PROLOG

181 1 0
                                    

"NAMA?"

"Syah..."

Lelaki berkemeja dan berseluar putih itu memandang aku dengan pandangan yang pelik.

"Nama penuh."

Lelaki itu bersuara lagi.

"Yalah. Nama penuhlah tu. Syah Bin Mat Dom."

Aku menjeling sekilas ke arah lelaki yang sedang duduk dalam keadaan menunduk sambil mencatitkan sesuatu di atas sekeping kertas di hadapannya. Aku perhatikan keadaan bilik tersebut yang nampak kemas. Cuma berserabut sikit di bahagian dinding sebab banyak dilekatkan dengan poster-poster yang pelbagai jenis, warna dan rupa. Pening kepala melihatnya.

Selesai sesi pendaftaran, aku dibawa ke katil yang nampaknya memang sudah dikhaskan untuk aku. Aku dibaringkan dan dua orang nurse yang comel menolong aku menanggalkan T-shirt yang aku sedang pakai, lalu dipakaikan pula aku sehelai kemeja berkain kasar berwarna hijau.

"Tak ada warna lain ke cik nurse?"

Salah seorang jururawat yang berpipi pau itu tersengih sambil menggelengkan kepalanya. Manakala seorang lagi yang bertudung dan lebih manis wajahnya bersuara tanpa melihat ke wajah aku.

"Buat masa ni, cuma ada warna ni saja encik. Tapi kalau encik buat perangai elok-elok, dengar kata kami, tak melawan, nanti saya cuba cari kut-kut ada warna yang lain."

Aku hanya mengangguk tanpa meletakkan sebarang harapan. Selesai dipakaikan kemeja berkain kasar itu, aku bingkas lalu duduk di katil dan menyandarkan bahagian belakang aku di kepala katil yang bertemu dengan dinding bilik besar tersebut.

Aku perhatikan saja katil-katil yang bersusun di situ. Semuanya berpenghuni. Ada yang sedang terbaring tidur, ada pula yang sedang duduk sambil menyanyi-nyanyi dan yang paling ekstrem ada yang sedang berdiri melompat-lompat di atas katil sambil cuba dipujuk oleh jururawat muda dan comel yang bertugas di sini. Keadaan agak hingar-bingar dengan pelbagai bunyi dan suara, tapi tidaklah sampai terasa mengganggu.

Ah! Lantaklah. Yang penting aku bukan gila macam mereka-mereka semua tu. Aku masuk ke sini bukan sebab doktor diagnos yang aku ni ada masalah mental. Tapi aku cuma perlu berehat dan mendapatkan skala rawatan yang lebih teratur. Itu saja.

Alasan doktor, aku dah terlalu letih dengan kehidupan aku seharian. Okey. Aku terima nasihat tersebut sebab semenjak aku terlalu fokus dengan siri novel misteri seram yang aku tengah tulis tu, hidup aku jadi makin tak teratur. Tidur aku jarang sekali mencukupi untuk seorang yang umurnya makin meningkat macam aku. Makan minum pula jangan ceritalah.

Jadi Doktor Syafnie yang super comel itu menyarankan supaya aku berehat di sini sambil menerima rawatan. Aku terus setuju tapi dengan dua syarat utama. Yang nombor satu, Doktor Syafnie perlu selalu datang melawat aku di sini dan yang nombor dua – aku nak laptop aku dan akses Internet yang terbaik semasa aku kat sini. Sebab ada banyak lagi manuskrip aku yang belum disiapkan.

Alhamdulillah, permintaan aku tu diterima. Jadi hari ini adalah hari pertama aku di sini untuk memulakan kembali kehidupan aku yang kedua. Kedua? Ya, yang kedua. Bukan semua manusia diberikan peluang kedua bukan? Tapi itulah yang aku miliki. Siapa aku? Hmm. Nama aku Syah Bin Mat Dom. Itu nama penuh aku. Bukannya nama manja ataupun nama timang-timangan macam yang orang sekarang ni suka guna sebab nak dapatkan perhatian di media sosial.

Umur aku sekarang dalam pertengahan 30-an. Aku bekas graduan diploma dari UiTM Shah Alam. Jurusan penulisan kreatif dan sebenarnya sebelum aku masuk belajar pun aku sudah mula menulis. Tapi penulisan aku lebih menjurus kepada penulisan artikel, puisi dan cerpen. Banyak karya-karya aku yang diterbitkan di tabloid-tabloid picisan yang selalunya muka depannya adalah gambar model perempuan separa bogel dari Indonesia dengan caption sebesar-besar alam Isteri Tidak Puas Punca Makan Luar dan bermacam lagi tajuk lucah untuk menarik perhatian pembeli. Cheap marketing style!

