Sayu aku pandang muka ibu yang basah dengan air mata. Mata ditoleh pula ke arah Adik Lin. Dia memandang kosong kubur Ayah yang masih merah.
"Ibu, Adik, jom balik. Dah nak Maghrib ni." kataku perlahan.
Aku bantu ibu bangun. Sebelah tangan lagi memegang erat tangan Adik Lin. Kami berjalan perlahan-lahan meninggalkan kubur yang dipenuhi bunga. Rasa sendu dalam hati ditahan sebaik mungkin demi tak menambahkan kesedihan Ibu.
Tenanglah Ayah di sana.
------
Tanganku sibuk mengacau sardin di dalam periuk. Aromanya memenuhi segenap dapur. Mata menjeling periuk nasi, melihat sama ada sudah masak atau belum. Api ditutup dan aku mula mencedok keluar sardin masuk ke dalam mangkuk.
"Abang masak apa tu?" Aku menoleh. Adik Lin sedang menggosok-gosok mata sambil menguap.
Senyum.
"Abang masak sardin je pagi ni. Eh, Ibu dah bangun ke belum?"
Belum sempat aku bertanya lebih lanjut, Ibu masuk ke dapur. Mukanya nampak muram walaupun cuba ditutup dengan senyuman hambar.
"Ibu, duduklah. Abang baru je siap masak breakfast ni."
Aku mengambil pinggan dan meletakkannya di hadapan Ibu dan Adik Lin. Tanganku lincah mencedok nasi dan lauk untuk diletakkan ke dalam pinggan mereka.
"Abang, terima kasih masakkan pagi ni. Ibu tertidur semula lepas Subuh tadi." ujar Ibu perlahan. Suaranya serak-serak basah, kesan daripada terlalu banyak menangis. Seperti hari-hari sebelum, kami bertiga makan tanpa bicara. Keadaan masih lagi janggal selepas tiga hari pemergian mengejut Ayah, lebih-lebih lagi bila Ibu jadi makin tak bermaya. Ibu masih meratapi kehilangan suaminya yang mati akibat dilanggar kereta semasa pulang dari kerja.
Aku tak mampu nak pujuk Ibu untuk keluar daripada kepompong kesedihannya. Ya, aku pun bersedih. Aku juga kehilangan lelaki yang paling aku sayang, hero aku. Tetapi aku perlu jadi kuat untuk Ibu, untuk Adik Lin. Dan akulah yang perlu menggalas tanggungjawab menjaga keluarga ni sekarang.
Sarapan pagi kami diganggu dengan bunyi ketukan bertalu-talu di pintu. Aku bergegas membasuh tangan dan membukanya. Dua orang lelaki berbadan besar sedang berdiri di luar pintu. Raut wajah mereka bengis. Mereka berpakaian serba hitam dan penuh bertatu di lengan. Aku kenal mereka. Orang-orang suruhan Ah Long.
"Bos dah tanya pasal hutang korang. Bila nak bayar? Patutnya semalam kan?" Suara garaunya menggetarkan hati aku.
"Sorry bang, boleh bagi kami sikit masa lagi tak? Ayah kami baru je meninggal dunia, kami perlukan masa untuk kumpul duit."
"Eh tu hal korang lah kalau si Amin tu baru mati ke, hilang ke. Sekarang ni hutang still hutang."
"Abang, saya merayu sangat bang. Bagi kami masa sikit je lagi. Kasihanilah kami bang, Ayah je tempat kami bergantung selama ni." Suaraku mula serak sedikit. Hati dipagut risau kalau keluargaku diapa-apakan.
Kolar baju aku ditarik kasar, mendorong badan aku ke depan.
"Oh, masa pinjam dulu bukan main lagi berjanji, sekarang tak boleh bayar pulak? Takkan lah Ayah kau tak tinggalkan duit langsung?" Mukanya yang bengis berjarak sejengkal daripadaku.
"Maaf bang, maaf. Saya janji, saya cari duit untuk bayar semula. Minta tolong bang, bagi saya masa sikit je lagi bang..." Aku boleh dengar bunyi denyutan jantungku sendiri. Telingaku menangkap bunyi tangisan Adik Lin dari dapur.
Lelaki itu menguatkan cekaknya di kolarku sebelum satu tumbukan dilepaskan ke perut. Aku tercampak ke belakang, sebelum terbatuk-batuk menahan senak.
YOU ARE READING
Dementia
General FictionAku buntu. Ayah meninggalkan kami sekeluarga dengan bebanan hutang yang banyak. Mana aku nak cari duit? Ibu pulak tidak mahu keluar daripada kepompong kesedihannya setelah kematian Ayah. "Ibu awak disahkan menghidapi dementia." Lepas satu masalah...
