Bab 1 - 2

2K 34 15
                                    

       

1.

    Dingin angin pagi menyimbah suasana Brickfields. Asap teh tarik yang berkepul naik dari gelas kaca kecil bagaikan awan, hilang apabila mencecah ke bumbung. Aku sendirian di dalam kedai mamak itu bersama komputer riba yang terbuka dan sepinggan capati yang telah selesai ditelan. Jari-jemari dari tadi bijak mengetik kata-kata sebelum sebahagian besarnya dipadam ataupun dibuang. Aku cuba menulis sebuah lagi novel setelah lama NOTA dibiarkan tidak bersambung, tetapi gagal. Aku tidak tahu bagaimana mahu menyambungnya. Aku tiada idea.

    Mungkin aku patut tulis sesuatu yang baru. Sebuah cerita dari kisah-kisah lama yang aku perap tidak berusik di dalam beberapa folder di komputer. Atau yang aku biarkan terus bersarang di dalam otak hingga berserabut. Tapi masalahnya, aku tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Aku tidak dapat mencari perkataan pertama yang sesuai. Ayat yang boleh menarik minat pembaca untuk menyelak halaman yang seterusnya. Ayat yang membuatkan mereka terhenti sejenak dan berfikir. Aku suka jika mereka membaca sambil berfikir.

    Jam yang melekat di dinding atas kaunter dalam kedai mamak itu diperhati. Lima minit ke pukul 6 pagi. Pelanggan yang tadinya hanya ada beberapa kerat telah mula mengisi meja yang kosong. Pekerja yang sibuk bergelak-ketawa dalam bahasa masing-masing juga telah makin rajin melakukan tugas. Aku memandang ke stesen monorel yang tidak berpenghuni. Entah mengapa aku memilih untuk menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke rumah pagi itu aku sendiri tidak tahu. Aku bukannya tiada kereta.

Hmmm... di mana aku letakkan kereta?

    Mata memerhati jam di pergelangan tangan sekali lagi. Empat minit ke jam 6 pagi. Jari yang pantas mengetik, diletup-letupkan. Otak ligat mencari sebab bagaimana aku boleh berada di situ awal pagi itu. Sejauh mana sudah aku merayau? Aku dari mana sebenarnya? Ke mana yang aku mahu pergi? Apa yang aku cari? Siapa yang cuba aku temui? Nota apa yang aku masih genggam ini?

Aku nak jumpa kau hari ni. Penting.

    Amri.

Aku membaca nota itu. Siapa yang berikan nota ini kepadaku? Amri sendiri? Tapi mengapa? Atas urusan apa dia mahu bertemu denganku? Masih belum cukupkah dengan apa yang telah dibuatnya kepadaku selama ini?

Tangan menyeluk poket untuk mengeluarkan telefon. Nombor Lisa dipilih. Aku harap dia sudah bangun dan bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Aku harap aku tidak mengganggu. Lama telefon itu berdering sebelum ada suara yang menjawab.

"You kat mana ni, apa bunyi yang bising-bising tu?"

"Kat kedai mamak."

"Mamak mana?"

"Kat area..." Aku memandang papan tanda berdekatan. "KL Sentral."

"Ha? You buat apa kat situ?"

"Entah. Lepak."

"You tak balik-balik lagi ke dari malam tadi?"

Flashback. Aku cuba mengingati semula apa yang telah berlaku malam tadi tetapi tidak berjaya. "Entahlah, Lisa. I tak tau dah berapa lama I kat sini."

Aku boleh dengar nafasnya mengeluh. "Ray, pergi balik sekarang. You tidur kat mana tadi?"

"Entah tak tau. Maybe... I tak tidur. Kot?"

"Astaga dia ni... kereta you dah siap?"

"Ha, kereta I mana?"

"Kereta you kan rosak? I temankan you hantar kat workshop? Lupa lagi?"

"Eh?" Aku menggaru-garu anak rambut yang halus-halus.

"Malam tadi I nak hantar you balik, you kata tak yah. You nak tunggu. Sekarang ni you ada duit ke tak nak balik ni?"

(preview) NOTA: 3 - sebuah novel Shaz JoharWhere stories live. Discover now