"Saya cuma ada beberapa soalan nak tanya dekat Pak Halim. Itu pun kalau Pak Halim tak keberatan," jelasnya.

Masih berpaut pada pintu, Pak Halim menyoal, "Soalan tentang apa?"

"Tentang..." Shita berdeham sekali. "Tentang hutan berdekatan Vila Mandura."

KEADAAN di dalam rumah tak jauh bezanya seperti di luar. Ruang tamu kosong, hanya cukup dengan dua buah kerusi kayu yang nampak sangat sudah dimamah usia.

Shita memilih untuk duduk di lantai saja. Segelas air kosong yang diletakkan Pak Halim di depannya direnung.

"Apa yang kamu nak tahu tentang hutan tu?"

Shita tersentak. Pantas mata dibawa ke muka Pak Halim semula.

"Err... Okey, macam ni." Zip begnya ditarik untuk mengeluarkan buku nota. "Pak Halim tak kisah ke kalau saya rakam perbualan ni? Ini cuma untuk rujukan saya."

Pak Halim diam dengan renungan tajamnya.

"Okay, no recording," kata Shita kepada diri sendiri. Telefon disimpan ke dalam beg. Dengan buku nota dan pen di tangan, dia bersedia untuk mengajukan soalan pertama.

"Dah berapa lama Pak Halim duduk sini?"

"Kamu kalau nak tanya pasal hutan tu, tanya sajalah. Tak payah tahu pasal aku."

Mungkin Pak Halim tak berniat, tapi nadanya masih kasar di telinga Shita. Dia mengukirkan satu senyuman yang jelas nampak hambar.

"Okey. Hmm... Tadi saya ada borak sikit dengan pekerja dekat motel tu. Dia ada cakap yang... Pak Halim kata dalam hutan tu ada 'benda'. Hmm... Boleh tak Pak Halim jelaskan?" Risau juga kalau dia silap tanya soalan. Nanti naik angin pula orang tua tu.

Pak Halim merengus. "Dah bertahun-tahun aku cuba bagi tahu orang, tapi tak ada siapa percaya aku. Kenapa pulak kamu sibuk-sibuk nak tahu?"

Shita telan liur. "Saya... Saya sebenarnya cuba untuk bongkar rahsia dalam hutan tu, tapi sebelum ni saya tak pernah ada bukti atau klu untuk saya ikut. Mungkin Pak Halim boleh tolong saya. Manalah tahu, dengan bantuan Pak Halim, saya boleh buat orang luar percaya dengan apa yang sebenarnya ada dalam hutan tu."

Pak Halim menunduk. Agak lama begitu, dia akhirnya bersuara.

"Sebenarnya aku pun tak tahu apa yang ada dalam hutan tu. Yang aku tahu, sesiapa saja yang pernah masuk takkan dapat keluar dengan selamat. Hilang."

Shita menulis dengan tekun dalam buku notanya. "Hilang?"

Pak Halim mengangguk. "Macam kes budak perempuan yang baru balik rumah tu."

"Sarirah?" Shita angkat kening. "Pak Halim tahu pasal cerita tu?"

"Dah berpuluh-puluh tahun lamanya hutan ada 'benda'. Mungkin jugak dah beratus. Semua kes orang hilang kat situ semuanya sama. Ada yang pergi berkhemah, ada yang buat aktiviti dalam hutan. Dan yang hilang tu tak pernah balik semula, kecuali budak tu."

Shita rasa bulu romanya tegak berdiri. Sejenak, dia seperti dibawa semula ke tragedi yang berlaku 21 tahun yang lalu.

"Aku tak tahu siapa yang ambik mereka tu semua, tapi aku tahu bukan bunian."

"Macam mana Pak Halim tahu bukan bunian?"

Pak Halim diam. Mulanya Shita ingatkan dia sengaja ambil masa untuk berfikir macam tadi, tapi sampai ke sudah tiada suara. Shita mengeluh dalam diam.

"Pak Halim ada teori sendiri? Maksud saya, tekaan Pak Halim sendiri dengan apa yang berlaku selama ni?"

"Tekaan aku, hutan tu ada 'benda' lain selain manusia. Tak ada sesiapa pun patut masuk ke hutan tu," jawab Pak Halim kasar. "Jadi aku nasihatkan kau, balik sebelum kau pulak jadi mangsa yang seterusnya." Pak Halim bangun, bertongkat untuk masuk ke bilik dan menghempas pintu dengan kuat.

Shita terkebil-kebil. Anak matanya jatuh pada air kosong di depan, sebelum otak mula menangkap mesej yang dia perlu pergi dari situ. Dia bingkas bangun dan keluar dari rumah itu.

Belum masuk ke kereta, telefon berdering lagi.

"Ya, Syad." Dia jawab juga akhirnya sambil masuk dan tutup pintu kereta.

"Where have you been? Saya dah banyak kali telefon."

"Saya ada kerja."

"Tolong jangan beritahu saya yang awak ada kat vila tu sekarang."

Shita mengeluh berat.

"Shita?" Suara Arsyad terputus-putus.

"Line tak okey kat sini. We'll talk later okay? Bye."

Talian dimatikan. Enjin dihidupkan. Baru nak tekan minyak, nama Anna pula muncul pada skrin. Shita berdecit sebelum menjawab panggilan itu.

"Kau kat mana ni? Orang tua tu dah membebel-bebel tu."

"Chasing a story. Cakap kat dia nanti aku balik dengan satu cerita penuh yang dia takkan mampu tolak. Okey? Bye." Telefon dicampak ke seat sebelah, kaki menekan pedal minyak.

KELIBAT anggota-anggota polis yang bertugas sejak petang semalam sudah tiada. Namun beberapa orang wartawan jelas sedang berkampung di luar vila. Shita memarkir kereta tidak jauh. Kalau boleh dia tak nak dilihat oleh mereka. Cerita Sarirah milik dia dan dia tak akan biarkan orang lain yang dapat skop lebih baik daripadanya.

Shita menyusup di celahan pokok-pokok yang tumbuh di sekitar vila. Dia berjalan ke belakang rumah, tempat sama dia nampak Sari malam tadi. Mungkin kali ini nasibnya lebih baik, siapa tahu?

Shita menyentuh-nyentuh skrin telefon untuk mencari nombor yang digunakan Mak Edah untuk menelefonnya malam tadi. Beberapa minit menunggu, terdengar satu suara menjawab.

"Mak Edah? Ni saya, Nashita."

"Oh, Cik Nashita. Ada apa ya? Bukan Mak Edah dah telefon malam tadi beritahu yang Cik Sari dah balik ke rumah?"

"Ya, ya." Suara Shita mesra. "Saya berterima kasih sangat untuk tu. Tapi hari ni ada hal lain yang saya nak cakap dengan Mak Edah."

"Apa dia ya?"

"Saya sekarang ada kat belakang Vila Mandura. Kalau Mak Edah tak keberatan, boleh izinkan saya masuk? Ada beberapa soalan saya nak tanyakan..."

"Tapi Tuan Haji pesan..."

"Saya bukan nak temu ramah Cik Sari," tingkah Shita laju. "Saya nak temu ramah Mak Edah."

Diam. Mungkin terkejut.

"Kalau Mak Edah tak keberatan?" Shita mengulang ayat itu lagi. Nak minta tolong mestilah dengan sopan dan prihatin.

"Mak Edah jangan risau. Saya seorang aje jurnalis kat luar ni. Tak ada orang lain yang tahu."

"Baiklah, tapi tak boleh lama sangat. Takut nanti ada yang nampak, haru jadinya nanti," balas Mak Edah.

Shita tersenyum lega. "Okey, Mak Edah. Saya tunggu."

Shita mundar-mandir di halaman belakang rumah sementara menunggu pintu dibuka. Ada rasa teruja, tapi dalam masa yang sama ada juga rasa bimbang. Teruja sebab dia akan dapat satu maklumat baru yang mungkin orang lain tak tahu, bimbang sebab takut kalau-kalau temu ramah dengan Mak Edah tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Bunyi rusuhan semak dari belakang menyentakkan Shita. Pantas dia berpaling. Bulu roma tegak berdiri. Dia tak nampak apa-apa pun yang mungkin bersembunyi di sebalik semak tapi dia percaya dengan telinganya. Tambah lagi cerita yang diberitahu Pak Halim tadi masih segar dalam fikiran.

Sekali lagi Shita terkejut apabila pintu terbuka. Seorang lelaki lebih kurang sebayanya sedang berdiri di situ dengan wajah serius.

NAFSUWhere stories live. Discover now