"Tak naklah! Aku kena balik cepat ni. Budak-budak kat restoran tu tengah tunggu aku. Mei, aku balik dulu, ya," getus Nur Dila sambil melangkah pantas ke muka pintu.

"Thanks, Dila. Kau sanggup tinggalkan restoran kau tu dan datang kemari semata-mata untuk bertanya khabar." Meilina bersuara sambil mengekori langkah sahabatnya itu.

Nur Dila ketawa.

"Apa gunanya kawan, beb."

"Terima kasih eh, Dila. Nasi ayam tadi tu, sedap. Nanti bawalah lagi ya." Tingkah Junita sambil merangkul tubuh rakan karibnya itu. Itulah yang mereka sering lakukan setiap kali hendak berpisah.

"Insya-ALLAH. Eh, petang esok singgahlah ke kedai aku. Aku belanja minum." Pelawa Nur Dila sambil membongkok untuk menyarung kasut ke kakinya.

"Wow, bestnya! Rezeki jangan ditolak, kan Mei?" Junita bersuara dengan seronoknya.

"Kan..." Meilina menjawab.

Gelak-ketawa menyulami kemesraan yang terjalin. Usai mengucapkan salam, Nur Dila melangkah keluar dari apartmen dua orang sahabatnya itu tanpa menyedari 'sesuatu' yang tidak kelihatan dek mata kasar manusia, yang gagal menyusup masuk ke apartmen itu tadi, sedang mengekori langkahnya.

Sepanjang menyusuri koridor menuju ke lif, mata Nur Dila acapkali mengilas ke arah panorama malam yang sempat dirakam retina matanya dari tingkat 10, Apartmen Orked itu. Hujan yang tadinya agak lebat, kini sudah reda. Yang ditinggalkan di belakang hanyalah titis-titis halus yang merembes ke bumi. Langit sepi dan gelap tanpa bulan mahupun bintang yang memunculkan diri. Tetapi di bawah sana dan juga nun di kejauhan, cahaya lampu serta neon terang menggerlap melatari persekitaran.

Tiba-tiba satu lingkaran hembusan angin sejuk menyapa tubuh Nur Dila. Spontan gadis itu berpeluk tubuh kerana kesejukan. Yang peliknya, angin sejuk itu seolah-olah berpusar-pusar di sekelilingnya sahaja, bukan seperti hembusan angin normal yang biasanya akan berlalu pergi. Gadis yang tidak mempercayai kewujudan perkara tahyul-mahyul itu meneruskan langkahnya tanpa berasa curiga barang sedikitpun.

Nur Dila segera menekan butang bulat pada pintu lif. Beberapa ketika kemudian, pintu lif terbuka dan dia segera melangkah masuk ke perut lif. Dia dapat merasakan angin sejuk yang bertiup tadi turut menyusup masuk ke dalam lif itu, bersamanya. Masih lagi dia tidak berasa apa-apa.

Lif itu membawanya turun ke tempat letak kereta. Sebaik-baik sahaja sampai ke bawah dan pintu lif terkuak, Nur Dila sedikit terkejut apabila melihat seseorang berjubah hitam dengan wajahnya dilindungi oleh hud yang dipakainya, berdiri betul-betul di depan pintu lif.

"Excuse me," kata Nur Dila agar 'orang' didepannya itu berganjak sedikit bagi membolehkan dia keluar dari perut lif dengan selesa. Usai berkata begitu barulah 'orang' itu memberikan laluan untuknya.

Sebaik-baik sahaja 'orang' berjubah dan berhud itu menyisih ke tepi, Nur Dila tidak membuang masa lagi. Dia terus menghayun langkah pantas menuju ke keretanya. Ketika itu, hatinya yang tadi keras berkematu, sudah mula goyah. Spontan dia menoleh ke belakang dan dilihatnya 'orang' tersebut tidak masuk ke dalam lif sebaliknya hanya bersandar di tepi pintu lif sambil menyorot pandang ke arahnya. Namun, dia masih tidak berjaya melihat wajah 'orang asing' itu yang dilindungi oleh hudnya.

Ketika beberapa langkah lagi hendak sampai ke Proton Perdana miliknya, sekonyong-konyong seluruh ruang letak kereta apartmen itu menjadi gelap gelita. Kalut, Nur Dila meraba-raba beg tangannya untuk mencari kunci keretanya di dalam gelap itu. Mujurlah kunci keretanya diletakkan di dalam ruang yang berasingan daripada kunci-kuncinya yang lain. Jadi tidaklah sukar untuk dia menjumpainya.

"Ya ALLAH... ya ALLAH, kenapa pulak dengan alarm kereta aku ni. Tiba-tiba aje tak berfungsi. Masa macam nilah pulak kau buat hal, duhai kereta. Cepatlah...cepatlah!" Nur Dila merungut-rungut sambil memicit-micit alarm pada kunci keretanya dengan harapan supaya pintu keretanya segera terbuka. Namun hampa!

Dalam keadaan yang semakin kalut, lebih-lebih lagi ruang letak kereta itu telah menjadi gelap gelita seolah-olah di dalam lubang kubur, Nur Dila menyorong kunci ke lubang kunci keretanya. Ketika itulah dia dapat rasakan angin sejuk yang aneh bertiup lalu menyelubungi sekujur tubuhnya.

Hati Nur Dila sudah jadi kecut bak kecutnya getah sekerap yang dijemur di bawah terik matahari. Bulu tengkuknya mula tegak, berdiri sendiri. Rasa gerunnya semakin bertambah apabila terdengar derap sepatu sedang merapati dirinya.

Dalam keadaan tangan yang menggeletar dan otak yang sudah tidak dapat berfungsi dengan tenang, usahanya menonyoh kunci kereta ke lubang kunci yang sepatutnya semudah ABC menjadi amat sukar sekali sesukar hendak menjejaki pesawat malang MH370 yang hilang itu layaknya. Akhirnya, usahanya terus jadi sia-sia apabila kunci keretanya pula terjatuh ke lantai simen.

"Siapa tu, hah? Siapa???" Nur Dila berpaling ke belakang lalu menjerit ke arah orang yang sedang mendekatinya itu.

"Saya dalam kesusahanan ni. Tolonglah saya!"

Di dalam gelap gelita itu, tiada sesiapa yang menjawab. Hanya suaranya sahaja yang bergema di ruang letak kereta itu dengan diiringi oleh derap sepatu yang semakin mendekat. Nur Dila membongkokkan tubuhnya sambil teraba-raba mencari kunci keretanya yang terjatuh tadi.

Alhamdulillah, dah jumpa!

Nur Dila berusaha sekali lagi menonyoh kunci itu ke lubang kunci di pintu keretanya. Akhirnya, dia berjaya. Dia segera membuka pintu keretanya tetapi sebelum sempat dia memboloskan dirinya ke tempat duduk pemandu, dia rasa tubuhnya ditarik dari belakang oleh seseorang atau satu kuasa yang sangat kuat.

Dia menendang, meronta-ronta dan menjerit-jerit dalam usahanya hendak melepaskan dirinya.

"Tolong... tolong! Lepaskan aku. Kau nak duit ke? Aku bagi... aku bagi, tapi lepaskan aku!" Dia meraung-raung. Pada sangkaannya, malam itu dia sedang disamun atau dirompak. Sekilas ingatannya tertumpu ke arah 'orang' berjubah dan berhud hitam seketika tadi.

Namun, 'orang' yang memeluknya dari arah belakang itu langsung tidak mahu melepaskannya. Berbekalkan prinsip pantang menyerah sebelum melawan, Nur Dila berjaya menarik hud penyerangnya. Sebaik-baik sahaja hud itu berjaya ditarik, sekonyong-konyong penyerangnya menjerit dengan jeritan yang amat kuat serta menyeramkan sambil melepaskan rangkulannya daripada tubuh Nur Dila.

Reaksi pertama gadis itu ialah berpaling ke belakang. Di dalam gelap itu, yang dilihat Nur Dila hanyalah dua biji mata yang merah bernyala sedang merenung tepat ke arahnya.

ALLAHUAKBAR... ALLAHUAKBAR! Bagaikan rasional baru menyerapi fikirannya, Nur Dila bertakbir. Kuat! Kemudian, dia membaca ayat Kursi sekuat-kuat hatinya. Serentak itu, Nur Dila seolah-olah terdengar bunyi erangan yang menyeramkan.

Dia sudah tidak sanggup lagi berdepan dengan situasi yang tidak pernah terjangka dek akal fikiran warasnya itu. Dia berlari hoyong-hayang ke arah keretanya lalu memboloskan dirinya ke kerusi pemandu. Kunci ditonyoh ke tempat yang sepatutnya dan enjin keretanya dihidupkan. Lampu keretanya terus menerangi ruang yang gelap gelita. Dia tidak menunggu lagi barang seminit lagi, terus masuk gear 1 dan menekan minyak, memecut meninggalkan tempat letak kereta Apartmen Orked. Sebaik-baik sahaja keretanya bergerak keluar, bekalan elektrik di ruang letak kereta itu pulih seperti sediakala.  


---- PEMBACA BUDIMAN ----

UNTUK MAKLUMAN; MANUSKRIP INI SUDAH DITeRBITKAN OLEH KARNADYA PUBLISHING DENGAN TAJUK PENUNGGU. TERIMA KASIH.       

PENUNGGUWhere stories live. Discover now