadis itu yang kelihatan langsung tidak menghiraukan dirinya yang sedang tersengih bak kerang busuk di tembok pagar ketika melintas di hadapannya sesaat tadi.

"Mana awak tahu nama saya Najihah?" Najihah berpaling dengan wajah serius. Tiada langsung senyuman yang terukir buat Adi Fakhri. Bukan dia tidak nampak akan kehadiran Adi Fakhri di situ tadi. Namun, mood Najihah terus berubah mendung saat wajah Adi Fakhri menghias pandangannya.

"Tu, dari tag nama awak itulah. Saya nak... Cakap dengan awak sekejap boleh tak?" Adi Fakhri malas mahu menerangkan satu per satu. Dia jadi ragu-ragu dengan apa yang perlu dia suarakan sekarang. Rasa bersalah berganda-ganda jadinya apabila melihat Najihah bersusah payah memegang buku-buku miliknya yang berat itu dengan sebelah tangan kerana tangan kirinya masih tergantung anduh. Beg pula hanya digalas sebelah kerana bahunya yang cedera. Rasa bersalah jatuh bertimpa-timpa atas kepala Adi Fakhri.

"Hurm, cakaplah." Najihah memandang Adi Fakhri atas bawah. Dia terlihat tenang walaupun laluannya disekat oleh Adi Fakhri pagi-pagi buta lagi. Lagak Adi Fakhri ini dah hampir sama dengan gelagat Shariff Dol iaitu samseng Kampung Dusun dalam salah satu filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pernah ditontonnya sebelum ini.

"Saya Adi, budak yang buat hal semalam tu. Awak ingat lagi tak?" Tanpa amaran, dia 'merampas' beberapa buah buku yang gigih dipegang oleh Najihah.

"Ingat, tapi awak nak apa sebenarnya? Saya boleh pegang sendiri buku-buku saya ni. Tak perlu nak susahkan orang." Najihah menjawab dingin. Bukunya cuba diambil semula namun gagal.

"Saya nak minta maaf dengan awak. Saya tahu semua ni memang salah saya." Adi Fakhri mahu menjernihkan keadaan memandangkan semua yang terjadi memang salahnya sendiri.

"Dah habis cakap? Saya dah maafkan awak. Bagi balik buku saya, saya nak masuk kelas dah." Entah ikhlas atau tidak, maaf yang dia berikan. Yang jelas hatinya masih sakit apatah lagi tangannya yang elok tergantung disebabkan peristiwa kelmarin. Kalau boleh dia enggan lagi bersua muka dengan mamat kurang asam yang baran seperti Adi Fakhri ini. Dia melirik jam di tangan yang baru menganjak angka tujuh lima minit pagi.

"Awak serius ke? Tapi kenapa bunyi macam tak ikhlas aje?" soal Adi Fakhri sambil dia mengerutkan dahi. Mimik muka, hidung kembang kempis serta nada suara garang Najihah langsung tidak meyakinkan Adi Fakhri bahawa dia sudah dimaafkan.

"Saya dah cakap ya kan, maksudnya ya la. Tak payahlah nak persoalkan saya ikhlas ke tidak!" Malas Najihah mahu melayan lagi. Malu serta rasa sakitnya masih lagi berbekas.

SEMUA UNTUKMUWhere stories live. Discover now