Sebaik saja melangkah masuk ke dalam vila itu, semua mata terhala ke arahnya. Sari telan liur, mengumpul semangat dalam diri sebelum berjalan menghampiri meja makan yang mewah berkerawang dan dipenuhi hidangan yang lazat.

"Dah sampai pun cucu nenek," tegur Hajah Asiah sambil menarik tangan Sari lembut ke dalam pelukan.

Sari membalas pelukan itu. Sedikit sebanyak dia rasa lega dan diterima di situ. Kalau bukan di vila ini pun dia memang selalu jumpa nenek dan atuk. Cuma sepupu-sepupu dan ibu dan bapa saudaranya saja yang jauh di mata dan hati.

Selepas menyalami tangan atuk, Sari mengambil tempat di meja makan. Sambil doa dibacakan sebelum mula menikmati makan malam, dia dapat rasakan ada tiga pasang mata sedang memanah terus ke wajahnya. Tiga pasang mata milik tiga orang sepupunya, Naseem, Wajihah dan Umairah. Perlahan-lahan bola matanya bergerak untuk membalas pandangan mereka. Tanpa disangka-sangka, ketiga-tiga mereka sedang tersenyum ke arahnya. Dalam terkejut dan rasa tidak percaya, Sari memaksa bibir untuk membalas senyuman itu.

MALAM semakin larut. Sari duduk sendiri dalam bilik yang sunyi, terkebil-kebil merenung siling. Ada bunyi guruh kuat berdentum di luar, tapi hujan masih belum turun.

Sari mengiring ke kanan. Matanya kini tertancap ke arah cermin tingkap bilik. Pancaran kilat memberi cahaya di luar dan dia nampak ada satu kelibat sedang berdiri di sebalik sepohon pokok besar. Dahi Sari berkerut. Selimut diselak dan dia terus bingkas mendapatkan tingkap.

Sari berdiri tegak di depan cermin kaca. Kelibat di sebelah pokok itu masih ada, ibarat bayang-bayang seseorang sedang berpaut pada batang pokok dan merenung tepat ke arahnya. Bulu roma Sari tegak berdiri. Satu lagi pancaran kilat melintas depan matanya, disusuli bunyi guruh yang kuat. Dan kelibat itu hilang serta-merta.

Melilau mata Sari ke sekitar luar rumah. Kelibat itu tiada di mana-mana. Sedang dia cuba untuk pujuk diri bahawa kelibat itu hanyalah khayalannya, ketukan di pintu bilik buat dia tersentak. Dengan perasaan ragu, dia mendekati pintu.

Tiga wajah sedang berdiri menghadapnya sebaik saja pintu terbuka. Masing-masing memakai hoodie yang menutup kepala dan memegang lampu suluh. Sari kerut dahi.

"Kita orang nak pergi jalan-jalan. Nak ikut?" Umai yang mula-mula bersuara.

"Err..." Sari tak tahu apa yang perlu dijawab. Pergi jalan-jalan? Malam buta macam ni? Dengan kilat dan guruh di luar? Kalau dia tolak, tentu ketiga-tiga mereka akan anggap yang dia tak sudi berkawan. Kalau dia terima, selamat ke?

"Kau pun belum tidur tadi, kan? Jadi apa kata ikut kita orang masuk hutan?" ajak Waji pula.

"Masuk hutan?" Makin Sari rasa kecut perut.

"Yup!" Nas naik-naikkan kening. "Jomlah!"

"Err... tapi..."

"Jangan risau. Kita orang dah pernah masuk hutan tu dulu. Dijamin selamat."

"Yup, jom!"

"Cepat, sebelum atuk terjaga dari tidur."

"Shhh."

Otak Sari tak sempat berfikir panjang apabila kepalanya sudah pun mengangguk. Dia mencapai hoodie dari tepi katil, mengambil lampu suluh yang dihulurkan Waji, dan mengikut mereka ke pintu rumah.

"KAU orang pernah tak dengar cerita seram pasal hutan ni?" Nas bersuara. Dia satu-satunya lelaki dalam kumpulan itu jadi dia yang berjalan paling depan. Cuma kalau ikutkan umur dia yang paling muda, diikuti Sari yang tua setahun daripadanya, dan Umai dan Waji yang sebaya.

Waji menyuluh ke sekelilingnya. "Tak."

"Pasal 'penunggu' yang culik orang yang berkhemah kat sini tu?" Umai tergelak-gelak. "Pernah."

Sari yang berjalan paling belakang mula rasa bulu romanya tegak berdiri. Benaknya terbayangkan kelibat yang dia nampak tadi. Itu ke 'penunggu' yang Umai maksudkan?

"Tu cerita betul atau rekaan semata-mata?" tanya Waji penuh minat.

Umai jongket bahu. "Mak aku pernah cerita. Tapi dia cakap tak pernah terbukti pun."

"Tapi memang ada orang yang hilang dalam hutan ni, kan?" tanya Nas.

"Memang ada. Dan aku dengar lagi, siapa yang masuk ke hutan ni tak akan jumpa jalan keluar lagi." Umai tergelak-gelak sambil bercerita. "Habislah kita berempat!"

"Kau, Mai. Mulut celopar!" kata Waji sebelum dia pun ikut gelak.

Bunyi rusuhan daun-daun dari semak di sebelah kanan membuatkan keempat-empat mereka berhenti melangkah.

"Apa tu?" tanya Nas.

"Entah. Mungkin rimau?" teka Umai.

"Kau gila? Mana ada rimau dalam hutan ni," sangkal Waji.

"Mana kau tahu tak ada?" balas Umai dalam sisa gelaknya.

Sari mula rasa sukar untuk bernafas. Apatah lagi apabila Nas, Umai dan Waji mula berjalan ke arah semak itu.

"Kau orang! Nak pergi mana?"

Waji menoleh dengan senyuman. "Jangan risau. Kita orang cuma nak pastikan yang tak ada hantu kat dalam hutan ni."

Umai dan Nas ketawa.

Sari sudah pucat wajah. "Tapi..."

"Shhh!" Nas beri isyarat supaya mereka diam. Lampu disuluhkan ke depan sambil kaki terus melangkah. Sebelah tangan lagi yang memegang kayu digunakan untuk menyelak dedaun semak. Tiada apa-apa di situ. Menyedari yang mereka cuma tertipu, masing-masing ketawa.

Bunyi jeritan yang nyaring dari belakang memeranjatkan Nas, Waji dan Umai. Serentak mereka menoleh. Sari sudah tiada lagi di tempatnya. 

NAFSUWhere stories live. Discover now