Kelu...

"Ada Liya terima apa-apa daripada Khair baru-baru ini?"

"Ada. Siapa yang hantar auntie? Bunga... Hadiah... Coklat. Auntie? Takkan Khair?"

"Khair."

"Khair?"

"Hari pertama dia balik sini, soalan pertama dia tanya is it Juliya with someone, mummy? Bila auntie kata, Juliya lama tak jumpa auntie, wajahnya... Berubah. Dia menyalahkan dirinya dan buat keputusan untuk minta maaf pada Juliya sehingga Juliya cakap, maafkan dia. Itu benda pertama, dia nak buat bila dia dia jejak kakinya ke sini."

Aku... Tergamam.

"Dia kata, dia tak tenang selagi dia tak dengar perkataan maaf dari mulut Juliya sendiri. Dia cakap pada auntie, selepas peristiwa itu, macam-macam benda dia buat, dia rasa tak betul dan dia mula berubah. Auntie akui... Khair memang banyak berubah."

Aku diam.

"Auntie cakap ni... Bukan auntie nak Juliya terima dia balik. No! Sikit pun tak ada niat auntie macam tu. Tapi, seperti Khair tahu, dia akan jadi begini, dia telah membuat persiapan untuk menghantar nota maaf pada Liya. Auntie tak tahu sehinggalah kedai bunga call auntie tadi untuk confirmation. Itu sebab, auntie telefon Liya, nak tanya betul ke Liya dapat apa-apa daripada Khair?"

Masa itu... Aku tak menangis lagi.

Tapi...

"Khair pernah cakap pada auntie dulu, selagi tiada kata maaf daripada aku, selagi itu penghantaran bunga, apa-apa hadiah dan nota itu tak akan pernah berhenti. Biarpun dia sudah tak ada lagi. Biar berpisah jasad, Khair tetap akan berharap. Kalau tak kedai bunga tu call auntie, auntie tak tahu yang dia betul-betul buat seperti yang dia pernah cakapkan."

Masa itu...

Barulah berjuraian jatuh air mata aku. Entah kenapa, aku teringat kata-kata Khair pada aku dulu. Sewaktu aku masih bertunang dengan dia. Antara kata-kata yang buat aku mula menerima dia dalam hidup aku.

"Liya..."

Aku pandang Khair.

"Dengar sini baik-baik."

"Kalau abang nak cakap pasal nak cepatkan perkahwinan kita... Liya tak nak dengar, bang."

"Abang pun tak pernah mendesak Liya. Jangan kata abang suka desak Liya, abang gigit hidung Liya nanti."

Aku cepat memegang hidung aku. Suka... Buat hidung aku jadi mangsanya. Bukan gigitlah, tapi tarik. Khair ketawa.

"Abang bukan nak cakap pasal kahwin walaupun, abang nak sangat Liya jadi isteri abang. Tapi, Liya kan dalam mood sukaneka, main tarik tali."

"Hampeh. Kalau bukan pasal kahwin, pasal apa?"

"Amanat untuk Liya."

Aku mengerut dahi. "Amanat apa?"

"Kalau apa-apa yang berlaku pada abang dan hubungan kita, ada tiga perkara yang Liya kena buat untuk abang."

Masa itu, seminggu sebelum hari lahirnya. Seminggu sebelum peristiwa yang menyebabkan semua lelaki adalah Don Juan bagi aku!

"Apa dia?"

"1. Maafkan abang. Apa yang berlaku, bukan abang sengaja. Tapi, semuanya abang buat selalunya untuk Liya.

2. Maafkan keluarga abang, dia orang tak tahu apa-apa. Selalunya kalau abang buat apa-apa, ini semua tanpa pengetahuan dia orang.

3. Start to fall in love again. Jangan risau, ianya hanya satu proses. Tapi hasilnya, akan bahagiakan Liya. Bahagia Liya, bahagialah abang walaupun dekat mana abang berada. Kalau syurga janji-Nya... Alhamdulillah. Tapi abang tak berharap sangat."

Aku diam.

"Janji dengan abang."

"Janji apa?"

"Buat apa yang abang cakap tu."

"Yalah!"

Khair dan kata-katanya. Selalu dia ucap yang manis-manis untuk aku, aku ingat dia saja nak memujuk aku, nak cepatkan majlis perkahwinan aku dan dia. Belum bersedia, itulah jawapan aku selalu bagi pada dia. Pandai berjanji tapi, tak pernah pun aku buat.

Yang aku buat... Bila aku teringat kata-kata itu dulu, aku maki dia. Tapi, bila aku teringat kata-kata itu sekarang... Aku terduduk!

"Entah kenapa, Awie... Aku rasa dia sengaja buat ini semua sebab dia tahu, dia nak sakit. Dah bergantang aku maki dia, Awie. Entah berapa banyak buku yang Malaikat Atid tukar untuk aku. Dia tak tinggalkan aku... Apa-apa pilihan. Dia biarkan aku, hidup dengan dendam, marah dan geram. Tak aku sangka... Dia dah pelan!"

Kalau la aku tak mengikut kata hati.

Aku... Menangis. Awie memeluk bahu aku.

"Sudahlah, wok. Bukannya hang tau pun. Lagipun, Khair koma saja. Bukannya meninggai lagi. Lainlah kalau dia tak dak, bolehlah hang nak menyesai ke apa ke. La ni, hang ada masa seperti dia juga ada masa. Doalah, Liya. Doa itu kan senjata orang yang beriman."

Memang aku tak berhenti berdoa sejak aku mula menyambungkan puzzle dalam kepala aku. Aku mohon, kepada Allah SWT supaya berilah peluang pada Khair untuk dia sedar semula. Aku nak minta maaf.

Ya Allah, abang... Kenapa abang buat Liya, macam ni? Kenapa Khair buat aku macam ni? Kenapa dia tak cakap saja pada aku yang dia sakit? Itu agaknya, sebab dia selalu sakit kepala. Aku langsung buat tak endah. Apa punya tunanglah aku masa tu!

Teruk.

"Kalau kita menadah tangan... Tuhan tak akan biarkan tangan kita kosong, Liya."

"Kalau dia sedar Awie, aku janji yang aku akan jadi seperti yang dia mahu dulu."

Awie memandang aku. "Maksud hang?"

"Jadi isteri dia."

Awie sedikit tersentak.

Tapi, bagi aku itu janji yang pasti dan pilihan yang tepat. Ya, jadi isteri Khair!

Você leu todos os capítulos publicados.

⏰ Última atualização: Jul 15, 2023 ⏰

Adicione esta história à sua Biblioteca e seja notificado quando novos capítulos chegarem!

DIA LELAKI IDAMAN MALAYAOnde histórias criam vida. Descubra agora