1. Ini cerita tentang bagaimana saya melihat feminis bekerja, dan kebetulan feminis tersebut pada malam yang diceritakan, hadir dalam susuk tubuh kecil si Maryam Lee.
2. Ketika scene buku alternatif nak naik dulu-dulu, musuh kami ketika itu cuma dua. Satu penyembah Dewan Bahasa & Pustaka dan dua, Maryam Lee. Selepas itu Maryam Lee menjadi musuh budak event, musuh budak mock-up trial, musuh Redza Minhat dan turut menjadi musuh masyarakat.
3. Saya mengenali feminisme melalui status & komen di media sosial orang-orang seperti Nor Huda Mohd Izam. Kemudian bila belajar menulis & mengkaji filem, saya jumpa teori kritikan sastera feminisme. Walaupun tak sepenuhnya faham dan mahir, saya tahu yang perjuangan feminisme adalah menentang patriarki, bukan lelaki.
4. Beberapa malam lepas, saya dah berjanji dengan Maryam untuk berjumpa di Rumah Khizanat, Ipoh dalam sebuah forum. Dalam forum itu, Maryam menjadi moderator dan ceria betul dia sewaktu berforum. Ketawanya boleh didengari dari luar. Bila saya bagitahu perkara ini pada Maryam, Maryam cakap sesuatu tentang suara perempuan bukan aurat dan sebagainya. Saya cakap "Tak, maksud aku, kau gelak macam syaitan."
5. Saya, Afiez dan Maryam bergerak ke restoran Nasi Lemak Ayam Kampung di jalan Yang Kalsom. Salah seorang panel forum tadi, seorang ustaz muda bersama teman-temannya sudah pun duduk di sebuah meja dan mengajak Maryam duduk bersama. Saya bisik pada Maryam, nak duduk sekali ke nak duduk meja asing? Maryam kata sekali. Saya bisik pada Afiez, "Hang tengok, feminis tak benci lelaki. Feminis benci patriarki". Tapi Afiez tak dengar sebab saya bisik perlahan sangat. Atau mungkin juga Afiez dengar. Dia tak bagi respon sebab dia tak faham patriarki.
6. Maryam pesan nasi lemak ayam kampung dan segelas air mahal. Saya pesan teh pandan sebab kononnya orang Ipoh kool gila minum air tumbuh-tumbuhan, dan Afiez pesan teh o panas. Kemudian ustaz tadi tanya Maryam tentang pengalamannnya di Iran. Ustaz kata dia pernah jemput ZF Zamir untuk cerita pasal Iran, tapi di mata ZF Zamir, Iran ini buruk betul. Di mata Maryam pula Iran ini macam taman-taman syurga. Setiap kali dia sebut perkataan Iran, dia tersengih gembira.
Maryam sukakan Iran. Puji-pujiannya pada Iran boleh menimbulkan fitnah yang dia dah jadi syiah. Tapi saya rasa tak. Maryam tak cukup licik untuk jadi orang syiah. Nak jadi sunni pun tak direstui.
7. Maryam cerita tentang anak muda Iran yang tak suka agamawan. Kemudian kawan-kawan ustaz tadi tanya tentang soal ibadah orang Iran. Di Iran, sunni & syiah boleh sembahyang sekali, tak ada masalah. Siapa yang jadi imam pun tak jadi masalah. Saya teringat kampung saya di Manjoi. Ada dua masjid; satu masjid orang UMNO. Satu lagi masjid orang PAS. Tapi tapak perkuburan tak pula diasing-asingkan.
8. Selepas makanannya sampai, Maryam yang memang mengadu lapar dari tadi pergi basuh tangan. Dia tak makan guna sudu & garpu. Walaupun dia cina, tapi dia tak boleh buang jati diri anak melayu UiTM usaha taqwa mulia di hatinya. Atau mungkin juga sebenarnya mustahil nak makan ayam kampung pakai sudu garpu.
9. Kemudian salah seorang lelaki tadi, S bertanya tentang kuota wanita dalam parlimen kepada Maryam. Dia kata pada Maryam "Kuota ini bukti ketidakmampuan wanita untuk berdiri sendiri di dalam kancah politik." Maryam balas, "Tak. Kuota adalah tanda yang sistem kita bermasalah. Kuota itu sendiri adalah penyelesaian bersifat sementara untuk masalah penindasan kepada wanita. Kuota dibuat untuk membiasakan muka wanita dalam politik di mata masyarakat"
S membidas "Tapi mungkin juga wanita tak dipilih jadi politikus sebab tak cukup merit". Saya lupa apa jawapan Maryam. Saya cuma tulis ini untuk berlaku adil kepada S. Tapi kemudian, S bagi bola tanggung pada Maryam. S kata "Tapi di Parlimen memang dah banyak menteri wanita!"
Maryam letak ayam kampung goreng dan balas "Menteri wanita dalam kabinet ada tiga je la, babi"
10. Kemudian ustaz menyampuk. Ustaz kata, kekurangan wanita dalam bidang politik adalah disebabkan mereka tak minat politik. Maryam tanya ustaz, adakah perempuan lahir-lahir tak minat politik, manakala lelaki pula sebaliknya? Ustaz itu ambil masa sebentar, angguk dan cakap ya. Saya tengok Maryam dan dia pejam mata. Mungkin dia tengah tahan marah, tapi sebagai muslim yang baik, saya anggap Maryam tengah doakan ustaz ini mendapat hidayah.
YOU ARE READING
Melihat Feminis Bekerja
Non-FictionHasil pengalaman lepak semeja dengan feminis dan melihat beliau bertikam lidah dengan sekumpulan lelaki sambil makan ayam goreng.
