"Errr, Ija... Kenapa muka nampak pucat? Kamu tak sihat ke?"

"Sikitlah, puan..."

"Kenapa? Ada orang datang pinang kamu lagi, ya?"

Aliza mengangguk.

"Laaa... Bila orang datang meminang aje kamu sakit, ya? Habis, terima tak?"

"Taklah, puan. Kalau Ija terima lagi sakit teruk kut!"

"Ya ke? Macam-macamlah kamu ni, Ija. Cuba kuatkan semangat sikit. Jangan layan sangat perasaan bukan-bukan yang datang ganggu kamu. Amalkan zikir dan baca ayat Kursi, surah-surah tiga Qul. Kamu buat tak?"

Aliza senyum.

Shahida faham akan maksud senyum Aliza. Tak buat la tu. Tengok cara senyum pun tahu. Buat Shahida terbayang adiknya Doktor Imran semula. Kalau pasal sembahyang, liat juga kadang-kadang adik dia tu. Bukan apa, jenis tak ambil berat pasal solat lima waktu. Suka lagha. Nak ditegur selalu, adiknya bukan budak kecil, dah besar panjang. Kalau kahwin berderet anak ikut belakang dah.

"Ija keluar buat kerja dulu ya, puan?"

"Okey... Terima kasih lagi sekali tau untuk mi rebus tu." Bungkusan bekas mi rebus dikerling. Shahida dah tak sabar nak makan. Sumpah sedap!

Ada soksek-soksek pekerja bergosip, kata mereka Aliza kuat bodek. Namun Shahida tak rasa begitu. Dia nampak keikhlasan Aliza bila menghulurkan makanan. Bukan untuk dia seorang, malah pada rakan-rakannya juga dia bawakan. Aliza memang suka meraikan dan menggembirakan orang.

KEDENGARAN suara lelaki lantang di luar. Shahida bingkas bangun untuk melihat apa yang sedang berlaku. Dari jarak agak jauh dia memerhati seorang pelanggan yang tengah berang kepada seorang pembantu Fresh Mart yang bertugas memotong ayam. Marah kerana pembantu tersebut memotong ayam orang lain dahulu sedangkan dia sudah lama menunggu giliran.

Shahida berdiri tercegat sahaja melihat kerana dia nampak Aliza sudah berada di situ untuk selesaikan masalah. Dengan Aliza, sekejap saja masalah selesai. Pak cik yang marah-marah boleh tersenyum mesra dan sengih-sengih gatal pada Aliza. Entah apa yang digula-gulakan Aliza tak tahulah.

Aliza ni memang punya aura untuk buat hati orang jadi lembut, tengah marah boleh cancel marahnya, malah boleh buat orang bajet kedekut jadi boros. Cair. Itulah kelebihan Aliza. Menakjubkan bukan? Sebab tu kalau ada Aliza, pasar raya Shahida laris jualannya. Berpusu-pusu kaum lelaki masuk borong barang. Sebaliknya kalau Aliza cuti, lengang saja. Nampak perbezaan yang ketara. Tak ada pun pelanggan lelaki yang berpusu-pusu datang untuk melihat Shahida yang dah nak kertu ni.

Shahida banyak memuji Aliza. Aliza serba-serbi bagus tetapi itulah hakikat sebenar. Selain dari emak-emak orang yang teringin untuk bermenantukan Aliza, mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik sekalian alam juga suka dan mudah bagi muka dengan Aliza ni.

Tu tak kira lagi bujang-bujang yang tersuka tanpa sengaja pada Aliza. Ramai. Akan tetapi biasalah Aliza... Dia selamba sahaja. Layan gitu-gitu sahaja semua orang. Kalau nak menggatal ke, nak melamar, merisik... Semua dia tolak. Nak tunggu putera raja mana lagi tak tahulah. Nasib setiap orang, yang ramai mengejar, jual mahal, macam Shahida ni tak siapa pun berkenan, tak laku-laku. Jangankan nak meminang, orang nak kenyit-kenyit mata pun tak ada. Sikit lagi mereput la Si Shahida ni.

"Kamu memang tak nak kahwin ke, Ija?"

Suatu hari, Shahida tanya Aliza. Tak pernah dia tanya pun soalan yang terlebih peribadi pada staf dia, sebagaimana dia tak suka pekerjanya bertanya soalan begitu terhadapnya. Tapi hari ni gatal pula mulut Shahida yang comel dan seksi ni.

"Perempuan mana yang tak nak kahwin, puan..." jawab Aliza jujur.

"Habis tu kenapa tolak semua pinangan? Takkan dalam ramai-ramai tu, tak ada sorang pun yang Ija berkenan? Kamu jangan kata saya jadi penghalang. Saya ni walau belum ada jodoh, suka saja makan nasi kenduri dan lauk kawah. Kalau rumah kamu kenduri ada peluang saya bungkus banyak-banyak bawa balik!"

Amboi Shahida, bab makan juga yang dia ingat. Tak padan dengan badan yang ceding, kurus kelengkeng, nafsu makan sangat kuat! Macam ada saka yang tumpang sekali masa dia melahap.

Aliza berjeda sebentar.

"Entahlah, puan. Ija nak sebenarnya, tergedik juga nak kahwin, tapi setiap kali nak terima, ada suatu perasaan lain yang tak bagi terima. Perasaan tu merasuk-rasuk kepala Ija ni suruh jangan terima. Dia tujah-tujah kepala Ija, sampai sakit sangat. Sebab tu Ija tolak semua. Tak tahan tanggung sakit. Nak cerita kat orang pun susah, orang bukan percaya."

Berkerut dahi Shahida.

"Macam tu pula! Perasaan Ija aje kut? Cuba jangan layan sangat permainan perasaan tu."

"Dah cuba. Bukan Ija tak cuba buang tapi bila Ija cuba, dia lagi kuat datang. Sampai sesak dada ni. Kadang-kadang nak maki hamun puan pun ada, tapi Ija cuba bawa sabar sungguh-sungguh."

"Pasal apa pula nak maki saya? Apa kaitan dengan saya?"

"Puan tak salah apa-apa... Tapi suara-suara yang kacau Ija ni tak suka puan. Dia selalu ocok suruh kelahi dengan puan. Dia kata puan ni nak jadikan Ija adik ipar sebab Ija boleh jadi tukang masak puan. Boleh puan makan sedap-sedap."

Mulut Shahida dah jadi huruf O besar. Macam ni punya penyakit pun ada. Tak terjangkau dek akal. Nak kata Aliza temberang, wajah Aliza nampak jujur dan telus saja. Akan tetapi kenapa macam betul? Sedangkan dia tak pernah cerita kat sesiapa pun pasal niat hatinya itu. Memang la dia selalu berangan nakkan Si Imran poyo tu kahwin dengan Aliza, tapi dia tak pernah bercakap dengan dengan sesiapa pun tentang hal ni. Sembunyi diam-diam dalam hati. Macam mana Aliza boleh tahu?

Pelik!

JANGAN GANGGU JODOHKU!Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang