BAB 2

1.1K 24 4
                                    


Aku bukan binatang...

ARIQA menangis teresak-esak. Sesekali tangan kanannya menyentuh pergelangan tangan kiri yang masih lagi pedih akibat dirotan ibu tirinya, disebabkan hanya terlanggar pasu bunga di halaman rumah.

Dia menangis bersendirian di dalam bilik tanpa ditemani sesiapa. Sejak dia masih bayi lagi dia dijaga ibu tirinya. Dia tidak mengenali rupa paras ibu kandung yang telah melahirkannya. Apa yang dia tahu, dia ditinggalkan ibu kandungnya berhampiran longkang. Nyaris dia maut ketika itu apabila ada beberapa ekor anjing cuba menghampiri dan membahamnya.

Sebuah buku yang berwarna hitam yang berada di meja bersebelahan katil dicapai. Dia membelek sehingga ke muka surat di mana catatan terakhir berhenti.

Hari ni mak rotan sebab terlanggar pasu bunga. Mak marah sangat. Kalau dapat putarkan masa, dah tentu Ariqa takkan main dekat luar.

Itulah catatan ringkas untuk kejadian yang berlaku hari ini. Sisa air mata diseka. Deria sakit yang dialami masih menyengat. Buku hitam yakni sebuah diari ditutup semula.

Bunyi pintu menyentak lamunannya. Ibu tirinya kelihatan berdiri di muka pintu dengan muka bengis.

"Oh, baru kena marah sikit, baru kena rotan sikit dah lari masuk bilik! Kenapa kau tak main kat luar tu? Keluarlah sial!" herdiknya dengan lantang.

Air mata Ariqa kembali mengalir. Jiwanya tersentak dengan suara pekikkan dan tengkingan yang terlontar dari mulut ibu tirinya. Bukan dia tidak biasa tetapi dia masih kecil dan mudah terasa dengan herdikan tersebut. Kasih sayang yang sepatutnya dibelai manja tidak mungkin diperoleh. Malah, kebencian dan kesengsaraan yang dia harus tempuhi.

"Kau keluar sekarang!"

Ariqa menepis apabila tangannya ditarik ibu tirinya. Akibat berang dengan kelakuan itu, mukanya ditampar berkali-kali tanpa belas kasihan. Rambutnya ditarik dan telinganya dipulas-pulas.

"Budak jahanam! Aku kutip kau, boleh kau nak melawan, ya? Dasar budak sial!" Ibu tirinya mencapai penyapu lidi yang berada di tepi daun pintu dan melibas ke tubuh kecilnya.

Meraung Ariqa akibat tidak tahan pedih yang menyengat tubuhnya. Bagaikan syaitan, ibu tirinya itu menendang tubuh kecilnya sehingga kepala terkena pada almari kayu. Benjolan besar terasa pada kepala kirinya.

"Kau nak melawan aku lagi tak? Haa?"

Mulut Ariqa dikeroyok. Ibu tirinya seperti tidak berpuas hati. Jika di negara ini tiada undang-undang, sudah pasti dia akan membunuh budak yang dianggap sial dalam hidupnya itu.

Sempat ibu tirinya menendang kepalanya sebelum beredar. Pintu dihempas kuat. Keadaan kembali sepi.

Entah berapa lama dia cuba tenangkan diri. Perlahan-lahan dia bangkit dari atas lantai dan merangkak ke atas katil. Rambutnya kusut-masai. Air mata yang hampir mengering dibiarkan sahaja tanpa disentuh.

Mahu mengadu dengan sesiapa pun dia tidak tahu. Mana ada sesiapa yang sudi berkawan dengannya. Dia tidak dibenarkan mendekati sesiapa pun. Tiada yang kenal rapat dengan dirinya. Disebabkan itulah dia sentiasa bersendirian. Kadangkala, dia akan bermain di halaman rumah walaupun ditegah keras ibu tirinya.

Dia berasakan yang zaman kanak-kanaknya musnah. Kegembiraan yang sering didambakan tidak kunjung jua. Dia hanya mengenal derita. Setiap malam sebelum tidur, dia akan menangis dan mengadu entah pada siapa.

