Bab 14

1.3K 39 0
                                    

"AWAK tak ke mana ke hari ini?" soal Datuk Haziq kepada isterinya.

"Rasanya tak ke mana-manalah. Duduk rumah aje. Kelas mengaji yang sepatutnya diadakan di surau pagi ini dah dibatalkan. Ustazah Aisyah baru aje telefon saya tadi. Dia nak ke Melaka. Ada hal penting katanya." Datin Nafisah menjawab.

"Ooo..."

"Kenapa abang tanya? Nak ajak saya keluar berjalan ke?"

Dia bagi aku soalan cepumas ke tu? bisik hati Datuk Haziq.

"Kalau saya ajak awak berjalan-jalan kat padang golf, awak nak ke?" Datuk Haziq memberi soalan cepumasnya pula.

Dia tahu bahawa isterinya memang tidak berminat hendak mengikutnya ke padang golf. Sejak mula-mula berkahwin dahulu pun Datin Nafisah sering mengelak kalau diajak ke padang golf. Dia anggap memukul bola golf itu adalah sukan yang membosankan.

"Abang tahu kan yang saya ni tak minat ke padang golf. Saya ingatkan abang nak bawa saya balik kampung, jumpa saudara-mara. Sekarang ni kat kampung musim durian, bang," getus Datin Nafisah. Dia hairan melihat suaminya yang tidak mahu berubah sikap. Dari muda sampailah ke usia begini masih meminati sukan golf.

Pun begitu, dia malas hendak mencari gaduh atau memanjangkan cerita. Dia akui suaminya adalah seorang yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.

Yang Datin Nafisah hairan ialah selalunya Datuk Haziq akan meluangkan masa dengan dirinya dan anak-anak di rumah pada setiap hari minggu. Malah, hari minggu sudah menjadi seperti hari keluarga pula. Tetapi hari ini, Datuk Haziq hendak keluar ke padang golf.

"Apa kata kalau minggu depan aje kita balik ke kampung? Lagipun buah durian melambak dijual kat tepi jalan. Tak payah balik kampung pun dapat beli durian." Datuk Haziq beralasan.

"Durian di kampung sendiri dengan durian yang dibeli di tepi jalan, lain rasanya, bang!" Bijak sungguh jawapan yang meluncur keluar dari mulut isterinya itu membuatkan Datuk Haziq tergelak besar.

"Saya bukannya tak nak temankan awak balik ke kampung. Tapi saya dah berjanji nak jumpa kawan-kawan di kelab golf. Kalau awak nak temankan saya, jomlah!" Datuk Haziq dengan begitu beraninya mempelawa lagi kerana dia pasti pelawaannya itu akan ditolak isterinya.

Datin Nafisah kelihatan seperti sedang berfikir-fikir. Seriau juga hati Datuk Haziq tatkala melihat keadaan isterinya itu. Bagaimana kalau kali ini Datin Nafisah benar-benar menerima pelawaannya untuk ke padang golf? Sedangkan hakikatnya, 'ke padang golf' itu hanyalah alasannya semata-mata? Alasan yang sengaja direka cipta untuk mengaburi mata isterinya.

Sebenarnya dia tidak mahu ke padang golf. Dia hendak ke tempat lain. Orang yang sedang menantinya di 'tempat lain' itu seolah-olah sedang melambai-lambai ke arahnya.

"Betul ke abang nak bawa saya ke padang golf?" soal Datin Nafisah. Matanya dipakukan ke wajah suaminya.

Berdetup jantung Datuk Haziq tatkala mendengar pertanyaan isterinya itu. Biar betul dia ni nak ikut aku? desis hatinya. Namun, dia cuba sedaya upaya untuk berlagak selamba.

Maintain, babe. Maintain!

Supaya lakonannya itu tidak kantoi, dia sama sekali tidak boleh gelabah.

"Eh, apa pula tak betulnya? Kalau awak nak ikut, saya bawalah," kata Datuk Haziq.

Datin Nafisah ketawa.

"Saya tak naklah ikut awak ke padang golf tu, bang. Lagipun awak nak jumpa kawan-kawan awak kat sana, kan? Semuanya lelaki, kan? Kawan-kawan awak tu bukannya bawa isteri mereka pun ke padang golf. Nanti saya tercangak seorang-seorang kat sana. Isy, malaslah saya!"

PSIKOWhere stories live. Discover now