BAB 1 : PART 1

202 1 0
                                    

"CERITA hantu tengah hari? Apa yang kau merepek ni Syah? Hantu mana keluar siang-siang buta macam ni. Kalau ada pun, itu manusia yang perangainya macam hantu. Agak-agaklah kalau kau nak menipu pun. Eh, ke kau dah kering idea? Orang putih cakap apa benda tu? Writer's block? Kan? Kah, kah, kah!"

Hussin ketawa keras. Aku diam saja sambil tersengih.

Memang ada terdetik juga nak lepaskan penumbuk sepukul dua di mukanya. Tapi aku lebih untuk menjadi pemaaf kali ini. Entahlah, mungkin sebab umur dah makin meningkat, perangai baran jadi semakin menurun selari dengan menaiknya angka umur. Tapi aku tengok Hussin tetap masih lagi Hussin yang dulu.

"Eh, kau buatlah cerita hantu tengah malam ke. Hantu sebelum subuh ke. Tak pun hah, kat rumah kau ada Astro tak?"

Soalan Hussin yang bersungguh-sungguh itu aku sambut dengan anggukkan.

"Hah, kau langgan channel hantu kat Astro tu. BOO. Channel 404. Kau tengok ada siri cerita hantu dari Thailand kat situ. Tajuk dia 3.00 AM. Hantu keluar pukul 3.00 pagi. Barulah seram bro. Ini hantu kau keluar time tengah hari. Haih... Mana nak datang seramnya. Hahaha."

Buat kali keduanya Hussin ketawa berdekah-dekah.

Hussin mengesat matanya yang berair. Aku hanya tersengih, sebagaimana biasa. Kalau melepak dengan Hussin, aku akan kurangkan bercakap kerana aku tahu, sedikit kesilapan saja akan membuatkan nafsu ketawa Hussin melompat-lompat macam orang terencat.

Sebenarnya tadi aku bukannya sengaja nak ceritakan tentang kisah hantu yang keluar waktu tengah hari tu kepada Hussin. Aku sebenarnya nak berkongsi dengan dia pasal kisah pelik dan misteri, boleh juga dikatakan seram yang berlaku kepada aku dua hari yang lepas, sewaktu aku dalam komuter KTM dari Butterworth ke Arau.

Waktu itu, aku jumpa dan kenal dengan seorang lelaki bernama Suhairy. Orangnya nampak kemas melalui pakaian yang dipakainya. Macam orang kerja pejabat. Ada tanda nama di baju kemejanya. Secara kebetulan kami sama-sama dalam tren terakhir untuk balik ke Arau. Dari Butterworth, tren tersebut bergerak jam 10.25 malam.

Mulanya aku tak ambil kisah sangat dengan lelaki yang duduk di depan aku ni. Tapi disebabkan tak ramai yang ada di dalam tren pada ketika itu, sesekali aku perhatikan tingkah laku lelaki ini yang pada pandangan aku, agak pelik keadaannya. Dia banyak bercakap seorang diri. Mukanya pula lebih banyak menunduk pandang lantai tren. Suasana gelap di luar tingkap tren memudahkan lagi untuk aku fokus kepada lelaki di depan aku ini.

Waktu itu aku perhatikan juga kalau-kalau ada bluetooth earpiece di telinganya, manalah tahu mungkin dia tengah berbual di telefon. Tapi aku yakin 100%, lelaki di hadapan aku ini memang sedang bercakap dengan dirinya sendiri. Mulanya aku biarkan saja dengan berpesan dalam hati aku, jangan kacau hal orang selagi dia tak kacau hal aku.

Tapi bila dia mula bertindak secara fizikal dengan mengetuk dan penampar pipi dan kepalanya sendiri aku terus bingkas lalu duduk di sebelahnya. Waktu itu aku perasan muka dia tiba-tiba saja berubah. Tapi yang membuatkan aku terkejut dan meremang sikit, waktu aku bergerak ke arah dia tadi, aku ada terperasan yang matanya putih. Bebola mata hitamnya hilang.

Tapi cuma beberapa saat saja benda itu berlaku, sebab lepas aku dah duduk di sebelahnya, lelaki itu dah nampak kembali normal. Bebola hitam matanya yang hilang tadi dah kembali ke tempat asalnya. Dengan keadaan yang masih penuh ragu, aku tegur dia dengan cermat dan ramah.

"Kau okey ke tak ni bro?"

Lelaki berkemeja kelabu kehitaman itu angkat mukanya dan berpaling ke arah aku lalu tersengih sambil menganggukkan kepalanya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 30, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

MATAWhere stories live. Discover now