Bab 1 - 3

1.8K 20 3
                                    

 (1)

Sandakan

10 –10 –10

Banglo itu muncul macam mentari terbit di awal pagi. Membuatkan mereka terpaku penuh takjub. Segala lelah, amarah dan maki hamun ketika berlegar-legar di hutan itu tadi lenyap begitu saja.

"Aku sudah cakap, banglo ni memang wujud!" Roslan mengacukan kameranya. Snap! "Kamu saja yang nda percaya."

"UNESCO patut datang ke sini." Amirul betul-betul teruja. "Ambil rekod. Banglo paling ajaib dalam dunia!"

"Mengarut!" Malik memandang dua rakannya itu. "Ini bukan ajaib. Ini puaka, kamu tahu?"

Tanpa mempedulikan Malik, Roslan melangkah beberapa tapak. Berpusing membelakangi banglo itu lalu menangkap gambar sendiri dengan kamera di tangannya.

"Kau sudah jumpa tempat ni, kan? Ha! Jomlah balik. Mahu hujan ni," kata Malik lagi pada Roslan.

"Balik? Kau gila mahu balik sekarang?" balas Roslan. "Ndakan kamu nda mahu masuk ke dalam?"

"Biar betul kau mahu masuk ke dalam? Kau nda nampak macam mana banglo ni muncul tadi? Entah ada jembalang apa dalam banglo tu, kau nda tahu."

Roslan pandang Amirul. "Lepas habis praktikal ni, kau terus balik semenanjung, kan? Nda tahu bila lagi kau datang sini. Kau nda mahu tahukah apa yang ada di dalam?"

Amirul menelan liur. Betul juga kata si Roslan ni, fikirnya. Lepas ini entah bila lagi dia dapat datang ke sini?

Hari itu adalah hari terakhir dia di Sandakan lepas menjalani latihan praktikal di sebuah ladang tidak jauh dari situ. Esoknya, dia pulang ke Semenanjung dan hanya akan datang ke Kota Kinabalu bila hari konvokesyen mereka tiba kelak. Jadi tidak salah rasanya jika dia mahu menikmati hari terakhirnya di situ dengan suatu pengalaman yang mungkin tidak akan dilupakannya sampai bila-bila. Lagipun, bukan semua orang pernah menjumpai sebuah banglo yang menjelma sebegitu rupa. Muncul tiba-tiba secara magikal.

Dia pandang Malik di sisinya.

"Ada apa-apa hal nanti, kau yang tinggal di belakang, Mirul," Malik memberi amaran pada rakannya yang gedempol itu. Berbeza dengan kedua-dua rakannya itu, Malik berasa sebaliknya. Okey, dia pun teruja juga, tapi cukuplah sekadar itu. Mereka tidak patut masuk ke dalam lagi. Bagaimana jika banglo itu nanti tiba-tiba lenyap kembali ketika mereka berada di dalamnya? Sudah tentu mereka bertiga juga akan lenyap sama, bukan? Bukan dia tidak pernah mendengar kisah orang yang pernah hilang di dalam hutan sebelum ini?

"Tak ada apa-apalah," sahut Roslan. "Kita ni muda cuma sekali, jumpa banglo ni pun mungkin kali ni saja." Dia melangkah ke arah beg yang dilepaskannya awal tadi, beberapa kaki di belakang dua rakannya itu.

"Kita masuklah tengok dalam kejap," pujuk Amirul. "Mana tahu jumpa benda berharga. Bitcoin ke?"

"Bitcoin nenek kau?!" Malik seluk kocek. Keluarkan rokok. "Kau ingat super-computer kah banglo tu?"

Snap!

Malik dan Amirul berpaling ke belakang.

Roslan baru saja menangkap gambar mereka berdua. "Betullah apa yang Amirul cakap tu," ujarnya. "Mandur Ali tu cakap dengan aku, bukan semua orang boleh jumpa banglo ni, tahu? Sebab apa? Kamu tahu sebab apa?"

"Sebab ni tempat bunianlah bodoh!" jawab Malik. Sebatang rokok dinyalakan. Kemudian tatap jam di tangan. Berkerut.

"Dia cakap, orang yang letak banglo ni di sini ada satu kuasa ajaib. Yang boleh membuatkan hidup orang yang datang ke sini berubah sekelip mata," jelas Roslan.

(preview) PUAKA - sebuah novel Sahidzan SallehWhere stories live. Discover now