Setia: #9

87 6 0
                                    



Bab 9

Zafrill melepaskan keluhan sekali lagi seusai membelek telefon di tangannya. Sehingga saat ini, langsung tiada balasan mesej daripada Nia Sara.

Dia teringatkan kejadian beberapa hari yang lepas, di mana Nia Sara tanpa sengaja menjawab panggilannya. Sewaktu Nia Sara menyebut nama Iskandar, hatinya berdetak cemburu. Tertanya-tanya siapa Iskandar itu. Tertanya-tanya adakah Iskandar itu adalah teman lelaki Nia Sara. Adakah sebab itu Nia Sara tidak mahu berjumpa dengannya? Adakah Nia Sara telah menjumpai penggantinya?

Dia kemudian perhatikan Zafira yang berada di sebelahnya. Adiknya itu asyik memilih sayuran. Mereka sebenarnya berada di pasar raya, membeli barangan dapur. Itu adalah rutin mereka di hujung minggu, membeli-belah barangan dapur. Nasib baik Zafira ada, maka berasap jugalah dapur di rumahnya. Kalau tidak, dapur itu akan dibiarkan berhabuk sepanjang ketiadaan Zafira. Dia lebih rela membeli makanan yang telah siap dimasak berbanding masak sendiri. Rasanya dia sepatutnya menetap sahaja di rumah keluarganya berbanding mahu pindah keluar dan cuba untuk hidup berdikari.

Keadaan sekeliling pasar raya di hadapannya diperhatikan pula. Orang ramai di hadapannya, sama seperti Zafira, asyik membelek barangan basah. Langsung tiada keinginan untuk bertegur sapa satu sama lain. Aneh, bukankah manusia zaman sekarang ini, suka menjaga tepi kain orang? Atau itu hanya berlaku di alam sosial saja?

Tiba-tiba saja dia terlihatkan kelibat seseorang yang dia kenali. Sahabat Nia Sara yang masih tidak diketahui nama itu baru saja melalui bahagian sayuran. Dia telan air liur. Tertanya-tanya sama ada Nia Sara turut berada di situ. Tanpa sedar kakinya menuruti langkah gadis itu. Dia turut kata hatinya. Dia lupa akan kewujudan Zafira bersamanya saat ini.

Selang lima minit menuruti langkah Laila, Zafrill masih belum menjumpai Nia Sara. Yang ada hanyalah sahabatnya yang kekal berseorangan menolak troli dan memilih barangan. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk berputus asa sahaja hari ini. Baru saja dia memusingkan badannya, mahu menuju ke tempat Zafira berada, tiba-tiba saja dia terdengar satu suara memanggil nama Nia, terus dia kembali menghadap sahabat Nia Sara. Seorang gadis berambut paras bahu, berpakaian biru gelap dipadankan dengan jean hitam muncul di sebelah Laila.

Zafrill telan air liur. Nafas ditarik. Hatinya kuat mengatakan gadis berbaju biru gelap yang sedang membelakanginya ini adalah Nia Sara. Baru saja dia mahu memulakan langkah ke arah dua gadis itu, tiba-tiba saja lengannya dipegang oleh seseorang.

"Abang!" Zafira pandang abangnya. Mahu tercabut jantungnya apabila menyedari ketiadaan Zafrill di sisinya.

"Mana abang pergi? Risau betul adik tadi. Karang pengsan di mana-mana, kan susah," nadanya kedengaran cemas.

Zafrill abaikan soalan Zafira. Matanya asyik memerhatikan kelibat dua orang gadis yang kini mula jauh darinya.

"Abang..." sekali lagi Zafira bersuara. "Abang kenapa ni? Abang tengok siapa?"

Zafrill tarik nafas sebelum memandang Zafira. "Nothing. Abang nak beli sesuatu," Zafrill berbohong. Hatinya dipalit kecewa melihat Nia Sara hilang dari pandangannya. Kalaulah Nia Sara menoleh ke belakang tadi, sah-sah dia mampu lihat wajah gadis itu.

Zafira menghela nafas berat. "At least bagi tahulah. Adik bimbang tahu."

Zafrill senyum kelat. "I'm sorry. Mana troli?" Hairan dengan Zafira yang muncul tanpa troli barangan.

"Ada kat sana. Adik tinggalkan kat bahagian sayur sekejap. Risau betul dengan abang yang tiba-tiba hilang."

Zafrill senyum kelat. "I'm sorry again, adik. Abang lupa nak bagi tahu tadi." Mereka kemudian berjalan beriringan ke bahagian sayur tadi.

SetiaWhere stories live. Discover now