permulaan

1 1 0
                                        


    Dunia seumpama kaku terbeku di sekeliling mereka. Bagai terpukau dek sumpahan Si Nenek Kebayan atau Si Ahli Silap Mata.
   
    Gugusan bintang di hamparan ungu ternyata tiada lagi bergemerlapan, hanya tergantung bergitu, serpihan-serpihan kuning menompokkan ruang. Angin bayu pula tidak terasa hembusannya. Menahan nafas menunggu luahan hati seterusnya.

   Orang-orang lama kata perasaan begini hanya dirasai mereka yang dilanda ombak cinta, tetapi sesungguhnya Erli dan Raffi bukan sepasang kekasih. Atau itu yang mereka ingin yakini. Hakikatnya, di dunia mereka, dalam malam di bawah langit Marina begini, mereka hanya teman lama berkongsi rahsia yang masih tertenggek di sudut minda.

  "Raffi,"suara Erli halus longlai. Matanya tidak pernah melirik daripada bangunan-bangunan kaca-besi yang tersergam indah di tebing seberang sana, seperti dua ekor haiwan purba sedang berehat berlatarkan pohon-pohon gergasi. "Saya bimbang."

"Tentang apa, Erli?"
"Tentang kita." Kata-kata itu berjeda disitu, kemudian diteruskan sebelum ditelan kegelapan malam, "dan salah tanggapan orang terhadap kita."

    Raffi menelan air liur. Dia tahu maksud Erli. Sudah berdekad lamanya dia terasa ketidakpastian yang serupa. Mungkin. Beban yang dipikulnya setiap hari semenjak entah bila.
 
"Maksudnya?"
  Erli tidak segera menjawab. Dia hanya termenung jauh ke ufuk sana, cuba memetik gugusan kekata yang tepat untuk disampaikan kepada kenalan lamanya itu. Tampa disedarinya, rambut panjangnya disisirkan ke belakang telinga. Mencuri detik berharga. Udara dipenuhi statik; mungkin hujan akan turun tidak lama lagi. Tidak mengapa. Hujan dinihari, terik mentari atau badai tsunami sekalipun tidak akan mampu mencabut mereka dari saat ini.

    "Orang ramai pandang serong terhadap kita," Erli bersuara. Sayu. "Mereka hanya melihat diri kita sebagai lambang kepincangan..." Erli tidak mampu meneruskan apa yang terkandung perit di lubuk hati.

  "Saya faham, Erli," Raffi akhirnya mencelah kesepian janggal itu. Dia menarik kot putihnya lebih rapat dengan tubuhnya. Malam itu kian mendingin. "Adakah kerana kita berdua terlalu berbeza sehingga tidak mudah disenangi? Kamu dengan kekacukan eksotikmu? Dan aku dengan keasinganku?"

"Kamu juga, ya?" Erli bertanya, separuh terkejut. Raffi menganguk.
  "Alangkah ganjilnya sesebuah masyarakat yang kian maju, yang lebih berilmu, yang sudah terdedah dengan segala bentuk perbezaan... masih punyai minda yang sempit dan jumud."

Kata-kata ini membuat Raffi tersenyum kecil, mungkin tertarik dengan pemerhatian sahabatnya. Memang sudah lama Raffi sebenarnya kagum akan pemikiran Erli. Daripada jauh, Raffi tahu bahawa Erli bukan seperti yang lain, yang lebih selesa membatu  sahaja menerima tohmahan, yang mampu senyap membisu menerima ketidakadilan. Bukan! Erli bukan seperti mereka, yang senangi menjadi tugu tumpuan khalayak, yang takut berubah, sekali gus kehilangan status pada mata masyarakat.

   

KehidupanStories to obsess over. Discover now