Diari berwarna hitam itu dicapai kembali. Tangannya ligat menulis catatan yang terjadi. Semuanya pengalaman buruk yang ditempuhi.

Mak pukul Ariqa lagi. Dia suka tengok Ariqa menangis. Dia suka tengok Ariqa sakit. Dia nak Ariqa mati. Dia dah tak nak bela Ariqa lagi. Mana Ariqa nak pergi selepas ni?

Tanpa dia sedari, titisan darah menitis dari kepalanya ke arah helaian diari hitam itu. Dia menutup diari yang bercampur dengan darahnya dan diletakkan di atas meja. Sebuah novel yang berjudul Bercakap Dengan Iblis diambil dan mula dibaca.

Novel itu menjadi penyeri hidupnya. Itulah antara teman yang dia ada tatkala kesunyian. Minat membaca kisahkisah seram sudah semestinya menjadi pilihan. Biarlah dia hidup dalam karya fiksyen dan fantasi. Dia lebih gembira begitu berbanding berada di alam realiti yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Setelah beberapa bab dibaca, matanya mulai kuyu. Dia terlelap sambil memeluk buku yang dibacanya.

"Ariqa..."



SATU suara menegurnya.

"Siapa tu?"

Dia tidak dapat melihat sesiapa berada di sekitarnya. Hanya suara yang didengari saling bertindih-tindih.

"Siapa tu? Ariqa takut..." Dia merengek.

"Kau kena jadi kawan kami!"

"Bunuh semua musuh kau!"

"Hapuskan mereka yang sakiti kau!"

"Kau layak hidup bahagia!"

"Arghhh!"

Ariqa menjerit ketakutan. Suaranya itu telah berjaya mengejutkan ibu tirinya yang sedang lena dibuai mimpi.

Lampu bilik dibuka. Ariqa terketar-ketar. Tangan ibu tirinya memegang erat penyapu lidi, antara senjata yang paling dia takuti.

"Kau menjerit ni apa hal budak? Nak kena ni!"

Ariqa cuba melarikan diri namun gagal. Badannya terlebih dahulu menjadi sasaran penyapu lidi.

"Sakit!" ucap Ariqa namun kata-katanya tidak dipedulikan ibu tirinya yang seperti mengamuk sakan.

Seluruh tubuh Ariqa lemah. Kesan biru semakin kelihatan pada wajahnya. Dia tiada upaya untuk bangkit. Perit yang dirasakan hanya Allah yang tahu.

Agak lama dia terlentang di atas lantai. Bagaikan sedang terbang, tubuhnya berdiri sendiri dan bergerak ke arah dapur.

"Kenapa ni?" Suaranya seperti terlontar di kepala. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh bergerak sendiri tanpa rela.

Lesung batu dicapai. Kakinya kini mula menuju ke bilik ibu tirinya.

"Bunuh dia! Dia bukan manusia! Dia setan! Dia tak sayangkan kau! Dialah yang menyebabkan kau terseksa!" Satu suara berbisik di telinga kirinya.

Tanpa ragu-ragu, dia menetak lesung batu itu pada kepala ibu tirinya sehingga berdarah. Berkali-kali dia lakukan tanpa teragak-agak.

"Eh?" Ariqa mencampakkan lesung batu itu. Dia kaget melihat kepala ibu tirinya berlumuran darah.

Keesokannya, Ariqa dan kakak tirinya dibawa ke rumah bapa saudaranya untuk tinggal di situ. Kematian ibu tirinya sukar disiasat berikutan terdapat kekeliruan. Tambahan pula, lesung batu yang dijumpai berhampiran tiada tanda cap jari si pelakunya.

Ariqa tersenyum sendirian. Novel seram yang belum habis dibaca dipeluk erat bersama diari berwarna hitam yang menjadi peneman ke mana sahaja.

"Aku tak salah, aku bunuh setan aje." Ariqa bersuara perlahan. Hatinyakeras. Dendam yang selama ini dipendam terbalas juga.     

ANEHWhere stories live. Discover now