Novel: Akulah Si Heroin! (Prolog + Bab 1)

2.5K 92 9
                                    

'AKULAH SI HEROIN!' diolah daripada cerpen 'SAYANG SI KAPPO-BOO!' yang pernah dipapar di laman Penulisan2u.
- Jalan cerita sudah diubah namun masih ada beberapa babak yang dikekalkan -

PROLOG

SATU per satu helaian diselak. Di setiap bacaannya, senyuman tak lekang dari bibir.

"Pa..." Seiring dengan panggilan itu, seorang gadis muncul di depan mata. Automatik dia mendongak sambil kacamata ditanggalkan.

"Papa baca novel tu lagi? Dah banyak kali papa baca, tak bosan ke? Dahlah tebal!" Si anak pamer muka tak percaya.

"Nanti bila Duha ada someone dalam hidup atau mula rasa nak bercinta, mesti Duha akan sukakan novel ni juga. Lagipun novel ni cuma ada satu aje dalam dunia, tau!"

Duha mencebir. Pertama, disebabkan ayat papanya. Itu sajalah modalnya. Novel itu hanya ada satu di dunia, tak ada pada orang lain. Entah betul atau tidak. Dan kedua, disebabkan genre novel itu sendiri. Kebiasaannya, belia sekaumnya akan tergila-gilakan bahan bacaan seperti itu tetapi bukan untuknya. Dia lebih rela menghabiskan masa menelaah buku-buku berkaitan perniagaan. Bolehlah dia prektikkan untuk meneruskan bisnes restoran dan kedai runcit keluarganya kelak! Nak harapkan adik-adiknya? Kena tunggu bertahun-tahun lagilah untuk tunggu fikiran mereka matang.

"Cubalah baca dulu, Duha. Papa berani jamin hero dan heroin akan ingatkan Duha pada dua orang," tambahnya lagi, sengaja mahu memancing minat Duha.

"Siapa?" balas Duha pendek.

Mulut sudah dibuka untuk memberi jawapan tetapi tak sempat suara dikeluarkan, namanya sudah diseru seorang wanita tua. Di sisinya, ada seorang lelaki sebaya dengannya.

"Adrian, jom makan dulu. Ibu dah buatkan nasi lemak untuk sarapan," kata si wanita tua.

"Duha, jomlah makan sekali. Atuk ada belikan buku baru untuk Duha. Ada tandatangan author juga!" ujar si lelaki tua pula. Demi mendengarkan itu, Duha berdiri tegak. Sahlah, atuknya bukan calang-calang orang. Mudah saja untuk dia dapatkan autograf mana-mana pengarang buku.

"Terima kasih, atuk! Duha sayang atuk!"

Kepala Adrian menggeleng perlahan melihatkan keletah Duha. Dia berdiri sambil tangan memeluk novel yang dibacanya tadi. Saat mata si ibu jatuh pada novel di tangan Adrian, mulutnya ringan menegur.

"Masih baca novel tu lagi?" tegur si ibu, sekali gus menarik perhatian si ayah kepada Adrian. Apabila Adrian mengangguk, serta-merta senyuman lebar memekar di bibir masing-masing.

Senyuman yang hanya difahami oleh mereka.


BAB 1

PINTU ditolak sehingga ia menghasilkan satu bunyi kuat apabila daun pintu terhempas pada tembok. Si gadis pamerkan muka tak berdosa. Katakanlah pintu itu tercabut atau patah dua sekalipun, itu belakang cerita. Baginya, saat ini dia harus pentingkan diri sendiri. Kaki terkepit-kepit berjalan memasuki sebuah bilik air yang kosong.

Lepas saja hajatnya, Aliya menghembus nafas lega. Sedari tadi dia menahan diri daripada membuang air. Puas mencari tandas yang entah tersorok di bahagian mana di dalam pusat membeli-belah ini. Ataupun Aliya yang terlepas pandang? Tak kisahlah. Asalkan hajatnya sudah terlaksana.

Kedengaran bunyi pintu utama dikuak dari luar diikuti bunyi derapan kaki. Kurang daripada dua minit, sepasang telinga Aliya dapat menangkap bunyi air di singki pula.

"Amboi laju sangat. Aku baru aje siap, dia dah cuci tangan!" Aliya berbisik sendiri. Usai urusannya, tangan memulas tombol pintu. Niatnya mahu mencuci tangan di singki sambil menjeling insan yang terlampau pantas dan efisien itu. Penasaran juga dia. Daun pintu ditarik dan...

Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