Selesai sahaja azan, Aliza memejam matanya. Tertidur dia dalam keletihan.

"Tidur juga akhirnya dia, mak," bisik Kamal pada Mak Nah. Lega sungguh, akhirnya usaha dia menampakkan kejayaan. Dekat sejam lebih Aliza terpekik terlolong, sekarang baru Aliza diam membisu.

Mak Nah mengangguk.

"Syukur, alhamdulillah. Harap-harap sampai pagi esok. Kalau hari siang, boleh kita ikhtiar macam-macam."

"Yalah, mak. Memalam buta macam ni, tak ada siapa nak tolong kita..."

Mak Nah mengambil bantal dan meletakkan di bawah kepala Aliza. Rambut Aliza yang berserabut ke bahagian muka, dilurutnya ke atas semula. Di bawah cahaya lampu yang suram, Mak Nah dapat lihat wajah anaknya yang pucat seperti mayat. Dengan bibir yang tak berdarah.

"Ija... Ija, sakit apalah kamu ni, nak?" rungut Mak Nah perlahan. Kemudian Mak Nah ambil gebar dan selimutkan tubuh anaknya.

Sementara itu, Kamal ke tingkap yang terbuka luas. Ingin menutupnya. Sebelum itu, dia terpandang pohon jawi yang gah di hadapan. Dalam pekat malam, pohon tersebut kelihatan sangat menakutkan. Sekali lagi bulu romanya terpacak. Seram. Cepat-cepat Kamal menarik daun tingkap. Menutupnya rapat. Masa hendak tutup, dia perasan ada angin masuk ke dalam bilik. Ada lintasan gitu. Semacam!

"Mak nak tidur sini ke?"

Mak Nah pandang wajah Kamal, kemudian ke tubuh Aliza. Sayu riak wajahnya, bila mata menatap sekujur tubuh yang lemah itu.

"Habis tu? Mak tak sampai hati nak biar Ija sorang-sorang di sini, Kamal." Walaupun Mak Nah tak suka bilik ni, tetapi demi Aliza, dia akan buat apa saja.

"Kalau macam tu, Kamal tidur sekali di sinilah. Apa-apa hal nanti, Kamal ada."

"Yalah... Betul tu. Kamal pergi ambil toto, bantal, selimut kat bawah. Bawa bantal emak sekali."

"Baik, mak..."

Kamal patuh arahan emaknya. Tak lama kemudian dia sudah berbaring di atas toto di sisi maknya. Mak Nah di tengah-tengah, diapit oleh Aliza dan Kamal. Tubuh Aliza mengerekot di tepi dinding. Tak sedar apa dah.

"Terima kasih, Kamal," bisik Mak Nah perlahan.

"Pasal apa, mak?"

"Sanggup susah payah untuk Aliza dan mak."

Tersentuh hati Kamal dengan ucapan emaknya. Seharusnya seorang emak tak perlu ucapkan terima kasih pada seorang anak. Lagipun, dia bukan buat apa sangat. Sekadar bergaduh dengan Aliza jadi-jadian dan melaungkan azan sekali. Buat malu aje, weh.

"Mak ni... Macam Kamal orang luar pula. Ini semua kan tanggung jawab Kamal sebagai anak yang sulung. Kamal ni pengganti ayah la, mak."

"Tapi Kamal dah ada keluarga sendiri yang perlu perhatian juga..."

"Tak apalah, mak... Ija kan adik Kamal. Kalau tak Kamal yang tengok-tengokkan dia, siapa lagi?"

"Hurm... Kalau Aliza ada suami..."

Sebaik sahaja Mak Nah menyebut perkataan suami, Aliza di sebelah mengingau.

"Siapa nak kahwin? Aku tak nak kahwin. Kalau kamu gatal sangat, kamulah kahwin, Mak Nah oi."

Mak Nah dan Kamal berpandangan sesama sendiri. Terkejut bak hang. Tiba-tiba sahaja Aliza bersuara. Namun suaranya, bukan suara Aliza yang biasa-biasa. Garau macam lelaki. Selepas cakap, Aliza kembali lena. Berdengkur lagi.

"Tu la, mak... Sebut lagi pasal kahwin. Karang tak pasal-pasal Kamal dapat ayah baru." Kamal berbisik di telinga emaknya.

"Isy... Dah la tu, Kamal. Jom kita tidurlah, sementara dia tidur. Karang dia mengamuk, kita kena bangun balik."

"Betul tu, mak..."

Lebih satu jam berlalu, Kamal masih tidak dapat tidur. Puas dia menyuruh matanya pejam, tetap tidak berhasil. Segala posisi tidur dia sudah cuba, semua tidak membantu. Mungkin juga dia sudah terlajak dari masa tidur, maka matanya sudah tak mahu tidur lagi.

Mungkin juga kerana dia terlalu penat. Fizikal dan mental. Dan mungkin juga sebab tempat baru baginya. Mana pernah dia tidur di bilik hantu ni. Kalau bermalam di rumah ni, dia akan tidur di bilik bawah atau di hadapan televisyen di ruang tamu. Bilik ini hanya Aliza yang jadi penghuni tetapnya.

Semua di atas adalah kemungkinannya. Akan tetapi Kamal bukan jenis orang yang mudah dipengaruhi perkara tersebut dalam bab tidur. Yang nyata, dia rasa ada sesuatu yang sedang mengganggunya di sini. Seperti terasa-rasa. Paling menyeramkan, dia rasa yang sesuatu itu sangat dekat dengan kepalanya.

Perlahan-lahan Kamal melaungkan azan. Lepas itu dia teruskan dengan berzikir. Teramat jarang bibirnya mahu berzikir. Malam ini dia buat sungguh-sungguh. Adakah Allah ingin tunjukkan dia sesuatu?

Kamu telah mencapai bab terakhir yang dipublikasikan.

⏰ Terakhir diperbarui: Nov 28, 2018 ⏰

Tambahkan cerita ini ke Perpustakaan untuk mendapatkan notifikasi saat ada bab baru!

JANGAN GANGGU JODOHKU!Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang