BAB 3

1.2K 21 9
                                    

MENDADAK bacaan Aqira terhenti pada muka surat itu. Novel itu ditutup lalu diletak kembali di sisi katil. Dia tidak sanggup lagi meneruskan bacaannya. Bimbang juga kalau watak utama itu tiba-tiba sahaja muncul dan berada di sisinya. Boleh tersembam kepalanya di atas lantai. Tak pasal-pasal kepalanya benjol dan matanya lebam.

Aqira bangkit. Rasa dingin yang menggigit kulit tubuhnya membuatkan dia mahu membuang air kecil.

Namun, sebaik-baik saja kepala Aqira berpaling ke kiri, sepasang matanya terpandang susuk tubuh yang sedang berdiri tegak dengan mata yang membulat. Aneh. Rasanya pintu biliknya sudah dikunci tadi.

Ya, makhluk itu berada di hadapan pintu bilik yang sedang tertutup rapat.

"Akak, bila akak masuk? Kenapa akak tak tidur lagi? Eh, kejap. Akak mesti baru balik, kan? Ini mesti dating dengan pakwe, kan?" Aqira sengih, menampakkan barisan giginya yang putih.

Namun begitu, Kalisha tetap membisu. Dia cuma berdiri di hadapan pintu dengan wajah menunduk ke bawah.

Pantas Aqira berjalan ke arah kakaknya itu. Kini, dia betul-betul berhadapan dengan Kalisha. Ditenungnya mata bulat kakaknya dengan jari yang diletakkan di bawah bibir, ala-ala pemikir hebat Sherlock Holmes. Ditiliknya wajah itu dari atas hingga ke bawah kaki. Terkedip-kedip mata bundar Aqira yang diapit alis hitam itu. Bagai sedang membuat kesimpulan sebuah kes yang berprofil tinggi.

"Diam macam patung cendana. Mata bulat dan tajam macam nak makan orang. Mulut pula macam kena jahit. Akak nak jadi hantu, ya? Sengaja nak takutkan Aqira, kan? Ala, janganlah. Adik tak takutlah dengan hantu-hantu ini. Khurafat tahu? Hantu tak pernah wujud melainkan manusia yang wujudkan sendiri benda itu. Betul tak, akak?"

Pertanyaan Aqira langsung tiada balasan. Tetap sama sahaja seperti tadi.

'Dah kenapa dengan akak aku sorang ni?' Aqira mencebik. Benak fikirannya cuba mencari jawapan lagi sehinggalah dia teringat sesuatu. Ini mesti kakaknya sudah tahu dia meminjam telefonnya tadi.

"Okeylah, Aqira minta maaf. Betul-betul terdesak tadi. Aqira janji. Lepas ni tak akan buat lagi perangai macam tu. Janji!" Sambil tangannya diangkat seperti mengangkat sumpah.

Tiba-tiba petir menyambar atap rumah lalu Aqira terduduk sambil menutup kedua-dua belah telinga. Petir yang menyambar tadi terlalu dekat dan kuat. Lagi pula dia sememangnya penakut dengan bunyi guruh sejak kecil. Setiap kali bunyi guruh dan kilat sambar-menyambar, dia akan duduk diam-diam sambil memeluk lutut sendiri.

Setelah beberapa saat, Aqira kembali membuka kelopak mata. Kepala didongakkan, mencari kakaknya. Aneh, Kalisha ghaib begitu sahaja. Biar betul! Mendadak Aqira berdiri seraya menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia semakin hairan.

Eh, macam mana akak aku boleh hilang tiba-tiba ni? Padahal, aku tutup mata tadi tak sampai satu minit. Pintu bilik pun masih tertutup rapat. Eh, siap berkunci lagi. Atau tubuh dia boleh tembus dinding? Mustahillah! Mana ada manusia yang boleh ghaib macam tu aje? Pap!

Apakah tadi sebenarnya hantu? Jadi, tadi dia bercakap dengan hantu dan bukannya manusia? Patutlah senyap macam tunggul. Mata pula terbelalak keputihan. Sengih lain macam. Rupa-rupanya itu memang bukan kakaknya, Kalisha.

Merinding bulu romanya. Dia mula ketakutan, bulu tengkuk mula tegak berdiri . Tanpa ditunggu lagi, pantas dia berlari keluar dari biliknya. Tiada tujuan khusus, asalkan tidak berada di dalam bilik itu lagi. Seram!

Dum!

Aqira terlanggar seseorang yang memegang tongkat di tangan kanan, betul-betul di hadapan pintu bilik. Dia mengengsot ke belakang, menjauhi makhluk yang menakutkan itu sambil menjerit ketakutan. 

"Tidak!"



"ADUHAI, anak dara ibu ni. Tengok ibu sendiri, macam tengok hantu Kak Limah. Ini ibulah, Aqira. Bukan orang lain pun."

Puan Zima tercegat di muka pintu bilik Aqira. Mana tak nampak macam muka hantu kalau berbedak sejuk tebal di muka. Putih macam mayat. Sekali imbas, tidak ubah macam muka Nenek Peah dalam drama yang pernah popular di televisyen dulu. Persis, malah seratus peratus serupa, tiada cacat cela.

Gerun Aqira. Macam hendak pecah dada dek debaran-debaran yang datang tanpa dipinta. Sudahlah tadi hantu menyamar jadi kakaknya. Sekarang, terpaksa pula dia berhadapan dengan ibu tirinya yang berpenampilan menakutkan.

"Kenapalah ibu selalu buat Aqira terkejut? Mujur jantung tak gugur tadi. Kalau tak, mahu meninggal adik malam ni. Huh!"

"Tadi ibu dengar adik terjerit-jerit dalam bilik. Ibu datanglah. Takut juga kalau ada apa-apa berlaku pada adik. Adik bukan sihat sangat," luah Puan Zima, prihatin dengan keadaan anak daranya itu.

"Ibu, Aqira dah besar. Aqira tahu jaga diri sendiri. Lagipun hantu tak pernah wujud, bu." Aqira bangkit seraya merenung tajam ke arah muka ibunya yang berkedut. Entah kenapa, dia tiba-tiba sahaja rimas dengan ibu tirinya itu.

Aqira berjalan melepasi ibunya namun tiba-tiba sahaja bahunya dipaut dari arah belakang. Mendadak Aqira berhenti melangkah. Apakah itu benar-benar ibunya yang asli atau 'dia' yang muncul lagi? Dia mula berfikir bukan-bukan. Ramasan tangan di bahunya itu terasa lain macam.

"Ibu tak ada beberapa hari ini. Adik jaga rumah elok-elok, ya? Jangan bagi sesiapa pun masuk kecuali orang tu memang adik kenal."

Aqira berpaling. Fuh! Mujur bukan jelmaan hantu atau jembalang. Silap diri sendiri juga. Belum apa-apa pun, sudah berfikir yang bukan-bukan. Padan muka!

"Ibu nak pergi mana pula? Adik sebenarnya nak ke kolej esok, ibu. Nak tengok rumah sewa. Kelas adik tak lama lagi dah nak mula. Maaf, ibu. Bukan adik sengaja nak bantah, tapi pelajaran lebih penting. Adik tak nak ponteng kelas semester ini semata-mata nak jaga rumah ni. Cukupcukuplah semester lepas gagal sebab jarang masuk dalam kelas. Adik nak berubah, bu," kata Aqira, jujur.

Ya, memang. Aqira pernah gagal. Tetapi tidak bermakna dia perlu gagal sampai mati. Dia perlu bangkit dan tunjukkan pada semua orang yang dia memang mampu untuk berjaya. Rasa macam tidak sabar sangat hendak belajar dan menatap muka-muka pensyarah. Paling penting, Aqira mensasarkan 'senarai dekan pada semester depan. Biar arwah ibunya bangga. Bangga punya anak sepintar dan sebijak Aqira. Perlahan-lahan dia mengukir senyum sambil matanya merenung ke atas siling.

"Tapi rumah ini kalau tak dijaga, ibu takut ada benda lain yang menghuni. Adik faham maksud ibu, kan? Ibu takut sesuatu yang lebih buruk akan terjadi pada adik nanti."

"Ibu tahu tak khurafat kalau kita percaya sangat dengan benda-benda itu semua? Adik yakin, benda tu pasti tak akan ganggu kita semua lagi."

"Ibu bukan maksudkan benda dari alam lain sangat. Tapi ibu lebih risau keadaan kamu tu sendiri. Kamu tak sihat lagi. Kalau boleh ibu tak nak kamu ke kolej lagi buat masa ni, Aqira."

"Ibu ni risau sangat. Adik jamin. Benda tu tak akan ganggu kita satu keluarga lagi. Lagipun ibu... Kak Kalisha kan ada. Dia boleh jaga rumah ni tanpa perlu adik teman."

Aqira memberi jaminan padahal dia baru sahaja diganggu. Terpaksa. Kalau tidak, pasti ibunya tidak membenarkan dia untuk pergi melihat rumah sewa. Aqira tidak mahu mengecewakan sahabat baiknya, Diana. Lagipun, dia sudah berjanji. Munafik kalau kita memungkiri janji tanpa alasan yang munasabah.

"Akak? Akak mana maksud kau?"

"Alah, anak ibu yang seorang lagilah. Anak ibu ada dua tahu? Bukan seorang. Seorang Aqira. Seorang Kalisha. Buat-buat lupa pula ibu ini."

Mulut Puan Zima terkunci. Dipandang sekeliling rumahnya. Tiada sesiapamelainkan dia dan Aqira seorang. Dia tarik nafas panjang lalu akhirnya diaturut melangkah pergi sama seperti anak tirinya itu.     

ANEHWhere stories live. Discover now