Cerpen-cerpen tulisan aku banyak diterbitkan di tabloid sebegini. Malah, aku menjadi bahan ketawa beramai-ramai ketika interviu untuk melanjutkan pengajian di UiTM bila aku tunjukkan hasil karya aku yang diterbitkan di tabloid sebegitu. Yang bagusnya, betul-betul di bahagian bawah ruangan cerpen aku itu ada iklan ubat kuat lelaki perkasa dan iklan lucah Melayu yang menjual produk membesarkan buah dada dengan gambar model perempuan Melayu bertudung yang bukan sekadar mencolok mata tetapi juga memualkan tekak.

Hampir setengah jam aku dijadikan bahan uji kaji dan gelak ketawa panel penilai yang ada di dalam bilik kuliah tersebut semasa sesi interviu masih berjalan. Lagipun aku adalah calon terakhir untuk sesi interviu petang itu. Tapi aku tak pernah ambil hati. Bagi aku, majalah mana pun karya aku diterbitkan, aku tetap rasa bangga. Sebab itu hasil seni aku yang sekurang-kurangnya berjaya diterbitkan juga.

Semasa sedang kuliah di UiTM, aku tiba-tiba saja cenderung dengan penulisan yang berbentuk mistik dan misteri di blog milik aku. Sebenarnya kecenderungan itu datang tanpa aku sedar. Tambahan pula waktu aku di semester lima, rakan serumah aku diberikan sebuah kereta Proton Saga keluaran pertama era 80-an oleh bapanya untuk kegunaan berulang-alik dari rumah sewa ke fakulti dan tempat praktikal di hujung semester tersebut.

Jadi sebelah malamnya, langkah kami serumah jadi semakin panjang. Dari Shah Alam, kami menjelajah hingga ke Kuala Lumpur mencari lokasi-lokasi seram mistik yang diuar-uarkan dari mulut ke mulut dan yang ditulis di dalam blog-blog popular ketika itu.

Antaranya tapak runtuhan kondominium Highland Tower, kawasan Bukit Tunku ataupun nama lamanya Bukit Kenny, sebuah rumah banglo kosong di belakang Zoo Negara, rumah banglo separuh siap yang kononnya milik mendiang penjenayah terkenal, Botak Chin di puncak Bukit Tunku dan banyak lagilah lokasi-lokasi yang dikatakan sangat menakutkan.

Tapi terus terang tak ada apa yang kami temui pun selain menghabiskan masa dan duit mengisi minyak kereta. Mungkin Allah kurniakan hijab yang tebal di mata kami semua. Cuma adalah sekali dua aku terasa macam ada benda yang mengikut kami berempat balik hingga ke rumah sewa kami di Seksyen U2 Shah Alam itu. Waktu tu cuma terasa meremang satu badan, tapi tak nampak rupa fizikal benda tersebut.

Selepas tamat pengajian, aku semakin serius menulis. Atas kehendak pasaran, aku cuba menulis novel kisah-kisah cinta remaja dan kisah pergolakan rumah tangga tapi setelah beberapa tahun aku rasa begitu struggle dengan penerimaan pembaca dan komen-komen sendu terhadap hasil tulisan aku selama ini. Disebabkan itu aku mula nekad untuk mencari satu genre yang aku rasa lebih sesuai dengan umur dan jiwa serta cara penulisan aku.

Jadi, aku memilih untuk menulis kisah seram dan misteri. Genre yang aku belum pernah sentuh selama ini. Tapi kalau boleh, aku nak tulis kisah-kisah yang benar-benar berlaku. Jadi untuk itu, aku perlu mengembara mencari bahan yang bermutu, segar, menyeramkan dan misterinya terasa sampai boleh meremangkan bulu tengkuk dan segala jenis bulu yang ada di tubuh bakal pembaca-pembaca aku selepas ini.

Pengembaraan aku itu akan ditemani oleh sahabat baik aku. Hussin namanya. Namanya pun ringkas, hanya satu perkataan sahaja sama macam nama aku. Mungkin disebabkan keringkasan itulah kami selesa berkawan walaupun kadang-kadang sikap Hussin ini menyakitkan hati dan sangat menjengkelkan.

Novel aku kali ini, fokus aku tentang kisah-kisah misteri dan seram yang berlaku pada waktu siang hari. Tapi ada ke hantu siang-siang hari ni? Biar betul? Okey, sebenarnya itulah juga soalan pertama yang keluar dari mulut Hussin dan bersungguh-sungguh dia gelakkan aku masa tu.

Apa-apa pun, nikmati dulu cerita ini. Insya-Allah siri yang seterusnya akan menyusul dengan lebih banyak kisah-kisah benar yang aku cari, gali, kupas dan garapkan semula dalam bentuk penceritaan yang lebih mudah untuk dihadam. Selamat membaca.

Err... mana cik jururawat ni. Laparlah... Bila waktu makan? Lambat lagi ke?

MATAUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum