AKU SAYANG DIA PART 3

2.9K 81 0
                                    


Pulang ke rumah, langkahku terhenti di depan pagar. Pandangan jatuh pada Honda CRV putih terparkir depan laman.

Tanpa sedar, satu keluhan keluar dari bibir. Tadi Azri, sekarang aku harus berdepan dengan tuan punya CRV pula.

Hati tiba-tiba jadi tidak tenang. Kaki terus jadi berat. Mahu melencong arah tapi tempat yang ingin dituju tiada dalam kepala.

Yalah! mahu ke mana lagi jika tidak masuk ke rumah ini. Rumah yang memberi aku ehsan tempat berteduh sejak usia aku sepuluh tahun. Rumah tempat aku berteduh setelah semua keluargaku dijemput Ilahi dalam satu kemalangan ngeri.

"Myra.... mari minum sekali."

Spontan kepalaku berpaling ke kiri. Tak perasan pula ada Pak Long di situ. Sedang duduk di kerusi meja bulat yang selalu digunakan untuk minum petang. Dan bersantai.

"Myra nak solat dulu." Aku beri isyarat mahu masuk ke rumah terlebih dahulu. Hari sudah petang, asar sudah panjang.

Beberapa tapak melangkah masuk, tiba-tiba ada suara menegur. Pantas saja aku hentikan langkah dan berpaling ke arah datangnya suara tersebut.

Siapa lagi kalau bukan Zafwan Alif, si tuan punya CRV atau lebih tepat lagi anak teruna Pak Long. Tak perasan pula ada orang berdiri tepi langsir di ruang tamu ketika aku masuk tadi.

"Dari mana?" Suaranya bertanya. Nada seperti orang marah. Tapi apa kes pula dia nak marah aku?

"Rumah Sabrina. Along cuti ke?" Aku ceriakan wajah, memandang encik enggineer yang kacak bergaya berdiri sambil berpeluk di tepi tingkap. Walhal, aku memang tak ceria pun. Bila lelaki ini balik, memang aku dah tak pandai nak cerita. Kemurungan ada laaa..

Dia diam saja, langsung tak menjawab soalanku walau aku tercegat macam orang bodoh tunggu jawapannya.

Tapi aku tak pelik, sebab anak Pak Long yang sorang ni perangainya memang pelik sikit.

Tak mahu terus jadi bodoh, aku atur langkah ke bilik belakang sekali. Dulu-dulu, waktu mula-mula menumpang di sini, aku sebilik dengan Rania. Tapi setahun selepas itu, Pak Long besarkan rumah ini dan tambah satu bilik untuk aku. Jadinya, masing-masing ada bilik sendiri.

Masuk ke bilik dan bersolat asar, aku keluar semula ke depan untuk menyertai keluarga Pak Long minum petang.

Duduk berdepan dengan Zafwan, rasa kurang selesa bertamu di hati. Mata Zafwan yang tajam tu boleh buat jantung aku terbakar hangus. Kenapalah dia ni rajin betul balik? Duduk la KL tu, setahun sekali jer balik kan bagus, tak adalah aku rasa canggung begini.

Baru saja aku mahu menghirup minuman di cawan, tiba-tiba telingaku mendengar suara orang membentak.

"Eeeee... bencinyaaaa!!!!"

Serentak itu, Rania datang melabuhkan duduk bersama telefon bimbit terpegang di tangan.

"Kamu ni kenapa, Nia." Mak Long menegur anak dara kesayangannya.

"Azri tu la....."

Mendengar nama Azri, hatiku bagai disuntik sejuta rasa. Tapi, aku buat-buat tak dengar apa-apa. Walhal aku memang tahu, memang Azri sudah pulang ke tanah air sejak seminggu yang lalu. Sebabnya Azri sendiri yang menghubungiku sebaik menjejak kaki ke bumi Malaysia dan aku sendiri sudah bertemunya di rumah Sabrina tadi.

"Dah la balik tak cakap dengan orang. Call pun tak angkat." Rania sambung bebel. Telefon di tangan diketuk-ketuk perlahan ke meja.

"Mana Nia tahu?"

"Tadi sembang dengan Zila, katanya abang dia dah seminggu balik." Rania mendengus.

"Mungkin sibuk dengan keluarga dia. Kan baru balik." Pak Long mencelah.

Rania buat muka bila papanya membela Azri. Aku ambil jalan mudah, tak mahu campur. Ya! Kalau aku campur pun, hati aku juga yang akan sakit nanti.

Berkasih berpuluh tahun, akhirnya sepupu aku sendiri yang Azri pilih. Konon orang tuanya yang pandai-pandai hantar pinangan. Jadinya, dia tu apa? Tunggul kayu ke, tak pandai nak membantah?

"Kau tahu ke Azri dah balik?" Tiba-tiba suara Rania bertanya. 

Aku dongakkan wajah. Mata Rania yang terhala kepadaku memberitahu yang soalan tu dituju buatku.

Saat yang sama, mata tajam Zafwan memamah wajahku tanpa kelip.

"Mana aku tahu." Aku berbohong. Memanglah aku tak ambil tahu, tapi ramai aje mulut yang memberitahu. Jadinya, takkanlah aku nak beritahu yang aku tahu.

Lagipun, apa kes Rania tanya aku, walhal yang jadi tunang Azri tu dia, bukannya aku.

"Aku beri amaran. Kau jangan nak cuba contact-contact Azri lagi. Kami dah nak nikah. Kisah kau dan dia dulu-dulu tu, kisah cinta monyet yang dah jadi sejarah. Sekarang ni Azri dah jadi hak aku." Angkuh sungguh suara Rania.

Aku yang mendengar terasa nak aje beritahu baru tadi Azri kejar aku. Baru tadi Azri mengaku masih sayangkan aku. Tapi, apalah gunanya. Berebut seorang lelaki tu kerja bodoh dan aku tak mahu jadi bodoh.


KOMPILASI CERPEN SEJIWA - AKU SAYANG DIAWhere stories live. Discover now